Scammer palsukan dokumen guna nama Lim Guan Eng

Image may contain: 5 people, text
Scammer palsukan dokumen guna nama Guan Eng
10 Mar 2019
PUTRAJAYA – Pejabat Menteri Kewangan membuat laporan polis berhubung tindakan penipuan dan pemalsuan dokumen oleh scammer menggunakan nama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutfi Hakim berkata, ia berikutan seorang individu berasal dari Filipina mendakwa telah menerima emel daripada alamat emel bersama sepucuk surat kononnya ditandatangan oleh Guan Eng pada 4 Mac lalu.
Menurutnya, perkara tersebut sampai kepada pengetahuan Guan Eng selepas individu berkenaan mengirimkan emel ke alamat rasmi Guan Eng untuk mendapatkan pengesahan berkaitan ketulenan surat yang diterimanya.
“Emel dan surat tersebut secara keseluruhannya mengandungi maklumat menyatakan Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa seorang diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) bernama Bleck Dildrop telah diberi kuasa untuk mengendalikan transaksi individu tersebut.
“Suatu kotak telah dihantar kepada individu tersebut dan kotak ini hanya akan dihantar kepada beliau sekiranya bayaran berjumlah AS$30,520 dibayar kepada diplomat tersebut. Sebaik sahaja individu tersebut membuat bayaran berjumlah AS$30,520 kepada diplomat tersebut dan kotak itu akan dihantar kepada alamat beliau di Filipina.
“Surat berkenaan turut mengandungi tandatangani Guan Eng dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan ahli Government Secretariat Executive Council,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Lutfi berkata, Kementerian Kewangan dan Guan Eng tidak pernah mengeluarkan surat sedemikian dan tidak mengetahui tentang kotak bayaran berjumlah AS$30,520 seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut.
“Surat tersebut adalah surat yang palsu dan telah dikeluarkan untuk tujuan menipu. Tindakan menipu dan memalsukan dokumen tersebut merupakan kesalahan di bawah pelbagai seksyen dalam Kanun Keseksaan (termasuklah Seksyen 417, 419, 426, 464, 465, 468 dan 476).
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengesahkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan MOF melalui saluran-saluran rasmi seperti yang tertera di laman web MOF di http://www.treasury.gov.my/,” katanya. C & P.