PERUNDING politik, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah, menjadi saksi pendakwaan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – NSTP/Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: Perunding politik, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah, mengesahkan menerima wang RM2.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak bagi khidmat rundingan risikan dan strategi politik.
Habibul Rahman selaku saksi ke-23 pendakwaan, dalam keterangan beliau hari ini, berkata beliau menerima wang itu melalui cek daripada Najib sendiri di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Putrajaya.
Saksi yang juga pemilik HKS Consultant, kemudian dikemukakan dengan cek berkenaan bertarikh 2 Februari 2015, oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin bin Hashim Musaimi.
Menjawab soalan Muhammad Saifuddin mengapa cek itu dikeluarkan atas nama firma guaman Zulqarnain & Co, Habibul Rahman berkata, ia bagi mengelakkan dikenakan cukai.
“Saya meminta secara peribadi atas nama firma guaman itu sebab duit bukan untuk kegunaan saya tetapi mewujudkan hubungan baik dalam parti.
“Ia tertulis dalam senarai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wang ini bagi bayaran balik kerana sebelum itu saya gunakan wang saya terlebih dulu.,” katanya.
Habibul Rahman berkata, cek itu kemudian diserahkan kepada peguam dan beliau meminta disediakan cek dikeluarkan untuk isteri dan anaknya.
Katanya, ia berikutan wang yang diterima adalah bagi pembayaran balik kerana menggunakan sebahagian wang sendiri bagi kerja khidmat rundingan politik berkenaan.