Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Warisan kembali mengundi tolak bajet kementerian Azmin

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui undian belah bahagi.

Perkara itu diputuskan Speaker Azhar Azizan Harun berdasarkan peraturan mesyuarat selepas 15 orang wakil rakyat bangun menyokong RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Dalam pengundian hari ini, 110 wakil rakyat menyokongnya, mannakala 104 menentang dan enam lagi tidak berada di dalam Dewan Rakyat.

Parti Warisan yang sebelum ini tidak mengambil bahagian dalam belanjawan di peringkat jawatankuasa, hari ini turut mengundi kecuali presidennya Mohd Shafie Apdal yang tidak hadir.

Selain itu, antara mereka yang tidak mengundi termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong), Tengku Razaleigh Hamzah (Umno- Gua Musang) dan Liew Chin Jin (PKR-Tawau).

Menteri MITI, Mohamed Azmin Ali sebelum itu menggulung perbahasan peringkat kementeriannya dengan peruntukan Sidang APEC sebanyak RM25 juta dibincang secara panjang lebar.

Sebanyak RM1.2 bilion diagihkan kepada Miti sebagai anggaran perbelanjaan pengurusan dan pembangunan bagi tahun 2021.

Perbahasan hari ini turut disertai seteru ketatnya, Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) dan Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi).

Azmin sebelum ini adalah timbalan presiden PKR sebelum berpaling tadah melalui Langkah Sheraton pada Februari lalu sehingga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Dr Mahathir turut tumbang. Begitu juga dengan beberapa kerajaan peringkat negeri.

Kekalahan kepada Azmin merupakan tamparan hebat buat Anwar, yang berada di bawah tekanan untuk membuktikan bahawa dia mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Selepas Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar pada 26 Nov lalu, pembangkang menjanjikan cabaran sengit apabila ia dibahas dan diuji di peringkat jawatankuasa.

MITI adalah kementerian keempat yang ditentukan kelulusan RUU Perbekalan 2021 melalui kaedah undian belah bahagi.

Sebelum ini, kaedah yang sama digunakan untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan pada Isnin dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) pada Selasa lalu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553624

Pengundi Gombak failkan saman terhadap Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pengundi Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen mereka, Azmin Ali, atas dakwaan penipuan dan melanggar kewajipan fidusiari (amanah), sembilan bulan selepas Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.
Sepuluh plaintif mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin, selaku Ahli Parlimen, mempunyai tugas fidusiari dan/atau pemegang amanah dalam hubungannya dengan pengundi.

Dalam saman yang difailkan Tetuan Yohendra Nadaraja di Mahkamah Tinggi minggu lepas, plaintif juga mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin sudah melakukan tort penipuan terhadap mereka.

Mereka juga mahu suatu pengisytiharan bahwa Azmin sudah memungkiri sumpah perlembagaan mengikut Perkara 59(1) yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan.
Plaintif juga meminta ganti rugi dan perintah lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Dalam penyata tuntutan yang dilihat FMT, plaintif berhujah Azmin membuat representasi bahawa beliau bertanding pilihan raya pada 2018 untuk menyingkir Barisan Nasional dan pegawai awam yang korup.

Selepas itu, kata mereka, Azmin menyebabkan dan/atau menyumbang kepada peletakan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari, dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional yang turut mengandungi BN, termasuk orang yang Azmin sendiri akui dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah.
Azmin dan beberapa Ahli Parlimen PKR antara watak penting yang dikaitkan dengan krisis politik yang menyusuli pertemuan melibatkan beberapa pemimpin BN, PAS, PPBM, dan PKR di Hotel Sheraton.
Dengan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 1 Mac, dengan sokongan gabungan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional. -MalaysiaKini

https://www.tuncarlos.com/2020/12/pengundi-gombak-failkan-saman-terhadap.html