Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Pengguna Facebook tuduh Wan Azizah curi AS$50 juta, Pemuda Keadilan buat laporan polis

Pengguna Facebook tuduh Wan Azizah curi AS$50 juta, Pemuda Keadilan buat laporan polis

 

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini dikatakan telah membuat laporan polis bagi meminta pihak polis menyiasat satu hantaran Facebook yang didakwa berunsur hasutan.

Menurut laporan, hantaran tersebut berkaitan sumbangan AS$50 juta dari Qatar kepada pelarian Rohingya di Malaysia yang diselaraskan oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly dikatakan membuat laporan polis di Balai Polis Ipoh, Perak pada pukul 3 petang bagi meminta pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap hantaran Facebook itu.

“AMK Perak melihat hantaran tersebut satu dakwaan jahat fitnah dan jenayah di bawah seksyen 499 dan seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“AMK Perak berharap tindakan dapat diambil oleh pihak polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) terhadap admin page (pentadbira halaman Facebook) ini,” Sidqi dilaporkan sebagai berkata.

Semalam, sebuah posting di akaun Facebook “Pejabat Timbalan Kanan Setia” mendakwa Wan Azizah mencuri dana AS$50 juta sumbangan Qatar Foundation kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Laman tersebut turut didakwa menggunakan perkataan-perkataan tidak senonoh terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dikatakan telah dipadamkan selepas ianya mendapat kritikan daripada netizen.

Jumaat lalu, Wan Azizah menafikan dakwaan sumbangan AS$50 juta dari Qatar telah disalurkan kepada Pakatan Harapan.

Pengguna Facebook tuduh Wan Azizah curi AS$50 juta, Pemuda Keadilan buat laporan polis

 

KEMANA DANA DARI QATAR DIBELANJAKAN ?

1 DANA QOTAR

 

Kemana perginya Dana Qatar Development Fund (QDF) Bantu Rohingya Di Malaysia ?.

1 ZAHID JUAL IC

PROJEK JUAL  IC KEPADA WARGA ASING SUDAH LAMA  UMNOBN LAKUKAN, TERUTAMA UNTUK PENGUNDI HANTU  DI MUSIM PILIHANRAYA.

1 TABUNG MEMALI.

TABUNG MEMALI PAS BOLEH TIPU.

JANGAN TERLALU RASIS DENGAN ISLAM/MELAYU SEHINGGA KITA KELIRU DALAM ISU MUSLIM ROHINGYA.

1 ROHINGYA 10

SEOLAH ASAP PALSU YANG MENGELIRUKAN KITA DALAM ISU MUSLIM ROHINGYA.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Tanahair ini sentiasa membahang panas dengan pelbagai isu yang menunjal-nunjal nurani kita. Seolah hilang keberkatan dan kemuliaan Ramadhan dilaman jiwa sebahagian umat Islam dinegara ini apabila isu pelarian Rohingya meledak sehingga membakar erti persaudaraan Islam. Segala bahan lama medsos dikitar semula bagi merencah api kebencian kepada pelarian Rohingya, bertimbun konotasi negatif dibalut pada kelompok pelarian ini . Pengotor, pemalas, kaduk naik junjung, pembelit, penipu dan seribu gelaran jelik sehingga kita terlupa sedang memasuki bulan rahmat dan bulan pengampunan.

Segalanya berakar daripada radius kurang daripada lima kilometer daripada pasar borong Selayang, pusat tumpuan masyarakat Myanmar meraih rezeki dan dikatakan bersikap ” besar kepala” . Bersambung dengan apa yang diviralkan tuntutan rakyat Rohingya untuk mendapatkan hak dinegara “semenanjung emas ” maka sebahagian kita seolah hilang kewarasan. Bahkan tanpa pemerincian , siapa sahaja terkait dengan Mynmar dikira sebagai Rohingya, bergentayangan maklumat salah dan separuh benar yang ditelan oleh masyafakat kita. Seorang pegawai tinggi tentera kelmarin menafikan bahawa dia menulis naratif sejarah etnik Rohingya yang menyatakan bangsa ini berasal daripada Bangladesh dan terusir kerana kebobrokan nilai dan sikap.

Ironisnya, kerajaan Islam Arakan atau pemetaan geografi dizaman kontemporari ini dikenali sebagai Rakhine State adalah asalnya sebuah kerajaan Islam yang berdaulat dizaman dahulu. Arakan daripada perkataan arkan ,arkanu atau rukun adalah merujuk kepada rukun Islam. Pada tahun 1913, kerajaan Islam Arakan pernah menghantar bantuan kewangan kepada khilafah Uthmaniah yang sedang berperang di Balkan. Kelicikan British memasukkan wilayah ini kedalam Burma sehinggalah Burma yang dimerdekakan pada tahun 1948. Bermulalah pemencilan kepada muslim Rohingya di Arakan dengan sejarah penindasan yang lebih daripada tujuh dekad.

Penghapusan etnik Rohingya berjalan dengan sistematik , bangsa ini dibodohkan dengan cara dinafikan hak untuk mendapat pendidikan . Mereka hanya meminta hak mereka sebagai manusia ,bahkan mereka hilang hak sebagai warganegara Mynmar. Jutaan etnik Rohingya melarikan diri termasuk ke Malaysia yang dipercayai mereka saudara muslim mereka. Hampir dua juta berkampong di wilayah Cox Bazaar di bangladesh. Mendiami kawasan padat dan kotor di Kem Khutuphalong, thangkhali,Bhakupali, Teknaf dan sekitarnya.

Nasib mereka kurang baik kerana berjiran dengan negara miskin Bangladesh dengan populasi lebih 160 juta penduduk. Dinegara miskin itulah nasib tuah badan mereka menumpang, ada yang mengambil risiko menaiki bot untuk melarikan diri ke negara lain akhirnya berbulan dilambung samudera Laut Andaman. Kematian mengintai mereka sehingga ada kalangan kita dengan mudah melayangkan amarah ” elok sangat Rohingya mati dibunuh tentera Mynmar, bagus mereka mati sahaja kelaparan ditengah lautan” dan pelbagai lagi bahasa kecaman bersalut api kebencian. Saya terlibat secara langsung dilapangan operasinal membantu muslim tertindas ini bersama NGO Muslim care Malaysia, pernah ke Mynmar, Bangladesh, Acheh Utara menyantuni mereka dan sejujurnya inilah pelarian paling malang dalam sejarah dunia!.

Saya mengesyaki ada sesuatu yang cuba dipesongkan perhatian kita semua dalam isu Muslim rohingya ini. Dalam tirai yang berlapis-lapis, rakyat seolah tidak menyedari apabila isu kerakyatan mula timbul pada apungan apabila orang kuat Jabatan Pendaftran Negara ditahan pihak keselamatan kerana sindiket menjual kad pengenalan.

Ironinya pula , semasa medsos menggelegak dengan ribuan warga Tanah besar China tidak keluar daripada Malaysia, seolah rakyat dipalingkan agar terlupa pada pangkal isu yang sebenar. Asap palsu mula direkayasa , rakyat tidak lagi bercakap isu lambakan pelancong asing yang tidak muncul setelah tamat tempoh visa. Puluhan ribu pelancong daripada Tanah Besar China ‘menghilang’ dengan visa sementara mereka. Rakyat sepatutnya wajar untuk bertanya dan perlu tahu apa yang terjadi kepada warga asing ini, apatah lagi permohonan menjadi warga negara Malaysia meningkat dengan mendadak dizaman kerajaan PH dalam tempoh 22 bulan. Jangan kita lupa ,dizaman kerajaan PH pula mengumumkan 22 billion ringgit nilai rumah mewah tidak terjual dan alan dibuka belian kepada warga asing. Ini semua menimbulkan kesangsian rakyat terutama warga Bumiputera yang sebahagian masih lagi berada dalam lingkaran ganas kemiskinan. Kluster kayangan warga asing ini masuk dengan berkepuk wang tidak sebagaimana etnik Rohingya yang papa dan tanpa pendidikan asas.

Rakyat wajar merasa bimbang dengan Teori konspirasi bidak catur musuh Islam untuk membawa masuk bangsa- bangsa luar demi mengucar-kacirkan sosiobudaya negara ini yang dilihat mempunyai peranan dalam komuniti dunia Islam. Dunia Islam tidak lagi memandang negara Arab sebagai sumber rujukan politik dan kebaikan. Negara bukan Arab seperti Turki dan Malaysia diintai sebagai kuasa semak dan imbang dalam komuniti Islam antarabangsa. Malangnya bacaan sosio politik kita amat lemah dan mudah terpancing dengan emosi sehingga menghujam semahunya saudara Islam kita. Saya tidak menafikan etnik ini juga mempunyai tampang negatif dan sisi gelapnya ,namun berpada-padalah kita dalam menghukum . RBA memancing kita agar saling bermusuhan dan membenci sesama muslim sehingga melupakan isu pokok yang sebenar.

Di wilayah Asia Tenggara ini, hanya negara Malaysia, Indonesia dan Brunei sahaja mempunyai majoriti umat Islam, kaum peribumi masih teguh memegang akidah Islam walau digoda untuk murtad. Tanah Jawi ini sepanjang sejarahnya diidamkan oleh bangsa-bangsa asing , kerajaan mestilah tegas dalam isu lambakan warga asing,mengadakan pemutihan kewarganegaraan serta menghukum pengkhianat negara yang terlibat dengan isu sindiket penjualan kad pengenalan sehingga nilainya ratusan ribu ringgit. Ubatlah sebelum negara ini berantakan !.

( Penulis ialah Aktivis bantuan Kemanusiaan Muslim Care Malaysia, Pengerusi LESTARI)

Kebanyakan Pekerja Asing juga Frontliner, Mengapa Mereka Di Hina ?

1 ROHINGYA C

Kebanyakan Pekerja Asing juga Frontliner, Mengapa Mereka Di Hina ?

Malu aku membaca kebanyakan reaksi rakyat Malaysia, apalagi ianya datang dari kalangan orang agama, sebagai muslim sejak PKPD di Selangor Mansion dan Masjid India melibatkan warga Asing.. yang terbaru melibatkan isu Rohingya..membaca reaksi mereka..sedih aku baca…

Pelbagai penghinaan yang ditulis, Bangsa tak guna, Pemalas, Pengotor, halau mereka balik ke negara mereka..Seolah olah mereka ini sama taraf dengan haiwan atau hamba abdi..Sedangkan kebanyakan mereka alah saudara sesama muslim..

kalau nak cari sifat2 jahat tu..tak kurang nya ada pada rakyat kita sendiri,, yang duduk dalam timbunan sampah di Kedah tu bukan rohingya, tapi bangsa Melayu..kalau begitu Ashabiyah nya kita , tidak ada bezanya kita dengan Trump dan sentimen white supremacy nya..

Begitu tebalnya semangat Ashabiyah,racistnya sebahagian rakyat kita.. Kita boleh kritik atas kelemahan Kerajaan mengawal mereka.. atau sikap sebahagian dari mereka..tetapi tak perlu sampai menghina dan membawa sentimen kebencian kepada mereka..mereka juga manusia..

Di Singapura, Sejak kes COVID-19 melonjak naik disebabkan kes melibatkan pekerja asing di Dormitori mereka.. Rakyat Singapura ramai dari kalangan mereka yang bersimpati berlumba lumba memberikan sumbangan , menghantar makanan menghargai khidmat mereka dalam ekonomi.. Mereka tak salahkan warga dan pekerja asing biarpun kes COVID di Singapore 90% darinya datang dari asrama pekerja asing..

Kelmarin bila mendengar ucapan PM Singapura, Hsien Long.. Aku rasa malu.. Bagaimana sifat sebagai muslim tidak ada dan hilang dari orang muslim sendiri.. apa kata Hsien Long dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung ?

” kami harus menjaga pekerja asing.. seperti mana kami menjaga warga Singapura.. Kami akan menjaga kesihatan dan mata pencarian mereka..ini adalah tanggung jawab dan kewajipan kami..”..

Tidakkah kita sebagai muslim rasa malu.. mana nilai dan sifat insani dan kemanusiaan kita ? Sebagaimana kita tidak layak menghina kelompok tabligh..Begitu juga kepada warga asing…mahupun pekerja asing..

Sebenarnya kalau kita faham, sebahagian mereka inilah frontliner bagi negara kita.. ada diantara mereka yang terlibat dalam sektor pembinaan dan perladangan.. , Perkhidmatan pembersihan dan pembentungan..dan pelbagai aktiviti Ekonomi.. Kalau takda pekerja asing ini rasanya ekonomi kita akan lumpuh..

Lihatlah di pasaraya, Hospital, Sektor Pembinaan, Kilang kebanyakan yang terlibat adalah pekerja asing..Apakah kita ingat sektor ini mampu diisi oleh rakyat tempatan.. Apa yang jadi masalah dalam negara kita, Bila selama ini pekerja asing dieksploitasi oleh majikan,Kapitalis hatta orang orang Politik..

Sampaikan ada pertuduhan melibatkan akses pekerja asing ini ,Syarikat yang membekalkan mereka ini dikuasai oleh adik beradik menteri.. sebenarnya inilah contoh perdagangan manusia yang dilakukan secara legal melalui jalan jalan Politik..Mereka kaya kerana mempunyai akses kepada Kerajaan dan orang orang Politik.. hatta yang membekalkan mereka ini dengan kerakyatan dan IC bukan kah kerja orang kita sendiri ?

Kenapa Singapura mampu mengatur, dan menyusun penempatan warga asing mereka secara sistematik.. kenapa tidak kita.. ? Sebab ramai dari kalangan pemimpin Politik..mereka hanya bersandiwara.. Kononnya nak tunjuk jaguh membela sesama Islam..hakikatnya.. hanya bertujuan mencari keuntungan Politik..

Soal penguasaan warga asing dalam Ekonomi bukan perkara baru..begitu juga jenayah..bukan hanya melibatkan warga Rohingya..hatta kalau kita lihat bagaimana warga India, Bangladesh dan Indonesia selama ini bermaharaja lela..

Cukuplah kita lihat kedai2 Acheh dan sekitar Chow kit.. Sebab apa ini berlaku ? Sebabnya pentadbiran negara kita dipenuhi dengan rasuah dan salahguna kuasa.. mereka ini tak mampu untuk datang, berniaga..kalau tidak ada warga tempatan yg khianat, yang menjual lesen dan permit untuk mereka…Hari ini bagi menutup salah laku, dan dosa dosa silam mereka, mereka mengajak kita utuk turut sama memainkan politik kebencian..

yang menyebabkan banyak hak Melayu tergadai kepada warga asing.. adalah kerja mereka.. itulah yang mereka lakukan sekian lama dalam Politik.. Segala Dosa Dosa UMNO gadai tanah dan hak Melayu dan Islam..akhirnya mereka cuba salahkan DAP.. 🙂

Ipohmali

Rohingya: Apabila meminta hak menjadi manusia bertukar kepada sentimen kebencian

1 ROHINGYA 10

JADI, apa yang baharu tentang Rohingya? Bukan baharu lagi kalau isu tentang ini didebat seputar penindasan, mangsa keganasan atau dilabel yang hodoh-hodoh sahaja. Oh ya, baru saya teringat, sejak beberapa minggu ini, begitu rancak perbualan dan perbincangan di platform dan akaun media sosial saya tentang etnik digelar makhluk paling malang sekali di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini.

Ini baharu : Bahawa, rancaknya mereka- lebih tepat kalau disebut netizen, mereka berkicau tentang Rohingya, mengenai asal-usul mereka, hal berkaitan sejarah dan kaitkan pula dengan faktor sebenar kedatangan mereka ke negara jiran, sehingga mendapat berjuta-juta balasan.

Ada juga, dan ini juga baharu : Status yang melewati di paparan Facebook, menuduh saya rasis, tidak patriotik, menyebelahi satu pihak dan mendakwa saya membisu sebagai pengkaji Rohingya.

Maka, tulisan ini dibawa dan saya mahukan ia berdiri dengan adil dalam maknanya, iaitu meletakkan sesuatu di tempatnya. Tempat di sini dirujuk kepada saya, warga tempatan serta sebagai pengkaji budaya dan sosiologi Rohingya dan Rohingya, etnik tertindas sebagai pemegang status pelarian.

Sambil menulis sebagai reaksi kepada pemerhatian dua tiga minggu ini, pandangan ini dihasilkan dengan penuh hati-hati, sangat tertib – bukan kicauan balas yang bergerak kerana emosi turun naik disebabkan perkembangan tertentu, tetapi digerakkan berdasarkan kepada fakta, etika dan data, medan yang barangkali tidak digunakan, atau setidak-tidaknya dilupakan oleh netizen semasa membahaskan perkara ini.

Tetapi, kicauan itu juga tidak baharu bukan? Tanya salah seorang sahabat alam maya saya, dihantar satu mesej secara peribadi. Ya, jawab saya, sebelum kemudiannya menyambung, ini, pada hemat saya, propaganda terancang menjadikan Rohingya alat menyemai kebencian atas kepentingan pihak tertentu.

Untuk tulisan ini, saya mahu mulakan dengan fakta. Ketika ketakutan akibat dan kesan COVID-19, dengan mata jadi cemas memerhatikan dompet dan poket makin menipis, angka-angka momok pula meningkat catat pesakit positif dijangkiti, gelisah dihimpit kematian makin menjadi-jadi, berlegar-legar di media sosial mendakwa mereka penyebar virus halimunan ini. Maka ekonomi perut, lekas memberi reaksi.

Dalam kita hampir sahaja menyerah dan meniti hari melelahkan, cukup mudah untuk mencari sesiapa sahaja boleh dijadikan bahan. Nah, di sini, kita seolah-olah terlupa siapa dan bagaimana. Contohnya, kita pernah “mengiyakan” Rohingya ialah pelarian, kita bantu mereka atas dasar kemanusiaan. Ketika itu, kempen menyantuni mereka cukup semarak. Kalau kita belum lupa, pemimpin negara juga pernah hadir dalam satu rapat umum untuk solidariti kepada etnik ini. Tetapi apa sudah jadi sekarang? Sejarah mereka (yang belum tentu ada benarnya) digali semula, mencurah-curah mendakwa mereka bangsa yang zalim, maka jangan kita terima mereka, sudah diberi betis mahu peha, ini sikap tidak tahu diuntung.

Begini. Saya faham dan difahamkan, kemarahan dan kebencian ini bertitik-tolak kepada insiden di mana mereka ditahan di perairan masuk ke Malaysia dan dikhuatiri membawa jangkitan. Kemudian rasa tidak puas hati ini bertukar marah pula apabila mereka dikatakan enggan disaring, langgar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ia kemudian dibawa ke medan media sosial. Dapat difahami, daripada tidak puas hati bertukar marah dan menjadi benci pula kalau perbincangan beralih arah. Diburukkan dengan satu tuntutan”tidak berterima kasih sifatnya” oleh individu dikatakan pemimpin persatuan Rohingya, media makin rancak membincangkan isu ini. Semua elemen, tidak puas hati ada, marah dan benci sahaja – “notoRohingya” menyusuli perbincangan yang tersedia.

Kepada dakwaan-dakwaan ini, saya mahu katakan begini. Mereka ini Rohingya, bukan Muslim Myanmar atau Bangladesh. Mereka ini tiada pasport atau dokumen, hanya ada kad UNHCR. Mereka ini pelarian, mudah dimanipulasi, tidak mendominasi perniagaan tempatan. Mereka menunggu untuk dibantu, makan minum dan menyara keluarga. Kalau ada yang mendakwa “mereka semua” kini sudah begitu melampau, mungkin ia didorong membuat kenyataan secara “pukul rata” menyamakan Rohingya dan Muslim Myanmar dan juga Bengali dari Bangladesh.

Apa yang saya belajar dan kaji, juga hasil pembacaan ratusan buah buku, tiga kelompok ini adalah etnik yang berasingan, lalu menerima nasib berbeza walaupun menumpang di tanah yang sama. Ambil contoh di Pasar Borong Selayang, berdasarkan kajian untuk tesis Ph.D saya, “The Myanmar Rohingyas, Challenges Faced by “refugee” Community in Malaysia”, kebanyakan peniaga adalah Muslim Myanmar, dan bukan Rohingya.

Semua pemilik perniagaan asing adalah milik Muslim Myanmar (ada juga bukan Muslim) dan mereka bukan pelarian, memiliki pasport, justeru senang bawa masuk barang dari Myanmar dan kemudiannya berjual beli di negara ini.

Kebanyakan yang bekerja dengan mereka ini adalah dari Bangladesh dan Rohingya sekadar pekerja bawahan bergaji cukup makan. Namun, barangkali kerana rasa tidak puas hati, kita jadi tersalah marah dan mungkin juga buruk sangka.

Di Indonesia bezanya, hampir tiada lagi pelarian Rohingya disebabkan mereka semua sudah ditempatkan ke negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Sweden. Kalaupun ada, mereka di tempatkan di pusat penempatan, tidak berselerak seperti di Malaysia. Di Malaysia, data menunjukkan, sudah beberapa ribu pelarian juga ditempatkan di negara ketiga tetapi prosesnya amat perlahan.

Pelarian Rohingya berhak dapat perlindungan di Malaysia kerana mereka lari dari penghapusan etnik oleh tentera Myanmar.

Sebab itu, atas patuh kepada undang-undang antarabangsa, Malaysia benarkan mereka tinggal di Malaysia sehingga keadaan selamat untuk mereka pulang ke negara asal. Jadi, apa isunya? Kalau itu faktanya, mereka yang marah-marah sehingga ada petisyen “katakan tidak kepada Rohingya”, sudah kenapa?

Dalam hal ini, saya juga mahu senada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengakui cara tangani isu etnik tertindas ini perlu bijak selain beliau melihatnya lebih kepada situasi yang berlaku di Malaysia kerana ketika ini seluruh dunia menghadapi kesukaran untuk berada dalam keadaan stabil ketika berhadapan dengan COVID-19.

Kemudian saya mahu menyentuh mengenai etika dan manusiawi. Begini : Kalau Rohingya beragama Buddha, maka tiada sebab mereka perlu dihapuskan atas hujah tidak memberontak di negara sendiri, Myanmar.

Maka Malaysia menjadi destinasi mereka sebab negara kita adalah negara Islam. Ini adalah pendirian Malaysia dan juga pendirian Pertubuhan Negara Islam (OIC), malah, menjadi asas pembelaan terhadap mereka.

Mereka lari dan menjadi pelarian untuk selamatkan nyawa dan aqidah. Mereka, dalam bahasa Arab, adalah kaum Muhajirin dan kita adalah kumpulan Ansor. Di peringkat ini, kita sebagai Ansor wajar menyantuni mereka sebagai kaum Muhajirin.”Inilah sirah paling utama Rasulallah dalam membentuk negara Islam Madinah, sewaktu peristiwa Hijrah.

Kalau itu belum cukup, saya sentuh sedikit mengenai manusiawi. Rakan saya, Aslan ada menulis mengenai sentimen anti-Rohingya ini di FB beliau. Saya petik beliau berkata, “Amat ironi sekali, apabila Aylan Kurdi, anak Syria, mati terdampar  di pantai, kita menangis melolong; tapi kita menolak ratusan pelarian yang kelaparan tiba dengan bot.” Katanya lagi, alangkah tidak manusiawi apabila kita semua seolah-olah bersetuju bahawa permintaan mereka untuk mendapat hak menjadi manusia dikatakan aneh, seolah-olah ketamadunan hilang tamadunnya. Mereka minta diberi kerja, peluang pendidikan dan diterima sebagai manusia – hak untuk semua manusia di dunia ini, tanpa terkecuali pelarian tiada negara seperti Rohingya.

Saya kaitkan apa yang ditulis Aslan itu dengan kenyataan ini. Ketika mana perang terdapat wabak COVID-19 masih belum tentu bila akan berakhir, ada sedikit perkaitan bagaimana wabak ini secara tidak langsung mengangkat semula kepentingan ilmu kemanusian dan sains sosial kepada kemanusian. Perbahasan bukan berlegar tentang sifat ketulenan sains itu, tetapi lebih kepada tentang sikap, perangai, norma, nilai dan budaya sesebuah masyarakat dan ketamadunan.

COVID-19 ini sebenarnya menonjolkan persoalan tentang kepimpinan, struktur dan sistem kerajaan, proses pembuatan dasar dan cabaran penyampaian perkhidmatan. Komunikasi menjadi kunci ketika mana manusia berada dalam kebingungan mencari hala tuju berdepan dengan apa yang mereka tidak pernah alami sebelum ini. Dalam situasi ini, sejarah tetap menjadi pedoman dalam mencari model merencana tindakan. COVID-19 mengajar kita bukan sahaja tentang virus dan perubatan tetapi mengangkat kepentingan pemahaman kita tentang manusia dan kemanusiaan.

Sebagai pengkaji, saya kira tiada yang baharu tentang sentimen anti-Rohingya ini. Ia akan tenggelam, bermusim, sama juga seperti bantuan-bantuan kita berikan kepada pelarian lain, iaitu berebut-rebut beri ketika ramai memberi. Kawalan perasaan bercampur emosi ini juga tidak akan pernah berubah, – ada simpati dan benci – kerana darjah kefahaman kemanusiaan kita turun naik selari dengan perkembangan semasa.

Sebagai manusia, saya beranggapan, apa yang “baru” menimpa Rohingya ini, tidak selari dengan ajaran dan sirah Rasullah, apa lagi ketika umat Islam baru sahaja dalam minggu pertama menyambut Ramadan di mana umat Islam disaran menjadikan bulan penuh berkat ini sebagai madrasah untuk melonjakkan ketaqwaan dan ibadat kepada Allah.

Saya mahu menamatkan tulisan ini dengan memetik kenyatan bahawa, selepas sesuatu kejadian besar, pasti ada perubahan besar. Contohnya, selepas Perang Dunia Pertama, British perlukan lebih banyak pendapatan disebabkan menanggung kerugian yang banyak dalam perang. Apabila peristiwa 13 Mei berlaku, ia menumbangkan pemerintahan Tunku Abdul Rahman dan aspirasi beliau terhadap Malaysia. Tanpa kuasanya, Malaysia jadi berbeza apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.

Wabak COVID-19 tentunya ada impak yang akan mengubah negara, yang dinantikan kita semua. Kalau perubahan itu dari sudut sosial dan perhubungan sesama, nampaknya, perubahan adalah berbentuk kepayahan dan kesusahan untuk memecahkan mentaliti penjarakkan sosial dan skeptikal sesama kita. Dan, belum tahu bila akan berakhir sekali pun, isu Rohingya, manusia dan manusiawi, adalah salah satu daripadanya. Ini kerana, ada pihak menjadikannya isu perkauman dan keagamaan walaupun pandemik ini barangkali seputar isu kesihatan global, ilmu sains sosial dan kemanusiaan serta geografi.

http://www.astroawani.com/berita-dunia/rohingya-apabila-meminta-hak-menjadi-manusia-bertukar-kepada-sentimen-kebencian-240120?utm_source=insider&utm_medium=web_push&utm_campaign=26042020-rohingya%3A_apabila_meminta_


*Dr Azlinariah Abdullah juga merupakan penulis buku “Air Mata Kesengsaraan Rohingya : Identiti, Pelarian dan Penindasan”.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

ROHINGYA YANG BAIK

1 ROHINGYA 10

ROHINGYA YANG BAIK

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Ramai duk cherita pasal Rohingya yang hawaq dan menyakitkan hati, meh saya cherita pula Rohingya yang baik yang saya pernah jumpa.

2) Hampir semua Rohingya yang baik yang saya jumpa adalah kaki surau/masjid. Ada yang kerja sebagai tukang rumah, tukang jaga kebun, dan kerja-kerja pembantu yang lain.

3) Baik lelaki, atau perempuan, atau tua, atau muda, semuanya berwatak baik, lemah lembut tutur-kata, jauh sekali untuk buat perangai huduh sebagaimana watak-watak ‘Rohingya’ yang anda sekalian marahkan.

4) Mereka bukan pemalas, bukan pengotor. Mereka rajin dan pembersih. Jika mereka sampai awal di masjid/surau, mereka tolong buang tahi-tahi cicak jika ada. Sentiasa kemas walaupun pakaian mereka agak lusuh mungkin sebab dah lama. Ada yang kepala tak ada rambut, tapi bawa sikat. Rupanya untuk sikat janggut.

5) Mereka rajin solat berjamaah, suka duduk dengar kuliah ustaz mengajar, solat-solat sunat pun kerap buat, tidak miss sedekah dalam tabung masjid setiap hari Jumaat, dan sebagainya.

6) Jarang berbual dengan orang. Tetapi suka layan dengan baik orang yang mahu berbual dengan mereka. Hati mereka pilu dan sedih jika ditanya mengenai kaum keluarga di Myanmar. Ada yang cherita anak dibunuh depan mata. Ada yang menitis air mata.

7) Ada seorang tukang rumah Melayu, memiliki ramai pekerja pada mulanya. Pekerja datang dan pergi. Sehingga ada dua orang Rohingya yang baik bekerja dengannya. Disebabkan rajin dan soleh, dia mengambil mereka sebagai pekerja tetap dan disediakan kepada mereka rumah dan makan minum.

8 ) Tukang rumah itu siap cherita kepada orang, Tuhan beri rezeki kepadanya dapat dua pekerja yang lebih baik daripada 10 pekerja yang dia pernah ada. Datang dengan tidak reti apa pasal pertukangan dan pembinaan, sekarang sudah mahir bermacam perkara.

9) Kebanyakan Rohingya baik yang saya temui, semuanya rajin dan multi-tasking dalam bab kerja-kerja lasak walaupun perwatakan mereka lemah lembut. Jika mereka hadir gotong-royong rumah kenduri, mereka ringan tulang membantu.

10) Mungkin anda yang sangat benci Rohingya, kerana selalu jumpa ‘Rohingya yang hawaq’. Ataupun mungkin anda tersalah identify antara Rohingya dan etnik Myanmar Muslim yang lain yang rupa seakan Rohingya. Atau orang Myanmar non-Muslim yang serupa rupa paras mereka?

11) Ada orang kata, tidak semua Rohingya baik. Orang juga boleh kata tidak semua Rohingya jahat. Jangan tersalah hukum dan generalize semua Rohingya sama. Saya pernah jumpa yang baik-baik, dan pernah jumpa yang hawaq. Yang hawaq ni pintu pagar rumah orang pun dia cabut bawak lari jual. Entah betul ke tak yang hawaq tu ‘Rohingya’.

Sekian

Qatar Development Fund (QDF) beri dana khas bantu pelarian Rohingya di Malaysia

Qatar beri dana khas bantu pelarian Rohingya di Malaysia

TPM Ahmad Zahid melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) sempena lawatan kerja empat hari ke Qatar, semalam. – Foto Bernama

DOHA: Qatar kini antara negara Islam terbaru tampil menyatakan ikrar memberikan penajaan dana untuk menyokong Malaysia dalam melaksanakan projek kemanusiaan membantu pelarian Rohingya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata

Qatar bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi membiayai usaha membantu rakyat Rohingya yang berada di Malaysia.

Melalui kerjasama itu, katanya, Qatar menerusi Qatar Development Fund (QDF) akan menyalurkan bantuan kewangan kepada pelarian Rohingya yang mempunyai kad Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata dana tersebut akan digunakan untuk pelaksanaan tiga projek tumpuan iaitu memberi latihan kemahiran dalam sektor perladangan dan perkilangan; mengendalikan prasekolah dan sekolah rendah bagi anak-anak Rohingya dan skim perlindungan insuran untuk rawatan dan perubatan.

“Persetujuan menyalurkan dana ini adalah respons positif Qatar terhadap usaha berterusan Malaysia menangani isu-isu mengenai Rohingya,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Qatar, malam tadi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) diberi tanggungjawab sebagai penyelaras projek bantuan itu bersama-sama beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Menurutnya, komitmen Qatar itu diperolehi hasil daripada beberapa siri perjumpaan beliau dengan pucuk pimpinan negara itu.

Katanya, selepas tamat latihan separa mahir dan mahir, pelarian berkenaan diberi peluang bekerja di sektor perkilangan dan perladangan di Malaysia untuk tempoh masa tertentu sementara menunggu konflik di kampung halaman mereka selesai.

Menurutnya, Qatar juga meminta supaya jalinan kerjasama dibuat dengan beberapa NGO yang dikendalikan oleh rakyat Myanmar di Malaysia dalam menyediakan kemudahan pendidikan prasekolah dan sekolah rendah untuk anak-anak Rohingya.

“Perjalanan sekolah ini hendaklah mengikut silibus sistem pendidikan Myanmar sekarang dengan tujuan apabila konflik yang berlaku di negara itu tamat, anak-anak ini dapat melanjutkan pelajaran menggunakan silibus sama,” katanya.

Selain itu, katanya, Qatar juga meminta Malaysia menyediakan satu pelan perlindungan insurans menerusi sebuah syarikat insurans bagi memastikan pelarian Rohingya itu mendapat rawatan perubatan yang terbaik.

Menurutnya, QDF akan membiayai bayaran premium insurans itu dan kemudahan itu hanya khas kepada pelarian Rohingya yang berlindung di Malaysia.

Malaysia selama ini menjuarai usaha membantu nasib minoriti rakyat Rohingya di Myanmar daripada terus menjadi mangsa diskriminasi oleh kerajaan negara itu.

Terbaru, Malaysia menganjurkan misi menghantar Flotila bantuan kemanusiaan untuk masyarakat Rohingya di Myanmar oleh lebih 25 NGO Malaysia dan antarabangsa.

— BERNAMA

http://www.astroawani.com/berita-dunia/qatar-beri-dana-khas-bantu-pelarian-rohingya-di-malaysia-131526