Kes SRC: Mahkamah perintah Najib bela diri
11:31 tengahari (Dikemaskini 11:38 tengahari)
Hidir Reduan Abdul Rashid, Hariz Mohd
KES SRC NAJIB l Bekas perdana menteri, Najib Razak, diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi kes tersebut.
Menurut Mohd Nazlan, Najib memainkan peranan dalam pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011.
Beliau juga mendapati bekas presiden Umno itu menggunakan dana sebanyak RM42 juta daripada SRC untuk kepentingan sendiri.
Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.
Terdahulu pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 27 Ogos lalu selepas Najib mula dibicarakan 3 April.
Seramai 57 saksi dipanggil memberi kenyataan, termasuk bekas pengurus perhubungan awam AmBank Bhd, Joanna Yu, serta bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah.
Mohd Nazlan menetapkan 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Dis ini untuk Najib dibicarakan.
Pada hari pihak pendakwaan menggulung hujah mereka, Peguam Negara Tommy Thomas menawarkan seramai 66 saksi kepada pihak pembelaan.