SHAFIE TEMPATKAN DUA PEGAWAI SPRM DI PEJABAT BELIAU

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama meletakkan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jabatan Ketua Menteri dalam usaha membanteras aktiviti rasuah daripada berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Penempatan dua pegawai gred 54 dan 44 yang berkuatkuasa serta merta itu diumumkan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Sabah 2019 hari ini.

Dalam ucapannya, Mohd. Shafie berkata, langkah pencegahan seperti itu penting kerana kuasa yang dipegang oleh penjawat awam diibaratkan sebagai ‘power is sexy’ iaitu menjadikan mereka tumpuan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.

“Kita tahu bila kita berkuasa seperti ada yang menyatakan power is sexy pasal apa kuasa itu seksi, pasal dulu kelihatan rupa kita sama sahaja ada yang tiada rambut ada yang tinggi ada yang pendek ada yang perutnya buncit ada yang sudah beruban.

“Tapi bila kita berkuasa lepas itu kita kelihatan menarik, kacak, cantik, kenapa jadi begitu bukan sebab penampilan ada tetapi disebabkan kuasa yang ada menjadikan anda begitu menarik kepada kebanyakkan orang,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya; Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, pimpinan Kabinet negeri, wakil rakyat serta kakitangan awam Sabah dan Persekutuan.

Selain penempatan dua pegawai SPRM itu, Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) juga menjadi negeri pertama yang melancarkan Pelan Antirasuah 2019 – 2023 pada Oktober lalu bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri sifar rasuah.

Mohd. Shafie berkata, pencegahan rasuah bukan setakat kepada penjawat awam semata-mata, malah beliau sendiri walaupun menjadi Ketua Menteri tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika menyalahgunakan kuasa.

“Saya mahu ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri supaya bagi peringatan, kalau Ketua Menteri pun buat salah tangkap dia, pasal apa kita bimbang sangat pasal apa kita takut menempatkan seorang pegawai di pejabat kita kecuali jika anda mempunyai hasrat kalau kita membuat sesuatu perkara yang salah kita takut, tapi kalau kita tidak buat salah kita tidak sepatutnya takut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri meminta SPRM agar turut melakukan sesi penerangan di setiap kementerian bagi memberi panduan kepada pimpinan kerajaan negeri tentang amalan yang baik dan berintegriti.

“Saya mahukan supaya mesti ada sesi dengan para yang berhormat, menteri-menteri, pembantu-pembantu menteri bukan hanya perkhidmatan awam saya mahu semua mereka terlibat supaya tahu keadaan-keadaan ini kerana kita faham ada antara kita tidak tahu, tidak pernah jadi menteri, tidak pernah jadi pegawai kerajaan lepas itu jadi menteri kuasa dia ke mana apa tanggungjawab dia.

“Tidak tahu apa arahan bendahari, tidak tahu prosedur jangan salahkan dia, dia tidak tahu ini yang kadang-kadang kita perlu ada makluman cara-cara kaedah supaya mereka menyedari keadaan yang berlaku di sekeliling dia,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohd. Shafie turut memberi khabar gembira apabila bercadang menyemak semula gaji kakitangan awam negeri tidak lama lagi demi memastikan pendapatan mereka bertambah.

Jelasnya, faktor gaji juga merupakan antara faktor yang menjadi penyebab rasuah, justeru langkah menyemak semula kadar gaji itu perlu.

Shafie Tempatkan Dua Pegawai SPRM Di Pejabat Beliau

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan