Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Enam pertubuhan hadiri majlis peringatan Perjanjian Damai Hatyai, disahkan haram

 

1 MCA KOMINIS

MUAR, 13 Dis — Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan enam daripada sembilan pertubuhan yang dipercayai menghadiri majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor awal bulan ini, merupakan pertubuhan haram.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai perkara itu dan mendapati tiga pertubuhan sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Ya, itu laporan yang saya terima (bermakna) mereka tidak berdaftar. Mereka (enam pertubuhan itu) adalah pertubuhan yang haram, tiga (pertubuhan) sahaja yang berdaftar dengan ROS,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh, di sini.

Muhyiddin berkata pihak polis kini sedang meneliti secara mendalam mengapa pertubuhan berkenaan menganjurkan majlis itu.

“Itu soal daftar, tak berdaftar, yang penting (untuk) kita ambil kira ialah kenapa mereka terlibat dalam aktiviti yang dikatakan ada kaitan dengan Chin Peng kah, komunis kah, apakah ini satu usaha untuk menunjukkan ada minat untuk membawa semula ideologi lama.

“(Hasil siasatan) akan diumum pada khalayak umum…apa hasilnya, dan kalau terbukti ia ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan semula (ideologi)…maka kita perlu ambil tindakan tegas,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu juga berkata memandangkan Parti Komunis Malaya (PKM) sudah diharamkan, ideologi komunis sepatutnya tidak harus diwujudkan lagi di Malaysia.

“Kita ada sistem demokrasi berparlimen yang mana sejak 60 tahun sudah berjalan dengan baik, negara aman, kekal…maka jika ada langkah-langkah yang terpesong sedikit daripada sasaran yang ada, kita tidak boleh pandang ringan. Oleh itu, apa sahaja jenis kegiatan kita perlu pantau,” katanya.

Terdahulu, ROS dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata daripada sembilan pertubuhan yang dipercayai terlibat dalam majlis peringatan itu, hanya tiga telah dikenal pasti sebagai pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Sehubungan itu, ROS telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] supaya ahli jawatankuasa pertubuhan berkenaan hadir ke jabatan untuk memberi keterangan berkaitan penglibatan pertubuhan dalam majlis peringatan itu.

Sementara enam lagi pertubuhan yang turut dikenal pasti terlibat dalam majlis peringatan itu adalah pertubuhan yang tidak berdaftar dan disifatkan sebagai ‘Pertubuhan Yang Menyalahi Undang-Undang’ di bawah Seksyen 41(1)(b), Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan di bawah Seksyen 43 akta sama yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan yang sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara.

Ketika ditanya sekiranya ada keperluan untuk mendedahkan nama enam pertubuhan haram itu, Muhyiddin berkata ia penting bagi memberi kesedaran kepada ahli-ahli dalam pertubuhan itu.

“Mungkin yang terlibat itu tidak sedar bahawa mereka terlibat dengan kegiatan sebegitu (tapi) kalau mereka datang daripada pertubuhan yang tidak berdaftar, sepatutnya mereka tidak boleh menjalankan apa-apa kegiatan. Itu melanggar undang-undang negara dan kita boleh ambil tindakan,” katanya.

Pada 1 Dis lepas, sebuah portal berita melaporkan satu perjumpaan dan perhimpunan dipercayai melibatkan bekas anggota PKM dianjurkan di Kajang, sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Dis 1989.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1799214&fbclid=IwAR3OKsWR08GTPNtPjIoR-AeV1ZNt3bRUYHIxLqE1v89BNvvnsDuooIggFLQ

Ketagihan dadah, jika tidak dibendung, negara kerugian tenaga belia – Muhyiddin

Muhyiddin bersama Alwi (kiri) dan Zulkifli (kanan) menunjukkan Pelan Tindakan Jom Hijau AADK 2019-2021 pada perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2019 hari ini. --fotoBERNAMA

Muhyiddin bersama Alwi (kiri) dan Zulkifli (kanan) menunjukkan Pelan Tindakan Jom Hijau AADK 2019-2021 pada perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2019 hari ini. –fotoBERNAMA

BANGI: : Seramai 85,575 orang belia berumur antara 19 dan 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah sejak tahun 2014 hingga 2018, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jumlah tersebut adalah 73.6 peratus daripada 116,206 orang penagih yang dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh lima tahun berkenaan.

“Golongan belia adalah golongan yang paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah. Jika ia tidak dibendung, negara kita akan mengalami kerugian tenaga belia.

“Mereka yang seharusnya produktif membangunkan negara, terpaksa menanggung pelbagai masalah sosial akibat penyalahgunaan dadah,” katanya pada majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di Dewan Seri Akasia, Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, trend penyalahgunaan dadah di negara ini konsisten dengan trend dunia dan serantau.

“Daripada Januari hingga Disember lepas, dadah jenis methaphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah yang paling banyak disalah guna iaitu sebanyak 61.9 peratus daripada keseluruhan dadah.

“Ia diikuti dadah jenis heroin sebanyak 23.3 peratus. Dan trend ini agak berbeza daripada tahun 2017 yang mana heroin lebih banyak digunakan berbanding methamphetamine,” katanya.

Dalam konteks ini, tegas Muhyiddin, peranan keluarga amat penting bagi mencegah golongan remaja daripada terlibat dengan gejala dadah.

Katanya, banyak kajian menunjukkan pengawasan dan sikap mengambil peduli tentang aktiviti anak-anak serta anggota keluarga boleh mencegah mereka daripada terjebak gejala berisiko.

Menurutnya, antara usaha memerangi dadah ialah dengan membuat pengekalan kepulihan klien Orang Kena Pengawasan (OKP) di dalam komuniti.

“Berdasarkan pemantauan dan penilaian AADK, didapati kadar kepulihan bekas-bekas klien yang telah menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti untuk tempoh dua tahun, adalah seramai 8,449 orang atau 55 peratus daripada 15,249 OKP yang dinilai.

“Ini melebihi sasaran 40 peratus yang telah ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama kementerian ini bagi tahun lepas,” katanya.

Muhyiddin berkata untuk membantu bekas penagih dadah pulih sepenuhnya, stigma terhadap penagih dadah yang telah dirawat harus dikikis.

Pada tahun lepas sahaja, tambahnya, seramai 4,654 orang klien dibebaskan dari pusat pemulihan.

“Untuk mengekalkan kepulihan dan membolehkan mereka diterima masyarakat, sokongan komuniti setempat amat penting dalam menerima mereka ini agar tidak mengulangi penagihan apabila merasakan diri mereka tersisih.

“Pencegahan penagihan berulang antara komponen rawatan dan pemulihan dadah yang penting. Statistik menunjukkan sejak tahun 2014 hingga Disember lepas, hanya 25 peratus kes dikesan merupakan penagih dadah berulang,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Kerajaan tidak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia – Muhyiddin

BANGKOK, 27 Nov — Kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Persoalannya adakah pihak terbabit telah memaklumkan perkara itu atau ia diseludup masuk ke negara kita dengan tidak diketahui pihak berkuasa.

“Yang pasti, kita tidak mengetahui langsung (abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia). Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa pihak telah membuat laporan polis dan perkara itu akan disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita tidak mahu melihat isu ini berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutamannya terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” katanya.

Muhyiddin berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Semalam, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 Sept lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lalu dan dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1793938&fbclid=IwAR33KIiU4kAyNn2tQ2uMhNWeMv0WdZUSWPVARi5xbdeKN8QM4mMfSdYMh7U#.Xd5Dlr_Y1AF.facebook