Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Biro Dakwah AMANAH mahu adakan pertemuan dengan Foo Sing Wai

Biro Dakwah AMANAH mahu adakan pertemuan dengan Foo Sing Wai

1 ANWAR

Pemuda AMANAH Nasional berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Foo Sing Wai pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad saw dan isteri Saidatina Aisyah yang kini direman tiga hari oleh polis.

Pengarah Biro Dakwah Ahmad Saqif Ansorullah dalam kenyataan berkata,  selain aspek perundangan, Pemuda AMANAH Nasional melihat tanggungjawab yang lebih besar perlu dimainkan dalam isu ini.

“Oleh yang demikian, kami akan mengadakan satu pertemuan dengan Foo Sing Wai sebagai satu usaha dakwah menerangkan salah faham dan tafsiran negatifnya terhadap Rasulullah SAW seperti yang didakwa di laman sosialnya itu,” ujarnya.

Menurut Ahmad Saqif lagi pertemuan itu dijangka akan diadakan sejurus beliau didakwa dan dibebaskan.

“Ini sebagai satu alternatif Pemuda AMANAH untuk menerangkan Islam yang sebenar khususnya isu yang dimainkan oleh beliau.

“Dakwah Bil Hikmah adalah salah satu kaedah yang diajar oleh Allah kepada umatNya, uslub menerang bukan menyerang ini mampu menjadi jalan penyelesaian yang terbaik dan mewajahkan imej sebenar Islam sebagai rahmah dan ramah,” ujarnya lagi.

Justeru, Pemuda AMANAH Nasional mengambil langkah ini sebagai satu pendirian bahawa kaharmornian dan saling hormat-menghormati di antara pelbagai agama dan bangsa perlu dipelihara.

Dijangka pertemuan itu akan diketuai oleh Ketua Pemuda AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan bersama Biro Integrasi Pemuda AMANAH Nasional yang diketuai oleh Kevin Shawn Gomez serta Biro Dakwah Pemuda AMANAH Nasional.

“Kami juga turut mengajak agensi berkaitan termasuklah Jabatan Agama Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan badan-badan dakwah yang lain untuk bersama-bersama berusaha dan bekerja kuat di dalam menerangkan tentang keindahan Islam yang saling hormat-menghormati diantara satu sama lain, walaupun berbeza agama dan kaum mahupun budaya,” ujarnya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan pemilik akaun facebook Foo Sing Wai yang direman sehingga Jumaat ini.

Beliau berkata pihaknya telah menerima 395 laporan polis dari seluruh negara ekoran status menghina nabi yang dimuat naik di akaun Facebook suspek.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/biro-dakwah-amanah-mahu-adakan-pertemuan-dengan-foo-sing-wai/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook