Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat negeri Perak di Ipoh. – Foto Abdullah Yusof
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu semua pihak yang sudah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah masjid supaya bersifat tegas dan bijaksana.
Mereka juga seharusnya tidak membenarkan diri dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana kumpulan politik.
Titah baginda, jika ada pihak yang memiliki agenda dan cita-cita politik, baik dalam kalangan ahli jawatankuasa yang dilantik, begitu juga penceramah yang diberikan tauliah, mereka hendaklah secara jujur, dan mulia berundur diri, daripada bersifat gunting dalam lipatan.
“Jawatankuasa kariah, hendaklah pada setiap masa bersifat berkecuali daripada politik kepartian. Ceramah yang berlangsung di dalam masjid dan surau hendaklah juga tidak memihak atau mencemuh mana-mana parti politik agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kariah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.
Titah Sultan Nazrin, pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di negeri Perak, wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid, sebagai institusi menyatupadukan ummah, institusi yang wajib dimuliakan, diimarahkan dan wajib dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.
“Sedar, musuh utama yang besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak.
“Ummah hari ini berpecah kerana budaya yang diamalkan untuk memancing pengaruh dan mendapatkan sokongan politik, sangat bercanggah dengan ajaran dan nilai murni Islam.
“Mengaibkan dan memburukkan lawan dijadikan senjata utama dan semakin digalakkan, mengatasi usaha untuk melakukan yang makruf, kebenaran sudah dikorbankan kerana emosi sudah mengatasi kerasionalan.
“Fitnah menjadi lumrah, diolah, termasuk oleh kalangan yang mematuhi Rukun Islam yang lima, bersyahadah, menyempurnakan solat, menunaikan zakat, berpuasa dan mengerjakan haji; penyebaran fitnah dipermudahkan dan dirancakkan dengan adanya media sosial,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin lagi, sekian lamanya, sejak umat Islam di negara ini mengenali politik, masjid sentiasa menjadi tempat idaman untuk disemaikan pengaruh bagi mendapat laba politik.
Baginda bertitah, disebabkan kelemahan pemantauan, pernah berlaku peristiwa solat dua imam dalam satu masjid, serta ada masjid hanya dikunjungi kumpulan politik tertentu tetapi dipulaukan oleh kumpulan politik lawan.
“Akhir-akhir ini, individu daripada kumpulan politik tertentu menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik dan bukan kerajaan (NGO) untuk menembusi masjid dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan dalam masjid dan dalam kawasan masjid.
“Program yang membawa jenama tertentu, dijadikan topeng melindungi niat sebenar. Amatlah janggal jika penceramah yang diberikan tauliah, diberikan penghormatan berceramah, menyalahgunakan amanah diberikan dengan menyelitkan unsur-unsur yang mencerca, menyindir dan merendahkan petugas Jabatan Agama Islam Negeri dan Polis Diraja Malaysia,” titah baginda.
