5 jam dibuka terus jadi sasaran vandalisme

TINJAUAN orang ramai di Taman Tasik Titiwangsa. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan kesal dengan perbuatan vandalisme terhadap beberapa kemudahan di Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara yang baharu dibuka kelmarin.

Menterinya, Khalid Abd Samad, berkata perbuatan pihak terbabit tidak boleh diterima ketika ramai pengunjung memuji penampilan baharu taman awam berkenaan yang dibuka kelmarin.

Katanya lebih mengecewakan, perbuatan vandalisme itu berlaku lima jam selepas dibuka kepada orang ramai yang mana ia tidak patut berlaku.

“Kemudahan taman itu belum siap sepenuhnya dan masih ada satu atau dua perkhidmatan yang belum diselesaikan dan akan dibuka secara rasmi pada tahun depan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pementoran Keusahawanan Start Up dan Scale Up dan Penyampaian Sumbangan Program Jom Balik Sekolah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) , Datuk Wan AhmadUzirWan Sulaiman.

Pada program itu Khalid turut menyampaikan sijil tamat kursus kepada 48 peserta dan penyampaian sumbangan Jom Balik Sekolah kepada 60 pelajar inisiatif kementerian dan agensi dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) membantu golongan keluargà B40 yang tersenarai dalam program e-Kasih di Putrajaya.

Kelmarin media melaporkan beberapa kemudahan baharu di Taman Tasik Titiwangsa yang baru dibuka lima jam menjadi sasaran vandalisme selepas ditutup sejak 1 September 2018 untuk kerja ubah suai.

Antara kerosakan yang dilakukan membabitkan papan tanda, buang sampah merata-rata dan penggunaan basikal melalui operator yang tidak berlesen.

Khalid berkata, orang ramai yang berkunjung ke taman itu diminta menjaga keindahan serta kemudahan yang disediakan supaya ia boleh digunakan untuk jangka masa lama.

Menurut beliau, sebagai langkah keselamatan kementerian mengarahkan kawalan di taman itu ditingkatkan termasuk menambah jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu bagi mencegah perbuatan vandilisme berterusan.

“Bagi yang ingin menjalankan perniagaan mereka seharusnya mengikut arahan dan datang ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan lesen,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/639223/5-jam-dibuka-terus-jadi-sasaran-vandalisme?fbclid=IwAR1F11vfvmPEhMUlYXEjp1VYYqrhzs1fg9WWUPEaOWmO_Jn30hKrdrIpWVY