Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib menyeru ahli AMANAH dapat bersedia menghadapi masyarakat yang mudah panik apabila sentiasa mengaitkan parti itu dengan DAP.
Berucap dalam Mesyuarat Tahunan AMANAH kawasan Gombak kali ketiga hari ini, beliau berkata, setiap ahli sudah perlu menyedari realiti cabaran yang dihadapi oleh negara dalam mengekalkan demokrasi untuk semua.
“Saya harap mesyuarat kali ini boleh memikir ke hadapan bagaimana kita boleh menghadapi masyarakat kita yang cepat panik. Sikit-sikit salah DAP. Mereka anggap DAP berkuasa (kuasai parti).
“Inilah realiti konteks cabaran yang dihadapi oleh kita. Kita mahukan demokrasi,tapi kalau kita tidak menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin, kita tidak boleh capai demokrasi yang kita mahu,” tegasnya di Dewan Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Ketua AMANAH Gombak itu berharap pemilihan dijalankan dengan penuh demokrasi oleh kerana setiap ahli sudah terlatih berdepan dengan perbezaan di luar parti.
Sehubungan itu, tegas bekas pemimpin Pas berkenaan, perbezaan yang wujud dalam AMANAH seharusnya mudah diurus.
“Kita bukan hanya memimpin Parti AMANAH Negara, tapi kita memimpin negara itu sendiri.
“Apa sahaja jawatan yang diberikan di dalam kementerian, jawatan di peringkat negeri, di jabatan atau agensi-agensi yang ada, kita tak melatih ahli kita untuk berebut-rebut akan jawatan itu.
“Bahkan, kita melatih untuk terus membantu rakan-rakan dari keempat-empat komponen parti Pakatan Harapan (PH) yang berada dalam kementerian, supaya mereka dapat memperkemas jalan mereka oleh kerana cabaran dan peranan yang di galas cukup besar,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus merangkap Ahli Parlimen Hulu Langat.
Hasanuddin menyerahkan cenderamata berupa buku Ahmad Lutfi Othman kepada Saari Sungib.