Baru- baru ini ramai pihak tidak berpuas hati termasuk pimpinan Pakatan Harapan susulan kenyataan setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri.

Kata Takiyuddin, tindakannya menggelarkan Presiden PKR itu sebagai bekas banduan adalah fakta.
Jelas Takiyuddin, pensabitan kesalahan ke atas Anwar dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak lagi boleh dipersoalkan.
Beliau telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan tidak bersalah Anwar dalam kes liwat II oleh Mahkamah Tinggi.

Pertahan Kenyataan Dan Tidak Mahu Mohon Maaf
Takiyuddin berkata, tiada keperluan untuk beliau memohon maaf seperti yang disarankan oleh beberapa pihak.
Malah, beliau menyarankan untuk mereka ini menyemak semula fakta kes mahkamah yang melibatkan Anwar.
Mungkin apa yang diperkatakan pemimpin Pas itu ada betulnya, namun sikap beliau mengaibkan Anwar dalam kempen di Sandakan sebelum ini adalah melampau.
Menjatuhkan pihak lawan dengan mengaibkan mereka dengan kes yang umum tahu ia bersifat konspirasi politik ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.
Perlekeh Pengampunan Diraja
Dalam pada masa sama, Menteri Kewangan Lim Guan Eng membidas kenyataan Takiyuddin dan menyifatkan pemimpin PAS itu telah memperlekeh pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar.

Lim juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai “melawan” keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.
Ulas Lim, Pas hanya tahu mengaibkan dan menyebarkan fitnah seakan-akan Anwar bersalah sedangkan pengampunan itu telah membersihkan nama Anwar dari sabitan kes berkenaan.

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir turut sependapat dengan Lim bahawa Takiyuddin memperlekeh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada beliau.
Akmal menegaskan kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar.
Pas Cuba Tutup Kesalahan Najib
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, Pas tidak seharusnya membangkitkan isu ini kerana umum mengetahui bahawa Anwar dituduh dan dihukum atas campur tangan politik.

Ulasnya, Anwar yang dituduh dan dihukum lima tahun penjara ini berlaku ketika pemerintahan kleptokrat Najib Razak yang telah dijatuhkan rakyat.
Dan jangan hanya kerana mahu membela Najib yang kini berhadapan puluhan kes penyelewengan dan korupsi, Pas sanggup berterusan menggadaikan prinsipnya membela kezaliman dengan membangkitkan isu Anwar sebagai banduan.
Sedangkan beliau telah diiktiraf undang-undang layak dipilih sebagai Perdana Menteri.
Nampaknya, cara Pas menjatuhkan lawannya sama seperti Umno.
Antara Pemimpin Negara Yang Pernah Dipenjarakan
1) Michelle Bachelet

Presiden negara Chile dalam dua penggal – pada tahun 2006 hingga 2010 serta 2014 hingga 2018. Beliau menjadi individu pertama berjaya menjawat jawatan Presiden Chile untuk dua penggal.
Bachelet dan ibunya ditangkap dan diseksa pada awal bulan Januari 1975, ekoran hubungan mereka dengan mendiang ayahnya yang didakwa melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Chile.
2) Vaclav Havel

Pernah menyertai pemberontakan yang digelarkan Prague Spring pada tahun 1968, dalam usaha membebaskan negara mereka Czechoslovakia daripada terus didominasi Kesatuan Soviet.
Hasil penulisan serta aktiviti beliau sebagai aktivis membuatkan Havel dianggap sebagai musuh kerajaan. Dia dipenjarakan selama 4 tahun setengah atas tuduhan terlibat dengan gerakan subversif mahu menggulingkan kerajaan yang sah.
Havel dibebaskan pada tahun 1983 sebelum kembali pada ke penjara pada bulan Januari 1989 selama 9 bulan, atas tuduhan cuba menimbulkan kekacauan namun beliau bebas pada bulan Mei tahun yang sama, selepas protes besar-besar menuntut pembebasan beliau berlaku.
3) Nelson Mandela

Presiden pertama Afrika Selatan pada tahun 1994 sehinggalah tahun 1999. Terkenal sebagai individu yang berjaya menghapuskan sistem apartheid di negara mereka, kisah Mandela memang dipenuh dengan penjara.
Mandela ditangkap buat pertama kali pada Disember 1956 atas dakwaan cubaan khianat bersama 156 aktivis lain dan dibicarakan tanpa berjaya dibuktikan bersalah, sebelum dibebaskan daripada tuduhan pada tahun 1961.