Kerajaan boleh alami defisit kepercayaan akibat berita palsu

EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pusat, Muzzammil Ismail.

Kerajaan boleh alami defisit kepercayaan akibat berita palsu

KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh mengalami ‘defisit kepercayaan’ daripada rakyat kerana pengaruh propaganda atau berita palsu bersifat populis disebarkan pembangkang termasuk tindakan mereka cuba mengheret institusi istana ke dalam kancah politik.

EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pusat, Muzzammil Ismail, berkata meskipun kerajaan berjaya menyelesaikan masalah peninggalan pentadbiran lalu seperti isu Tabung Haji dan FELDA, namun ia dibimbangi tidak mampu ‘menyaingi’ propaganda disebarkan pembangkang, sekali gus membuatkan rakyat termakan hasutan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa memainkan peranan dengan mendedahkan setiap berita palsu yang dibuat ahli politik dengan niat untuk menjatuhkan imej kerajaan, menggunakan semua platform sedia ada termasuk televisyen dan radio.

“Jika adanya ahli politik melaporkan atau memviralkan tuduhan palsu, kerajaan melalui SKMM seharusnya mengambil pendekatan menerangkan bahawa berita itu palsu selain mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Ini kerana politik hari ini dipengaruhi apa yang berlegar di internet… keputusan ditentukan dengan keriuhan media sosial. Jadi maklumat yang betul atau tipu juga dianggap sebagai maklumat… kerajaan pula terlalu berlembut.

“Selagi mana kementerian (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) terbabit lemah dalam memasung pihak yang bebas dan berani membuat berita palsu, provokasi dan hasutan, selagi itu masyarakat akan terjelepok jatuh ke dalam ruang propaganda,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung isu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dalam penganjuran Sesi Teh Tarik Empat Putera Mahkota Bersama Rakyat yang menjadi viral sejak Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, pihaknya membidas tindakan Lokman itu kerana didakwa cuba mengheret institusi istana ke dalam polemik politik melalui penyebaran berita palsu dan propaganda dilakukannya.

Beliau berkata, Lokman tidak seharusnya ‘memainkan peranan’ walaupun secara tidak langsung dalam penganjuran ‘Sesi Teh Tarik Empat Putera Mahkota Bersama Rakyat’ kerana ia berupaya menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat.

“Menjelang setahun genap pentadbiran baharu Malaysia, berita palsu dan propaganda yang mengheret institusi istana ke dalam polemik politik busuk semakin menjadi-jadi.

“Tindakan ini turut dilakukan pemimpin pembangkang, Lokman yang membuat kenyataan palsu dengan berselindung di sebalik ketayap dan jubah menyebabkan ramai percaya, ” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/558851/kerajaan-boleh-alami-defisit-kepercayaan-akibat-berita-palsu?fbclid=IwAR1AFuApAcdsyMi8a5fJJa0CrfE6Z5uulrWYUdh9FHAGAJUENggf89qRlzc