Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Ketua Kesatuan Ulama Sedunia rujukan antarabangsa dalam Maqasid Syariah


Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni. – Foto FB

PUTRAJAYA – Malaysia sedia menjadikan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) Prof Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni sebagai rujukan antarabangsa dalam melaksanakan pentadbiran berteraskan Maqasid Syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata selain pemikiran yang jelas tentang kehidupan hari ini, ulama dari Maghribi itu layak dipilih berdasarkan banyak buku yang dihasilkannya menjurus kepada soal Maqasid Syariah.

“Atas faktor itu, saya rasa agensi pentadbiran Islam perlu mengambil peluang mendengar pandangan serta pendapat beliau secara akademik mengenai Maqasid Syariah.

“Saya ucap terima kasih kepada UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) kerana baru-baru ini melantik beliau sebagai Profesor Pelawat, bermakna setahun sekali beliau akan datang ke Malaysia, membolehkan kita menjadikannya rujukan antarabangsa dalam melaksanakan konsep Maqasid Syariah dalam pentadbiran,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program diskusi Maqasid Syariah Bersama Ketua Kesatuan Ulama Dunia Prof Sheikh Dr Ahmad al-Raysuni anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) malam pada 6 Januari.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Mujahid berkata pemikiran Maqasid Syariah yang dibawa tokoh itu juga selari dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diangkat sebagai dasar dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.

Beliau berkata ulama itu juga menekankan kepada pentingnya mengutamakan kemaslahatan masyarakat dalam melaksanakan sesuatu pentadbiran atau undang-undang dan perkara itu adalah seiring dengan apa yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Mujahid berkata dalam konteks undang-undang Islam, tokoh itu juga menekankan tentang kepentingan meletakkan kemaslahatan dan maqasid lebih tinggi dari sekadar hukum fikah dalam langkah atau keputusan yang diambil.

Ini satu yang sangat penting dalam kerangka kita menjadikan Mahkamah Syariah lebih berwibawa dalam menggunakan maqasid sebagai landasan berfikir dan kaedah menghukum, katanya. – Bernama

http://www.yadim.com.my/v2/ketua-kesatuan-ulama-sedunia-rujukan-antarabangsa-dalam-maqasid-syariah/?fbclid=IwAR2hD0YwOWK0toO2x1w0-fcNQmT5-R1XKZpnpoutOYb1a4nZxGlKBso-XmI

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr Ali Muhyiddin Al Qaradaghi Berkunjung KeYadim Bertemu Nik Omar

Image may contain: 1 person, sitting

 

Image may contain: 1 person, sitting

Image may contain: 6 people, people smiling, people standing

Perluas Fastabiqul Khairat

PUTRAJAYA – Fastabiqul Khairat (mengejar kebaikan) yang kini merupakan motto dan konsep Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mendapat pujian daripada Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr Ali Muhyiddin Al Qaradaghi.

Sheikh Dr Ali Al-Qaradaghi menegaskan pemilihan motto tersebut adalah satu pilihan yang sangat tepat berdasarkan panduan yang diberikan daripada Al-Quran. Menurut beliau, Fastabiqul Khairat yang dapat difahami daripada Al-Quran menuntut agar umat Islam sentiasa berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik dalam setiap masa.

Umat Islam pada hari ini ujarnya, telah dipintas oleh umat-umat yang lain oleh kerana sikap umat Islam sendiri yang meninggalkan semangat berlumba-lumba untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik tidak seperti pada zaman keemasan Islam dahulu.

Pada masa yang sama, beliau turut sependapat dengan pandangan yang sering diutarakan Yang Di-Pertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz yang menekankan kepentingan konsep itu diperluaskan kepada ramai supaya ia lebih berkesan dan mencapai maksud sebenar.

“Fastabiqul ini membawa maksud berkumpulan atau beramai ramai. Manusia jika berseorangan dia tidak dikatakan berlumba kerama berlumba mesti lebih daripada seorang. Dan perlumbaan tersebut bukan ke arah kemaksiatan yang disebutkan dalam Al-Quran tetapi ke arah pengakhiran yang baik.

“Maka destinasinya sudah tentu pengakhiran yang baik, hanya siapa yang cepat dan lambat yang akan tiba dahulu. Melainkan mana-mana orang yang berhenti yakni berputus asa untuk melakukan kebaikan. Mereka ini adalah orang yang tergelincir dalam melakukan kebaikan,” ujar beliau dalam kunjungannya ke ibu pejabat YADIM di sini hari ini (18 Disember).

Sheikh Dr Ali Muhyiddin yang bakal menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bermula pada 18 Disember, selamat tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Qatar hari ini dan terus mengadakan kunjungan hormat ke atas Nik Omar.

Selain Nik Omar, mewakili YADIM dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta kepimpinan badan ini.

Dalam pada itu, Sheikh Dr Ali Muhyiddin meluangkan masa lebih setengah jam bertemu Nik Omar dalam kunjungannya. Keduanya berbincang pelbagai perkara mengenai gerakan dakwah dan isu isu Islam semasa selain daripada persetujuan untuk mewujudkan kerjasama strategik di antara Kesatuan Ulama Sedunia dan YADIM.

Antara bentuk kerjasama yang dicadang dirangka adalah dalam bentuk penerbitan terjemahan buku dan latihan pembangunan pendakwah.

Beliau turut menghadiahkan buku tulisannya, Al-Ijtihad Wal Fatwa kepada Nik Omar.

Nik Omar dalam pertemuan tersebut berharap YADIM akan dapat menjalin kerjasama erat dengan Kesatuan Ulama Sedunia bagi memperkasa lagi usaha dakwah di Malaysia.

YADIM sebelum ini pada 16 Disember menerima kunjungan daripada wakil Turki dan Majlis Fiqh Australia yang turut menyertai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.