KUALA LUMPUR: Mohamed Azmin Ali memberitahu Dewan Rakyat hari ini kerajaan terdahulu pimpinan bekas perdana menteri, Najib Razak menyeleweng RM2.7 bilion daripada Felda bagi tujuan menaik taraf penanaman, untuk membeli sokongan bagi Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, wang itu datang daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV), sayap komersial agensi pembangunan tanah itu yang menjana tunai RM10.5 bilion dan Felda mendapat RM6 bilion.
“Perolehan Felda itu sepatutnya digunakan untuk membangunkan kapasiti bagi masa depannya, untuk membangunkan penanamannya dan juga program modenisasi membabitkan teknologi, penyelidikan dan pembangunan.
“Malangnya, RM1.4 bilion daripada pendapatan diperolehi Felda melalui penyenaraian itu dibelanjakan atas pelaburan meragukan membabitkan transaksi tidak jujur.
“RM2.7 bilion dalam pada itu digunakan untuk membeli sokongan pada PRU14,” katanya ketika membentangkan kertas putih Felda hari ini.
Kertas putih Felda itu bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai salah urus di bawah kerajaan terdahulu yang diulaporkan menyebabkan agensi itu menghadapi banyak masalah kewangan.
Azmin (PH-Gombak) berkata, Felda pernah mempunyai dana berbilion ringgit dahulu, tetapi kini aliran tunainya berada di tahap kritikal.
Katanya, imbangan tunai Felda merosot daripada purata RM2.5 bilion antara 2007 dan 2011 kepada hanya RM400 juta pada 2017.
Setakat 9 Mei 2018, Azmin berkata, Felda hanya mempunyai RM35 juta.
“Aliran tunai terhad itu menyebabkan Felda tidak mampu menanggung kos operasinya, penanaman semula, bantuan dan juga pinjaman bagi peneroka,” katanya sambil menambah isu defisit aliran tunai turut dibangkitkan dalam Laporan ketua audit negara sejak 2016.
Azmin berkata, sebelum FGV disenaraikan, Felda memperoleh pendapatan operasi melalui pengurusan ladang komersialnya seluas 400,000 hektar. Antara 2007 hingga 2011, Felda mencatat keuntungan tahunan bersih antara RM200 juta dan RM1.1 bilion.
Bagi tujuan penyenaraian FGV, katanya, Felda menyerahkan pengurusan ladangnya melalui perjanjian pajakan tanah (LLA) selama 99 tahun.
“Selepas penyenaraian FGV, khasnya dari 2013, prestasi kewangan Felda mula merosot. Felda mencatatkan kerugian secara berterusan, paling tinggi RM4.9 bilion pada 2017.”
Di bawah perjanjian itu, Felda sepatutnya menerima bayaran pajakan tanah berjumlah RM248 juta setahun dan perkongsian keuntungan pada kadar 15% sebagai pulangan untuk pajakan tanah komersialnya.
Tetapi, Azmin berkata, Felda hanya menerima purata RM400 juta setahun daripada FGV, berbanding minimum RM800 juta setahun yang diperlukan untuk menguruskan ladang dan memastikan kebajikan peneroka terjamin.
“Kedudukan kewangan Felda bertambah buruk disebabkan pembaziran berterusan dalam pembelian aset pada kadar tinggi daripada harga pasaran. Contohnya, pengambilalihan Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (milik Peter Sondakh) pada kadar 96% lebih tinggi daripada harga pasaran ketika itu.
“Setakat Mac tahun ini, pelaburan RM2.3 bilion hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta.”
Azmin berkata, audit forensik turut mendapati wujud konflik kepentingan, paling ketara apabila Isa Samad dilantik sebagai pengerusi Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), FGV Holdings Berhad, dan 39 anak syarikat di bawah Felda serta FGV.
Katanya, konflik kepentingan itu bertambah buruk apabila Isa memegang kuasa eksekutif sebagai pengerusi Felda.
“Contohnya, pengambilalihan Park City Grand Plaza Kensington di London yang dilakukan Isa, tanpa kelulusan lembaga pengarah Felda, di atas harga pasaran dan melanggar dasar pelaburan Felda.
“Isa membeli hartanah itu pada harga RM331 juta, manakala harga pasaran bagi hartanah tersebut ketika itu hanya RM128 juta.”
Park City Grand Plaza Kensington antara 8 pelaburan Felda yang disiasat ketika audit forensik dilakukan bagi kertas putih agensi itu.