
PUTRAJAYA: Menyemai rasa benci dan jijik terhadap rasuah bermula di peringkat sekolah menjadi antara keutamaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.
Mengakui program antirasuah sedia ada tidak mencukupi untuk menyemai nilai berkenaan, Latheefa berkata beliau akan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan rasuah melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat di bawah Sektor Pencegahan SPRM.
Katanya, kajian SPRM beberapa tahun lalu menunjukkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup mengambil dan memberi rasuah jika ada peluang, membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dalam nilai masyarakat hari ini.
Menambah lagi permasalahan itu, beliau juga mendedahkan penjawat awam yang paling ramai ditahan SPRM kerana terjebak dalam rasuah adalah pegawai muda.
“Oleh itu, saya merasakan SPRM harus memulakan langkah untuk melihat semula isu ini dan inilah cawangan pencegahan sedang lakukan ketika ini, malah kami sendiri akan bertemu dengan Kementerian Pendidikan pada Ogos ini untuk berbincang mengenai perkara ini.
“Langkah ini salah satu inisiatif yang perlu dilakukan SPRM seperti dikehendaki dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP),” katanya dalam wawancara bersama akhbar dan stesen televisyen kumpulan Media Prima di pejabatnya di sini.
Sebelum ini, media pernah melaporkan hasil kajian dijalankan SPRM pada 2016 terhadap 1,000 penuntut universiti mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah, manakala 18.5 peratus pula sanggup memberi rasuah.
Sementara itu, Latheefa berkata pihaknya turut meminta semua kerajaan negeri menubuhkan unit integriti bagi memastikan tidak berlaku rasuah dan penyelewengan dalam agensi negeri serta projek yang membabitkan dana besar.
Katanya, SPRM sedia bekerjasama bagi melatih pegawai untuk ditempatkan di unit itu, atau SPRM sendiri menghantar pegawai integriti ke agensi mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata, sejak lima tahun lalu SPRM menempatkan pegawai integriti di pelbagai agensi dan GLC di bawah Kerajaan Persekutuan, terutama yang melaksanakan projek dengan dana besar.
“Pegawai integriti inilah yang menjadi mata dan telinga SPRM di agensi serta GLC, (hasilnya) dua tahun kebelakangan ini banyak kes dibongkar termasuk membabitkan FELDA Global Ventures Bhd (FGV).
“Di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga banyak (tangkapan) sebab kita ada orang dalam (pegawai integriti) yang faham apa sedang berlaku.
“Jadi, saya harap GLC dan jabatan besar hendaklah menempatkan pegawai integriti, SPRM akan bekalkan (pegawai) dan kita akan pantau,” katanya.
Ketika ini, seramai 56 pegawai integriti SPRM ditempatkan di agensi awam serta 15 di GLC di bawah Kerajaan Persekutuan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/587324/semai-rasa-benci-jijik-terhadap-rasuah?fbclid=IwAR2AArP5oN0lPDUXwKRqNNaAtKmu5cW7SDzkeX4ECXD4NtWxOfAffagt8ig