PETALING JAYA: Masalah bekalan subsidi baja dihadapi oleh lebih 900,000 petani di seluruh negara dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir minggu depan.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata NAFAS sudah mula mengagihkan bekalan subsidi baja kepada petani di seluruh negara selepas Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan peruntukan tambahan kira-kira RM150 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pada minggu lalu.
“Kita tidak boleh masa terlalu lama untuk mengagihkan subsidi baja kerana kebanyakan petani sudah lama menunggunya. Tambahan pula kilang kita terletak di Gurun Kedah terletak tidak jauh dari kawasan pertanian jadi kita boleh hantar bekalan kepada petani secepat mungkin.
“Jadi insya-Allah, kita akan selesaikan masalah kekurangan bekalan subsidi baja dalam tempoh dua minggu ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan ‘Skuad Bantuan Banjir NAFAS 2019’ di sini, hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan MOA masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan bagi membolehkan (NAFAS mengagihkan baja subsidi kepada petani di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dipetik sebagai berkata, pihaknya memberi jaminan subsidi baja akan diagihkan secepat mungkin selepas permohonan peruntukan kewangan diluluskan.
Berikutan itu, MOF sudah mengagihkan sejumlah peruntukan kewangan kepada MOA bagi membolehkan mereka menyelesaikan isu agihan kekurangan ‘ouput’ pertanian termasuk bekalan subsidi baja dan benih dihadapi petani di seluruh negara sekarang.
Dalam perkembangan lain, Phahrolrazi mengesahkan NAFAS akan memperuntukkan RM1 juta bagi menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir terutama di Kelantan dan Terengganu yang bakal diagihkan kepada penerima menerusi jawatankuasa bencana alam negeri dan daerah terbabit.
Phahrolrazi berkata, NAFAS juga melancarkan ‘Skuad Bantuan Banjir NAFAS’ sebagai salah satu program untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu rakyat Malaysia dilanda bencana alam.
“Sebagai permulaan skuad ini akan turun padang bagi membantu mangsa banjir membersihkan laman dan rumah masing-masing di dua negeri iaitu Kelantan serta Terengganu dan akan digerakkan ke negeri lain untuk bertugas jika kejadian sama berlaku di negeri lain,” katanya.