Ibrah melalui hikmah ibtila’

SYAITAN adalah musuh manusia yang nyata. Setiap detik syaitan mengintai peluang untuk menggoda serta menghasut manusia agar tergelincir daripada roda Islam dan iman. Sekuat-kuat iman manusia, adakalanya terkesan dengan godaan syaitan apabila leka dan terpaut dengan keduniaan. Setiap amalankhairat pasti akan dihalang oleh syaitan dengan pelbagai versi halangan. Para Rasul dan Nabi juga apabila menjalankan dakwah, mereka tidak terlepas daripada kejahatan syaitan yang menunggu peluang untuk lenyapkan dakwah yang disebarkan. Namun, Allah menyelamatkan hamba-Nya yang beriman sementara mereka yang kufur ingkar pasti terjerumus ke lembah tipu daya syaitan. Firman Allah S.W.T:


وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ مِن رَّسُولࣲ وَلَا نَبِیٍّ إِلَّاۤ إِذَا تَمَنَّىٰۤ أَلۡقَى ٱلشَّیۡطَـٰنُ فِیۤ أُمۡنِیَّتِهِۦ فَیَنسَخُ ٱللَّهُ مَا یُلۡقِی ٱلشَّیۡطَـٰنُ ثُمَّ یُحۡكِمُ ٱللَّهُ ءَایَـٰتِهِۦۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ. لِّیَجۡعَلَ مَا یُلۡقِی ٱلشَّیۡطَـٰنُ فِتۡنَةࣰ لِّلَّذِینَ فِی قُلُوبِهِم مَّرَضࣱ وَٱلۡقَاسِیَةِ قُلُوبُهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِینَ لَفِی شِقَاقِۭ بَعِیدࣲ

“Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah), maka syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu untuk mencapai cita-citanya. Oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayat-Nya dengan kukuh dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu sebagai satu cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka serta yang hatinya keras membatu. Dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh daripada kebenaran.”

[al-Hajj: 52-53]

Cubaan yang dihadapi oleh manusia berhadapan dengan hasutan syaitan tidak semudah yang dijangkakan untuk dihalang. Oleh kerana itu, Rasulullah S.A.W memperingatkan umatnya supaya sentiasa bermohon dengan Allah agar diselamatkan daripada pengaruh syaitan yang ingin menyesatkan Bani Adam sehingga menjadi kufur. Mereka meniupkan api persengketaan, merosakkan tanggapan terhadap Allah sebagai Tuhan sekalian alam, bahkan sehingga mencabar kuasa Allah. Dalam hal ini, Nabi S.A.W bersabda:

فَإِذَا قَالُوا ذَلِكَ، فَقُولُوا اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، ثُمَّ لِيَتْفُلْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ مِنْ الشَّيْطَانِ

“Jika mereka mengucapkan hal itu (kalimat-kalimat was-was dan hasutan), maka ucapkanlah: Allah itu Maha Esa, Allah itu tempat bergantung, Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, kemudian meludahlah ke kiri tiga kali dan mintalah perlindungan dengan Allah.”

(Riwayat Abu Daud)

Imam Ibnu Kathir melalui tafsirnya menukilkan kisah seorang ahli ibadat, namanya Barshis sebagaimana sesetengah riwayat. Sepanjang 60 tahun, beliau hanya beribadat dan tidak pernah melakukan kemungkaran. Ketika seorang perempuan remaja yang ditinggalkan kepadanya untuk dijaga dalam beberapa tempoh oleh dua orang adik beradiknya, syaitan mula meniupkan was-wasnya sehingga Barshis akhirnya terjerumus ke lembah penzinaan. Setelah kepulangan adik beradik perempuan tadi, dan diketahui bahawa Barshis telah membunuh adik mereka kerana ingin menutup kesalahannya akibat berzina, akhirnya Barshis dijatuhkan hukuman bunuh. Syaitan yang merancang agenda tersebut datang kepada Barshis dan mempelawakan pembebasan daripada hukuman bunuh sekiranya Barshis tunduk dan sujud kepadanya. Lantas, untuk menyelamatkan diri daripada mati, ahli ibadat tersebut sujud kepada syaitan, lalu setelah itu dia dijatuhkan hukuman bunuh dan dia mati dalam keadaan kafir kepada Allah.

Begitulah bahayanya godaan syaitan sekiranya tidak ditangani dengan ilmu dan iman. Berapa ramai manusia yang sudahpun beriman, namun akhir kehidupan semakin jauh dengan Allah. Berapa ramai orang yang membaca serta menghafaz al-Quran, namun akhirnya jauh dengan petunjuk al-Quran. Berapa ramai orang yang alim dengan hukum hakam, namun akhirnya menjadi penentang kepada Islam dan perjuangannya. Godaan syaitan boleh mengena sesiapa sahaja melainkan hamba Allah yang ikhlas lagi bertakwa. Semoga Ramadan kali ini berjaya diharungi sebaik mungkin dan kita diterima oleh Allah sebagai golongan Muttaqin.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
17 Ramadan 1441 / 10 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 10/5/2020