Kita Sebenarnya Buang Masa Untuk Bincang Siapa PM
1. Sepatutnya, bukan jawatan Perdana Menteri yang perlu dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus, termasuk dalam beberapa rundingan tepi. Soal siapa PM ini sepatutnya sudah muktamad sebelum perbincangan bermula.
2. Apa yang perlu dibincang kalau jawatan menjadi persoalan ialah siapakah TPM, siapa menteri-menteri kabinet (dari kelompongan terdahulu), dan lebih penting ialah dasar-dasar kerajaan PH Plus sekiranya berjaya menjadi kerajaan semula.
3. Mengambil semula tampuk pemerintahan ini tidak sesekali dengan cara tawar menawar. Tidak wajar jika ada calon PM yang mengaku mendapat sokongan dari sebilangan MP sedangkan persetujuan telah dimuktamad dalam perjanjian Januari 2018.
4. Perjanjian Januari 2018 tetap laku selagi penggal ke-14 masih berjalan, melainkan jika parlimen dibubar sekaligus menamatkan penggal ke-14
5. Tempoh seminggu ini kita membuang masa untuk menamakan siapa PM, yang sebenarnya kita tahu siapa lebih layak. Kita wajar cakna siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri Interim untuk satu tempoh sebelum memberi laluan kepada yang hak.
6. Tidaklah dikatakan 2 kali masuk penjara selama berbelas tahun itu layak, tetapi ianya di atas kapasiti pengalaman, hubungan antarabangsa, keutuhan prestasi dalam soal ekonomi serta dalam soal mengangkat martabat rakyat, dan ketokohan dalam membawa agenda Reformasi.
7. Jika benar-benar mahukan perubahan dan memperbaiki kesilapan 22 bulan dalam pentadbiran yang kadang-kala melukakan hati rakyat, masih belum terlambat untuk berbuat demikian.
8. Kita bukan seperti mereka, yang maruah politiknya begitu rendah apabila menawarkan jumlah paling ramai menteri demi membeli kuasa, dan melelong kedudukan demi mengekalkan kuasa. Kita jauh lebih baik, kita ada prinsip dan kita adalah jenis manusia yang menunaikan janji.
9. Kita akan mengambil semula #MandatRakyat tetapi bukan dengan cara yang lebih kurang sama dengan mereka. Dalam erti kata lain, kita mendambakan peluang untuk sekali lagi mentadbir, maka tawarkanlah kesepakatan dengan memberi peluang kepada ‘pembaharuan’.
10. Sebenarnya segala rundingan telah gagal sebelum perbincangan bermula, apabila kita tidak mampu menilai dan tidak mampu mengekalkan setiakwan dalam melaksanakan janji.
11. Ini mungkin peluang terakhir untuk satu keputusan paling tepat, untuk menafikan pengguguran pelbagai dakwaan dalam kes berprofile tinggi, dan seterusnya mengelakkan negara ini dari terus dijarah.
12. Ini juga mungkin peluang terakhir, untuk seorang negarawan ulung membuktikan bahawa pengorbanan itu bukanlah milik sebelah pihak semata-mata. Dia juga boleh lakukannya demi menebus kesilapan terdahulu.
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger