PETALING JAYA: Seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap malam tadi dalam siasatan polis ke atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Khalid Ismath ditangkap pada 10.30 malam di rumahnya di Klang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara untuk direman.
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata bekas ketua Pemuda PSM itu ditahan atas tuduhan bawah Seksyen 4(1)(b) dalam siasatan berkaitan dengan catatan Twitter yang didakwa dibuat terhadap Tunku Azizah.
“Khalid sebelum ini sudahpun menafikan beliau menulis apa-apa di Twitter terhadap Raja Permaisuri Agong,” katanya dalam kenyataan.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membuka siasatan bawah Akta Hasutan selepas menerima satu laporan berhubung penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong.
Laporan itu dipercayai dibuat selepas Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitter.
Penutupan akaun itu menjadi perbualan di media sosial, dan sestengah pengguna percaya ia ada kaitan dengan beberapa komen yang didakwa dibuat terhadap Tunku Azizah.
Bagaimanapun, Tunku Azizah hari ini dilapor berkata akaun Twitter itu ditutup atas sebab peribadi dan tidak sedar tentang komen-komen tersebut.
Arutchelvan merujuk kepada kenyataan Tunku Azizah itu dan mengingatkan kerajaan akan pendirian Pakatan Harapan terhadap Akta Hasutan.
“Penggunaan akta ini secara berterusan merupakan satu pencabulan hak asasi manusia dan ia harus dihentikan,” katanya.