4 karyawan Melayu/Islam Singapura tubuh sekolah antarabangsa di Kemboja

SINGAPURA: Dengan pendidikan sekolah rendah yang diwajibkan di Singapura, murid-murid berusia tujuh hingga 12 tahun di sini berupaya menimba ilmu dalam sekitaran yang canggih, selamat dan bertaraf dunia.

Namun, tidak semua kanak-kanak di luar negara seuntung mereka. Contohnya golongan fakir miskin, anak-anak yatim piatu serta mereka yang tinggal di kawasan pedalaman Kemboja. Ini meskipun pendidikan sekolah rendah sebenarnya percuma bagi sekolah-sekolah kebangsaan di sana.

Inilah juga penilaian empat karyawan Melayu Singapura – Encik Mohd Kahliab Zainal Abidin, Encik Azmi Abdul Rahim, Encik Ghazali Embi dan Encik Hafiz Othman – daripada kumpulan Emaan Catalyst Community (ECC) semasa kunjungan mereka ke Kemboja.

Lantaran itu, tercetus idea untuk membuka sebuah sekolah antarabangsa yang menawarkan sistem pendidikan bermutu dengan kos yang berpatutan. Murid miskin dan anak-anak yatim bakal ditaja sepenuhnya.

BAKAL DIBUKA 4 NOVEMBER INI

Namun, bukan sekadar sekolah biasa-biasa sahaja. Kumpulan rakyat Singapura itu menyatakan, mereka bakal membuka Sekolah Antarabangsa Emaan (EIS) berkonsep swasta di daerah Kampong Tralach di Kampong Chhnang, menjelang 4 November ini.

Malah, bangunan sekolah tersebut sudahpun siap dibina oleh Yayasan Rahma Kemboja dan disewakan kepada Yayasan Emaan Kemboja (EFC) untuk beroperasi selama 10 tahun, dengan pilihan lanjutan lagi 10 tahun.

Buat masa ini, EIS sedang giat menjalankan pendaftaran bagi murid-murid yang berminat di daerah Kampong Tralach, yang mempunyai jumlah penduduk Muslim paling ramai di wilayah Kampong Chhnang.

https://web.facebook.com/EmaanInternationalSchool/videos/2538271246195815/
Pengarah Eksekutif ECC, Encik Mohamed Hafiz Othman berkongsi dengan BERITAmediacorp: “Idea memulakan sekolah antarabangsa di Kemboja tercetus apabila tawaran dibuat oleh pertubuhan penderma kepada EFC untuk membuka sekolah rendah yang baru.

“Ini kerana terdapat jurang besar dalam pendidikan bermutu bagi kanak-kanak di kawasan pedalaman berbanding di kawasan bandar.”

Penubuhan sekolah antarabangsa tersebut juga berlandaskan misi EFC untuk ‘meningkatkan landskap pendidikan melalui pendidikan holistik dan pembangunan kemahiran’.

Ia turut seiring dengan objektif strategik ECC ‘untuk menggalak pendidikan bermutu melalui pembangunan keupayaan pendidikan dengan menguatkuasakan sistem sekolah, amalan dan pedagogi bertaraf antarabangsa’.

AKAN TERAPKAN KURIKULUM GABUNGAN

Bakal mengambil 100 murid dari Darjah 1 hingga Darjah 3 sebagai permulaan, Sekolah Antarabangsa Emaan akan menerapkan kurikulum yang menggabungkan kurikulum Kebangsaan, Antarabangsa (Cambridge) dan Pengajian Islam. Ia merancang mempunyai kapasiti penuh 360 pelajar.

Sekolah tersebut juga akan menggunakan bahasa Inggeris dan dijangka mendorong pembangunan sosial dan emosi kanak-kanak.

Berdasarkan nisbah 1:20 bagi guru dengan murid, dua guru akademik (seorang guru tempatan dan seorang guru asing), dua guru Bahasa Inggeris (seorang guru tempatan dan seorang guru asing) dan seorang guru Pengajian Islam akan diambil bekerja.

KOS TAHUN PERTAMA S$480,000

Berhasrat memberi pendidikan bermutu yang berpatutan, EIS memberikan yuran sekolah bersubsidi kepada semua murid, manakala murid daripada keluarga kurang berkemampuan dan anak-anak yatim akan ditaja sepenuhnya.

Yuran sekolah dan yuran makanan bulanan masing-masing berharga AS$48 (S$66) dan AS$18 (S$25).

Yuran pembangunan dan pendaftaran pula masing-masing berharga AS$60 (S$82) dan AS$10 (S$14) setahun.

Kos operasi keseluruhan bagi tahun pertama pula dianggarkan berjumlah S$483,000.

RAKYAT S’PURA GIAT TURUT SERTA

Lembaga Pengurusan EIS terdiri daripada tujuh anggota, termasuk empat rakyat Singapura dan tiga warga Kemboja.

(Gambar-gambar: Emaan International School/Emaan Catalyst Community)

Encik Mohd Kahliab Zainal Abidin bertindak sebagai Naib Pengerusi, Encik Azmi Abdul Rahim sebagai Bendahari, Encik Shaheed Salim sebagai Pengetua Kanan dan Konsultan Pendidikan serta Encik Hafiz sebagai anggota lembaga.

Setakat ini, empat lagi tenaga pengajar profesional sudahpun bersetuju menjadi relawan.

Mereka ialah ketua jabatan Sekolah Rendah West Grove, Encik Abdul Wahid Badron; Pengarah Pusat dan pengasas Cavenur Kindergarten, Cik Haniah Abdul Hamid; anggota Atletik Singapura, Cik Khairina Mohd dan pengasas Elefpi Learnscapes, Suryakenchana Omar.

“Kami mengalu-alukan tenaga pengajar rakyat Singapura untuk turut mendampingi sekolah ini secara tetap atau ‘ad-hoc’,” kata Encik Hafiz.

Lantaran itu, kini sudah mula berlegar-legar di media sosial seperti WhatsApp, poster-poster yang mengiklankan seruan mencari sukarelawan oleh ECC.

Ia akan menjalankan satu program dipanggil Projek Catalyst 2019 ke Kemboja antara 18-23 Disember ini. Program yang termasuk memberi khidmat masyarakat dan pelbagai lawatan ke tempat-tempat tertentu itu berharga S$480 seorang, tidak termasuk tiket pesawat.

ADA MINAT DARIPADA PENDUDUK TEMPATAN

Meskipun yuran bagi sekolah rendah kebangsaan adalah percuma, Encik Hafiz yakin Sekolah Antarabangsa Emaan tetap dapat menarik perhatian penduduk dalam memberi pendidikan baik kepada anak-anak mereka.

Ini memandangkan tinjauan yang dibuat di daerah Kampong Tralach menunjukkan reaksi yang agak positif.

“Pengetua Sekolah Abu Bakar As-siddiq (salah sebuah sekolah menengah di Kampong Tralach) khususnya memberitahu, daripada temu ramah yang dibuat dengan masyarakat, sekitar 70 peratus berminat mendaftar anak-anak mereka ke dalam sekolah rendah swasta, yang boleh memberi pendidikan piawai antarabangsa yang lebih bermutu tinggi,” jelas Encik Hafiz.

LAPORAN LAIN:

Rakyat S’pura miliki syarikat pengurusan acara ‘terbaik’ di Kemboja dengan aset lebih AS$1 juta
Selain derma daging korban, mengapa tidak derma pula lembu hidup demi bantu orang miskin?
Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/4-karyawan-melayu-islam-s-pura-tubuh-sekolah-antarabangsa-di/4350360.html

 

https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/4-karyawan-melayu-islam-s-pura-tubuh-sekolah-antarabangsa-di/4350360.html