PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) bagi menghargai sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia dan Jepun.

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) bagi menghargai sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia dan Jepun.

Dr Mahathir menerima ‘Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, honoris causa’ daripada Presiden IUJ Hiroyuki Itami pada majlis di sebuah hotel di Bandaraya Fukuoka, sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke wilayah itu.

Pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, Itami menegaskan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan Dr Mahathir, mempunyai impak besar kepada pendidikan tinggi di negara anggota ASEAN.

“Sememangnya diakui dan diiktiraf ramai anak muda Malaysia belajar di luar negara di Jepun menyumbang kepada pembangunan di Malaysia pada hari ini di bawah dasar ini (Dasar Pandang ke Timur),” menurut kenyataan IUJ yang dikeluarkan sempena penganugerahan itu.

Dalam ucapan sanjungannya, Itami berkata, Dasar Pandang ke Timur menjadi asas kepada hubungan akrab antara Malaysia dan Jepun.

Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kerajaan Malaysia menghantar ratusan penuntut dan pelatih korporat ke Jepun.

“Apabila kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di universiti atau tamat program di syarikat di Jepun, penuntut Malaysia memainkan peranan aktif dan utama dalam membangunkan Malaysia serta sebagai jambatan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, IUJ mendidik lebih 20 penuntut Malaysia yang dihantar kerajaan Malaysia sejak 1990-an.

Itami berkata, IUJ turut melancarkan Program Pembangunan Jepun-Global (JGDP) tahun lalu bagi menawarkan peluang pembelajaran kepada bakal pemimpin terkemuka dari Jepun, Asia termasuk Malaysia, Afrika dan Amerika Latin mengenai pengalaman orang Jepun dalam bidang ekonomi serta pembangunan masyarakat sejak era pemulihan Meiji dan kewajaran di sebalik perkembangan itu.

“IUJ mengalu-alukan penyertaan penuntut Malaysia dalam JGDP,” katanya.

Itami juga menyatakan harapan bahawa hubungan dua hala yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia akan berkembang di bawah Dasar Pandang ke Timur dalam era baharu ini.

“Kami percaya Universiti Antarabangsa Jepun akan memainkan peranan penting dalam Dasar Pandang ke Timur Tun Dr Mahathir dan dalam mengukuhkan hubungan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir dalam ucapan penerimaannya berkata, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pemimpin.

“Mana-mana juga pemimpin, jika diberi peluang dan kuasa, akan melakukan apa yang sudah saya lakukan.

“Malaysia adalah sebuah negara pertanian yang miskin, tetapi kerana keperluan mewujudkan pekerjaan, kami perlu membina infrastruktur untuk melancarkan (keperluan sedemikian).

“Saya berterima kasih kerana diberi pengiktirafan dalam melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa (menjadikan negara pertanian kepada negara perindustrian) dan melaksanakan tugas sebagai pemimpin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:55 AM