Perihal WINS 2051: Kenapa 2018? Kenapa 2051? (Siri 5)

1. Bagi menjayakan agenda WINS 2051, pihak sekretariat menetapkan tempoh secara berperingkat sehingga tahun 2051. Ia dibahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama bermula 2018 sehingga 2030. Fasa kedua bermula pada 2031 sehingga 2040. Manakala fasa ketiga pula bermula pada tahun 2041 sehingga 2051

2. Fasa pertama menekankan aspek pemulihan negara yang kini berhadapan dengan berbagai masalah. Peringkat ini dikira sebagai tempoh transisi daripada sistem dan budaya politik dan pentadbiran yang ada kepada yang baru berteraskan solusi Islam. Dalam tempoh ini, WINS 2051 akan menjayakan agenda Dokumen Hijau dalam bidang ekonomi, dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dari segi politik.

Selain itu program-program dan produk dari bidang lain akan terus dikeluarkan dari semasa ke semasa merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, pertanian, infraskruktur, urus-tadbir, sosio-budaya dan sebagainya. Dijangka pada tahun 2030, Malaysia akan berjaya mencapai matlamat fasa pertama iaitu Transformasi Negara Sejahtera.

3. Bermula tahun 2031, WINS 2051 mengorak langkah ke hadapan dalam fokus membangunkan Malaysia menuju kepada Negara Sejahtera. Kenapa Negara Sejahtera? Kerana sejahtera merupakan salah satu definisi Islam sendiri. Kesejahteraan yang akan dibawa pada fasa ini adalah berteraskan ‘kemajuan’ dan ‘kemakmuran’.

4. Fasa kedua ini sememangnya mahu membawa Malaysia dari status negara membangun kepada negara maju. Namun maju yang dimaksudkan adalah sama sekali berbeza dengan definisi konvensional yang mementingkan aspek material semata-mata. Kemajuan yang dicitakan WINS 2051 adalah selari antara material, mental dan spiritual. Kemajuan yang bersuluhkan visi akhirat, tidak terbatas setakat kemajuan duniawi sahaja.

5. WINS 2051 menambah satu lagi aspek negara sejahtera yang dicita-citakan iaitu kemakmuran (prosperous). Ini kerana kemajuan yang difahami ramai hari ini hanya menitik beratkan soal pendapatan dan ekonomi sahaja. Negara makmur bermaksud jurang pendapatan antara rakyat tidak ketara, rasa tenteram dan tiada kebimbangan dalam menjalani kehidupan seharian, keseimbangan eko-sistem, keadilan dalam perbezaan fitrah dan seumpamanya. Pencapaian material dianggap hanya alat bagi mencapai kehidupan makmur, dan bukan semua perkara bergantung kepada material.

6. Fasa kedua mengambil masa 10 tahun sehingga 2040. Tempohnya lebih singkat daripada fasa pertama yang memakan masa kira-kira 13 tahun, kerana mengambil contoh daripada agenda sosio-politik yang dimainkan oleh Rasulullah SAW. Sirah baginda memakan masa yang lebih lama di Mekah iaitu selama 13 tahun bagi membaiki sistem jahiliah yang lama mempengaruhi masyarakat, berbanding cuma 10 tahun di Madinah untuk memakmurkan sebuah kerajaan berdaulat.

7. Fasa ketiga akan bermula selepas itu iaitu pada tahun 2041 hinggalah ke akhirnya iaitu 2051. Tempoh ini dinamakan sebagai ‘Malaysia Memimpin’ dengan membawa model pentadbiran Malaysia kepada dunia luar untuk dicontohi. Pada tempoh ini, proses Kajian dan Pembangunan (RnD) terus berjalan dalam memastikan Malaysia terus kekal dengan status Negara Sejahtera, tetapi dalam waktu yang sama turut membantu negara-negara lain mengecap kemajuan yang sama-sama dicitai.

8. Fokus utama Malaysia Memimpin adalah kepada negara-negara OIC dan negara-negara membangun yang lain. Hal ini berbalik kepada kefahaman tentang prinsip agama Islam sendiri yang tidak mengenal sempadan negara bangsa atau geografi. Seluruh manusia adalah makhluk Allah yang terbaik, manakala orang beriman semuanya bersaudara. PSelain itu dengan melebarluaskan jaringan negara ia juga akan mempercambahkan lagi kemajuan Malaysia kerana Allah SWT telah menetapkan setiap bangsa itu memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri, dan perlu hidup secara integrasi dan bantu-membantu.

9. Mungkin ramai bertanya kenapa memilih tahun 2051? Adakah kerana reaksi terhadap Transformasi Negara 2050 (TN50) yang diperkenalkan kerajaan? Jawapannya bukan kerana mana-mana pihak. Tetapi mengambil sempena 100 tahun penubuhan PAS iaitu 1951. Tahun tersebut bermulanya PAS meletakkan tujuan penubuhan iaitu tertegaknya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang mengamalkan nilai-nilai dan hukum Islam, bermatlamatkan redha Allah SWT. Perjuangan PAS adalah bersifat rabbani dan universal, bukan untuk menjayakan matlamat politik sempit pihak tertentu.

Bermula penubuhan PAS, sudah banyak perkara yang dilakukan oleh PAS memberi lesan secara tidak langsung kepada negara dan rakyat sehingga ke hari ini. Sebelum negara mencapai kemerdekaan hingga saat ini, terlalu banyak sumbangan PAS dalam pelbagai aspek yang meletakkan Malaysia setaraf hari ini. Justeru ia amat signifikan untuk dihayati oleh seluruh pelusuk negara.

10. WINS 2051 akan bermula pada tahun hadapan iaitu 2018. Mengikut jangkaan, PRU14 akan diadakan awal tahun hadapan. PAS yakin akan mencapai matlamat untuk menjadi king-maker selepas pilihanraya nanti. Justeru PAS sudah menyiapkan pelan tindakan awal-awal yang akan bermula sebaik sahaja terbentuk pentadbiran negara yang baru.

Namun jika ditakdirkan PAS tidak berjaya mencapai objektif dalam PRU14 ini, ia tidak bermakna WINS 2051 akan disimpan begitu sahaja atau dianjak masa yang lain. WINS 2051 akan terus dijayakan dengan ruang yang ada. PAS sentiasa bersedia menjadi penasihat dan perunding bagi kerajaan yang bakal dipilih nanti sebagai yang sudah dinyatakan oleh Presiden PAS sebelum ini. Tanpa mengira siapa pun yang naik, PAS akan menghormati The Government of The Day yang dipilih secara sah oleh rakyat. Walaupun tidak menjadi kerajaan, PAS tetap menganggap diri sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap negara.