Pakatan Harapan (PH) mahu menghapuskan hak istimewa masyarakat Melayu dan mengancam kedudukan Raja Berperlembagaan-Lokman Noor Adam

Anggota majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menyifatkan “politik berbilang kaum” yang ditaja DAP sebagai “bullshit” (mengarut), lapor portal berita Hong Kong baru-baru ini.

Beliau mendakwa parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu mahu menghapuskan hak istimewa masyarakat Melayu dan mengancam kedudukan Raja Berperlembagaan.

“Politik pelbagai kaum DAP adalah bullshit.

“DAP menang kerana mereka buktikan kepada masyarakat Cina bahawa mereka hanya sanggup berperang melawan orang Melayu dan mereka satu-satunya yang sanggup berperang untuk hak yang sama, yang menentang perlembagaan,” kata Lokman yang dipetik oleh South China Morning (SCMP) semalam.

Beliau berkata demikian dalam laporan This Week In Asia mengenai politik perkauman yang menggugat Pakatan Harapan yang baru setahun memegang kuasa.

Dalam laporan yang sama, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin menyifatkan masih ‘ramai yang bodoh‘ kerana terperangkap dalam sentimen perkauman dan agama yang dimainkan Umno.

Sejak mengambil alih kuasa pada PRU14 lalu, Pakatan Harapan (PH) menjadi sasaran pembangkang kerana didakwa gagal mempertahankan hak istimewa orang Melayu Islam dan kedaulatan Raja-raja yang dijamin perlembagaan.

Ini termasuk usaha kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bagaimanapun perdana menteri Dr Mohamad menafikan dakwaan itu serta mengatakan pelbagai usaha dilakukan untuk orang Melayu Islam termasuk memulihkan semula institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan Felda.

Dalam ucapannya pada Persidangan Kebangsaan DAP hari ini, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menegaskan DAP mewakili semua kaum termasuk orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak.

Lim juga menyatakan tiada parti boleh mentadbir sendirian dan DAP komited untuk bekerjasama dengan komponen PH – PKR, Bersatu dan Amanah – untuk memperbaiki Malaysia.

“DAP berhasrat menjadi rakan kongsi yang berkuasa bukan untuk kuasa, bukan untuk wang, bukan untuk kepuasan diri, tetapi untuk Malaysia yang lebih baik yang kita semua boleh banggakan.

“DAP sangat jelas bahawa kita hanya akan berkuasa melalui pembentukan gabungan (beberapa parti) dan seterusnya menjadi rakan kongsi bertanggungjawab.

“Tiada parti boleh memerintah sendirian di Malaysia,” tegas anggota parlimen Bagan itu lagi.