Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’.

Image may contain: 1 person, sky, cloud, grass, outdoor and nature
Kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya.
Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan dan keinginan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keinginan kepada keduanya.
Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya.
Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu.
Lihatlah perancangan kewangan musim yang lalu. Betapa kekadang berlaku sesuatu di luar di luar dugaan. Disangka cukup, tiba-tiba mengurang. Dijangka sempit, tiba-tiba lapang. Tidak salah merancang di batas tadbir… tetapi segalanya terlaksana di alas takdir.
Justeru, pasakkan ke dalam hati selalu, Allah itulah Ar Razzak – Maha Pemberi Rezki – yang mampu memberi melalui jalan-jalan yang misteri. Jalan yang tidak mampu dijangkau oleh akal yang terbatas, justeru upaya-Nya yang Maha Luas.