SIASATAN kes penyelewengan pembelian baju kalis api bernilai RM13.5 juta terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hampir selesai.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, pihaknya kini hanya menunggu keterangan daripada United Kingdom yang dipohon melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi melengkapkan siasatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, SPRM sudah menghantar contoh baju kalis api yang dibekalkan kontraktor kepada Jabatan Kimia dan mengesahkan ia tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard ditetapkan JBPM.
Katanya, SPRM menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan tidak menghalang atau menyekat perolehan atau pembelian oleh JBPM.
“Sekiranya timbul sebarang keraguan berhubung isu ini, JBPM boleh menghubungi SPRM.” katanya.
Untuk rekod, suruhanjaya antirasuah itu merampas 6,000 baju kalis api di Balai Bomba Salak Tinggi yang dibeli JBPM bernilai RM13.5 juta kerana tidak mematuhi prosedur ditetapkan selain didakwa memalsukan sijil perakuan pakaian keselamatan itu.
Harian Metro hari ini melaporkan, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dianggap berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.
Ini menyebabkan anggota di balai berkenaan dikatakan terpaksa menggunakan baju kalis api ‘usang’ yang koyak ataupun berkongsi baju sama dengan rakan lain yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.
.https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/412323/siasatan-penyelewengan-baju-bomba-hampir-selesai