Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Pembayaran fasa pertama BSH 2020 sebanyak RM300 mulai 20 Januari

Pembayaran fasa pertama BSH 2020 sebanyak RM300 mulai 20 Januari

1 BERSYUKUR BONUS

1 ULAR PAS

 

Pembayaran fasa pertama BSH 2020 sebanyak RM300 mulai 20 Januari

Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019

PUTRAJAYA, 6 Jan. – Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 sebanyak RM300 bagi kategori isi rumah yang berdaftar dalam pangkalan data BSH 2019 akan dilaksanakan mulai 20 Jan ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM1 bilion dan memanfaatkan hampir 3.8 juta penerima BSH kategori isi rumah.

“Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank semasa BSH 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penerima BSH di kawasan pedalaman bagi kategori isi rumah yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran pada tarikh yang sama, manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Feb (2020) secara tunai.

Lim berkata pangkalan data BSH 2019 telah melalui beberapa proses tapisan daripada agensi kerajaan antaranya status pemilikan kenderaan yang realistik bagi golongan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan mereka yang memerlukan sahaja menerima BSH 2020.

Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, Lim berkata tempoh permohonan dan pengemaskinian akan dibuka mulai 1 Feb hingga 15 Mac 2020.

Selain kategori isi rumah, permohonan untuk BSH 2020 juga dibuka bagi kategori bujang berumur 40 tahun dan ke atas seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, katanya.

Pemohon tidak perlu membuat permohonan baharu atau kemas kini sekiranya permohonan BSH 2019 lulus dan tiada sebarang perubahan maklumat serta orang kurang upaya (OKU) yang tersenarai sebagai penerima e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya.

Bagaimanapun, katanya pemohon perlu membuat permohonan baharu atau kemas kini sekiranya belum membuat pendaftaran permohonan BSH (kategori baharu), permohonan BSH 2019 yang tidak lulus dan menepati syarat kelayakan BSH 2020, dan permohonan OKU yang tidak tersenarai sebagai e-Bantuan JKM dan menepati syarat kelayakan BSH 2020.

“Setelah pangkalan data BSH 2020 dikemas kini, baki pembayaran BSH 2020 bagi kategori isi rumah akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga, manakala bagi kategori bujang dan OKU pula akan disalurkan secara sekali beri pada fasa kedua,” katanya.

“Dengan adanya proses permohonan dan pengemaskinian ini, sebahagian daripada kalangan yang tidak lulus dan belum menerima BSH masih diberi ruang untuk mengemukakan permohonan untuk dibuat verifikasi semula,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan untuk meneruskan program BSH bagi menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka. – BERNAMA

https://melakakini.my/pembayaran-fasa-pertama-bsh-2020-sebanyak-rm300-mulai-20-januari/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Bantuan Sara Hidup (BSH) Pada 28 Mei 2019

FASA kedua bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dilaksanakan mulai 28 Mei ini membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan RM1.42 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bayaran itu dibuat berdasarkan kategori BSH 2019 merangkumi bilangan anak tanggungan dan nilai yang akan diterima.

Beliau berkata, kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima BSH berusia 18 tahun ke bawah kecuali anak orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dihadkan usia mereka.

“Pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.

“Bagi mereka yang tiada akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BSH diberi kepada mereka yang layak mengikut kategori pendapatan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiap tahun, Kementerian Kewangan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan pemohon tepat dan hanya yang layak saja menerima BSH.

Guan Eng berkata, pelaksanaan proses pengesahan dibuat secara menyeluruh terutama dalam mengenal pasti pendapatan terkini pemohon dengan membuat semakan data bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), LHDN, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan agensi berkaitan.

“Proses ini adalah proses biasa yang dijalankan LHDN setiap tahun.

“Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos 2019,” katanya.

Katanya, dengan adanya proses rayuan itu sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan

untuk disahkan semula oleh LHDN.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/05/459060/bayaran-bsh-2019-mulai-28-mei-ini?fbclid=IwAR343GVS1uReuo7V4CKXCF_dDkrJNDfTjgBScNYuRFCauTx4Zfu_eDJd0Vg