


RESENSI RINGKAS “TAFSIR SURAH AL-FATIHAH TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT”
1. Walaupun sudah hampir lima tahun Tok Guru Nik Abdul Aziz meninggalkan kita pada usia beliau 84 tahun, namun karya-karya sebeginilah yang menyebabkan pemikiran Tok Guru hidup, segar, tidak pergi bersama jasadnya meninggalkan kita.
2. Lima tahun selepas kita meninggal dunia, belum tentu ada yang ambil inisiatif membukukan ucapan dan pemikiran kita. Hidup terlalu singkat, semakin singkat untuk terus berbakti dan meninggalkan bakti, terlalu kuat pula dugaan untuk kita hidup membuang masa.
3. Mirip Tafsir Sya’rawi dan tafsir-tafsir selainnya yang dihasilkan oleh murid yang mendengar, membaca karya ini benar-benar mengasyikkan. Asyik sehingga saya lupa bahawa ia adalah sebuah kuliah yang dibuat sudah lebih 20 tahun lepas di Kota Bharu.
4. Sungguh ucapan para ulama apabila menghuraikan kalam Tuhannya tidak pernah terasa usang atau seperti barang yang tidak terpakai pada zaman ini.
5. Kecintaan Allahyarham Tok Guru kepada ilmu tafsir tidak mampu dikalahkan oleh apapun kesibukan termasuk berpolitik dan mengurus sebuah kerajaan negeri selama dua puluh dua tahun.
6. Ajaib ilmu tafsir dan tadabbur ini, ia ibarat graviti kuat yang menarik sesiapa sahaja masuk ke dalamnya, sehingga uniform apapun dipakai dalam kehidupannya, sentiasa ada sahaja masa direzekikan Tuhannya untuk menelaah kitab-kitab tafsir di celahan kesibukan.
7. Antara sebab anda perlu memiliki karya ini ialah tokoh yang menyampaikan kuliah-kuliah tafsir ini bukanlah individu sembarangan. Pentas politik telah menjadi platform beliau dikenali barangkali oleh setiap rakyat Malaysia.
8. Justeru, populariti Tok Guru wajar “dipergunakan” – menerusi karya-karya sebegini – untuk menarik masyarakat awam umumnya dan generasi muda dan kaum pelajar khususnya kepada ilmu tafsir dan tadabbur. Ketepikan sentimen politik kepartian buat seketika. Yang mahu ditegaskan ialah kita perlu lebih ramai pencinta ilmu tafsir pada waktu ini.
9. Semangat ummat untuk kembali kepada ajaran al-Quran mesti disambut dengan melahirkan generasi pencinta ilmu tafsir yang boleh menyantuni masyarakat awam dan memimpin tadabbur mereka agar kekal terpimpin dan tidak tergelincir.
10. Pencinta ilmu tafsir yang dimaksudkan bukan sekadar yang bersemangat semata-mata, tetapi bersedia mengambil disiplin pengajian ini meskipun bertahun-tahun lamanya.
11. Hendaklah kita maklum, bukan sehari dua proses lahirnya insan bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Zulkifli itu. Ada “madrasah bahasa” dan proses menuntut ilmu yang panjang telah dilalui sejak di Deoband, Lahore dan al-Azhar.
12. Antara sebab anda perlu memiliki karya ini ialah banyaknya buah-buah hikmah pada satu-satu ayat dari Tok Guru. Dewan Zulkifli Muhammad itu saksi istiqamahnya seorang ulama yang sudah lanjut usianya, dengan kesaratan pengalaman dakwah dan siasah, semuanya ditundukkan bagi memahamkan makna kalam Tuhan kepada rakyat jelata.
13. Seperti sifat kebanyakan para ulama tafsir zaman berzaman, bidang tafsir kelihatannya menjadi bidang terakhir diceburi para ulama Islam. Sebelumnya, masa muda dan belia mereka dimanfaatkan dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu lain sebelum ilmu tafsir menjadi pilihan dan sentuhan emas mereka di hujung usia.
14. Seperti Al-Razi. Seolah-olah, gerun bermain dengan ilmu memahamkan makna setiap kalam Allah ini melainkan selepas benar-benar masak fikirannya dengan pengalaman hidup dan matang ilmunya dengan ilmu-ilmu Islam yang lain. Demikianlah juga Tok Guru Nik Aziz yang menghabiskan usia-usia akhirnya dengan memposisikan dirinya sebagai ulama tafsir sebagaimana posisinya juga ahli politik Islam.
15. Terus terang membaca karya ini, saya menemui pelbagai bentuk tadabbur dan perspektif tok Guru yang luar jangkaan saya sendiri. Ketika mengulas ayat terakhir al-Fatihah, kalimah nikmat itu seringkali difahami sebagai makan, minum, tidur, berduit dan sebagainya. Bagi Tok Guru, mudah sahaja bahasanya.
“Jadi loni (sekarang) kita cari orang yang kita sangka dapat nikmat itu ialah orang yang duit banyak dan berumah besar. Ini pandangan yang kita buat sendiri. Bukannya pandangan yang ditunjukkan oleh Allah SWT !”
16. Ini ialah tafsir surah al-Fatihah, bukan surah lain. Ia surah yang asas sekali. Memahaminya bermakna menambah nilai khusyuk dalam solat.
17. Meskipun dinamakan “tafsir”, lebih banyak yang dikongsi Tok Guru ialah sebenarnya “tadabbur” beliau yang sangat membantu rakyat Kelantan yang hadir mendengar memahami.
18. Sebagaimana para pendakwah al-Quran yang lain, menyampaikan pesan-pesan al-Quran memerlukan seseorang membelek pelbagai tafsir bil-ma’thur dan bil-ra’yi. Namun, apabila berhadapan dengan mad’u dan rakyat yang rata-rata tidak tahu menahu mengenai nahu saraf, selok belok balaghah dan segala macam hukum hakam kebahasaan, aspek “hakim” seseorang pendakwah selain “alim” akan teruji.
19. Tok Guru Nik Aziz kelihatan pakar dalam hal-hal hikmah dalam penyampaian, tidak perlu tunjuk pandai dengan membahaskan satu ayat dari pelbagai pandangan ahli tafsir, tetapi memadai menjelaskan makna ayat dengan pendapat terbaik, dengan cara penyampaian terbaik untuk difahami rakyat.
20. Antara keunikan Tok Guru ialah bahasa tafsirnya sangat mudah faham (bagi orang Kelantan). Sebagai seorang ulama yang bergelumang dengan pelbagai karya tafsir, perkara paling mencabar ialah memudahkan bahasa kitab kepada bahasa orang awam.
21. Seakan-akan Tok Guru Nik Aziz dan Buya HAMKA mempunyai persamaan dalam hal-hal begini. Genius dalam mendatangkan metafora, misalah, kiasan, analogi yang sesuai sehingga terus difahami dengan mudahnya.
22. Bagi saya, inilah contoh tafsir bi al-ra’yi dan aplikasi tadabbur yang memudahkan faham rakyat yang jauh dari ruh dan ajaran sebenar al-Quran. (Dan sudah pastinya apapun perumpamaan dan metafora digunakan, ولله المثل الأعلى )
23. Sebagai pelajar dalam bidang tafsir, barangkali boleh difahami betapa bukan mudah membuat persiapan memahami setiap ayat Allah untuk difahamkan kepada rakyat jelata yang pelbagai cara fikir dan rencam latarbelakangnya. Membaca satu hal, menerangkan satu hal.
24. Kuliah barangkali sejam dua, namun persiapan pembacaan sebenarnya lebih dari itu. Bagaimana Tok Guru melakukannya ? Barakah masa, benar-benar dianugerahkan Tuhan kepada almarhum.
25. Semoga Allah merahmati ustaz Saifudin Yusof dan tim atas juhud memandaikan ummat ini. Ini baru surah pertama. Ada 113 surah lagi ke depan. Allahyarham pula telah selesaikan tafsirnya 30 juzuk al-Quran. Nampaknya perjalanan masih “ratusan kilometer” jauhnya. Apatah lagi jika pendekatan tahqiq terhadap hadis-hadis dan athar-athar dari lidah bicara Tok Guru dilakukan sebagaimana telah dilakukan pada karya sulung ini.
26. Mohon semua rakan-rakan terus mendoakan mereka diberikan motivasi dan kegigihan bekerja melakukan transkrip dari kaset-kaset kuliah Tok Guru Nik Aziz. Mohon tuan puan juga untuk terus membantu menyumbang infaq kepada pasukan tafsir Tok Guru ini.
27. Methodologi penulisan buku ini telah disesuaikan agar boleh dibaca rakan-rakan bukan Kelantan. Pada masa yang sama, buku ini tidak menghilangkan dialek asal yang digunakan Tok Guru dengan segala “buoh-buoh kilah” beliau.
28. Karya sebegini juga wajar diterbitkan dan disebarluaskan menembusi sempadan negeri, bahkan sempadan politik kepartian.
29. Setiap ulama tafsir zaman berzaman tidak sunyi dari pendirian mazhab, pendirian politik, pendirian jemaah dan ittijah (kecenderungan) tafsir masing-masing. Maka sikap pelajar tafsir dan pentadabbur al-Quran, buang yang keruh, ambil yang jernih asalkan menambah tadabbur, meningkat iman dan amal soleh. Tiada ulama yang tafsirannya tiada kelemahan. Kerana tiada yang maksum melainkan sebaik-baik pentafsir al-Quran, Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
30. Dan sebagai pelajar, saya sangat berharap pemikiran tafsir Tok Guru ini boleh “disambut” dengan pelbagai kajian-kajian akademik. Ini kerana apa yang dihasilkan ini ialah “primary sources” dan “bahan mentah” berharga yang belum diproses, sangat banyak ruang kajian boleh dilakukan kepada “suara” tafsir Tok Guru inshaallah. Adakah tafsir Tok Guru ada pengaruh mana-mana ulama tafsir dari India atau Pakistan, adakah tafsir Tok Guru mengaplikasikan ilmu munasabah ayat, adakah tafsir Tok Guru konsisten mengaitkan semua surah dengan surah al-Fatihah, bagaimanakah model dan bentuk “sekolah tafsir Nik Abdul Aziz” dan pelbagai persoalan boleh dikaji.
Wallahu a’lam.
“Dari benang-benang kitab tua,
Dihamparkan di depan rakyat,
Yang sedang mencari makna,
Daripada bicara murabbi,
Kami susun menjadi bukti”
Syaari Ab Rahman
27 Jamadil Awwal 1441
Tumpat, Kelantan