Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Kes Najib: RM238,000 dibayar untuk penerbitan Facebook, mingguan bahasa Cina Berita penuh

Kes Najib: RM238,000 dibayar untuk penerbitan Facebook, mingguan bahasa Cina

Seorang bekas setiausaha politik Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini lebih RM238,000 dibayar kepada seorang ahli perniagaan yang bertindak sebagai “orang tengah” antara bekas perdana menteri itu dan 2 syarikat.

Wong Nai Chee, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan bekas majikannya berkaitan SRC International, berkata RM238,914 dibayar kepada seorang ahli perniagaan, Lim Soon Peng.

Beliau berkata Lim kemudian membayar wang itu kepada 2 syarikat, iaitu AD Network dan Akademi Kewartawanan Dan Informasi Taima.

“AD Network dibayar untuk mentadbir laman Facebook ‘Ah Jib Gor’ dan Akademi Kewartawanan dan Informasi Taima dibayar untuk suatu penerbitan mingguan berbahasa Cina,” kata Wong seperti dipetik FMT hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Saifuddin Hashim Musaimi mengenai tujuan bayaran RM238,914 kepada Lim.

Wong menjelaskan penerbitan berbahasa Cina itu menumpukan kepada memberikan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan ketika itu kepada masyarakat Cina.

Wong berkata, Lim dilantik Najib kerana ahli perniagaan itu mempunyai hubungan terus dengan ketua-ketua masyarakat Cina.

Ditanya Saifuddin mengapa bayaran tidak dibuat secara terus kepada syarikat-syarikat tersebut, Wong berkata ini bagi mengelakkan sebarang pertikaian daripada orang ramai mengenai dana daripada Pejabat Perdana Menteri kepada syarikat-syarikat itu.

“Kami mempunyai penulis-penulis yang objektif untuk penerbitan berbahasa Cina itu dan kami tidak mahu pembaca tahu pejabat PM menajanya,” katanya.

Ditanya oleh peguam Najib, Shafee Abdullah mengapa mereka mempunyai “penulis-penulis yang objektif” untuk menulis bagi penerbitan tersebut, Wong menjelaskan mereka dapati beberapa isu digambarkan secara negatif sebelum pilihan raya umum.

“Kami perlu paparkan dasar-dasar itu secara objektif,” katanya.

Mengenai laman “Ah Jib Gor”, Wong berkata pengguna media sosial memberi maklum balas kepada kerajaan mengenai isu seperti kos sara hidup dan pendapat mereka mengenai kerajaan.

“Ia untuk kerajaan memahami masyarakat dengan lebih baik,” katanya.

Seorang lagi saksi, Onn Hafiz Ghazi, juga memberitahu sebanyak RM240,000 dibayar kepada syarikatnya, Vital Spire Sdn Bhd.

Katanya, wang itu untuk membiayai laman web Malaysian Digest, walaupun Hafiz berkata tumpuan utama perniagaan syarikat itu adalah perundingan dan latihan kepimpinan.

Ditanya Shafee tentang pembaca sasaran Malaysian Digest, Hafiz berkata, laman web itu yang kini sudah tidak wujud lagi adalah untuk orang ramai.

“Kami menyiarkan berita daripada kerajaan dan juga pembangkang. Kami lihat ia sebagai laman yang seimbang,” katanya, sambil menyerahkan kepada orang ramai untuk menilainya.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pendengaran di depan Hakim Nazlan Ghazali bersambung esok.

Kes Najib: RM238,000 dibayar untuk penerbitan Facebook, mingguan bahasa Cina

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kes-najib-rm238000-dibayar-untuk-penerbitan-facebook-mingguan-bahasa-cina/?fbclid=IwAR1qsJjbbHLXOO-rBZKELKovv_1DIOpJoOp8CiQBaWsg8Qm7VJAQbFUZWPw