BAHAWA wanita Islam adalah diharamkan menyertai pertandingan ratu cantik telah difatwakan secara rasmi oleh kerajaan. Di Selangor, fatwa berbunyi ‘Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik’ telah diwartakan pada 11 Mei 1995.
Di Wilayah Persekutuan pula, fatwa berbunyi ‘Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik’ telah diwartakan pada 8 Februari 1996.
Dua wanita Islam bernama Fahyu Hanim Ahmad dan Noni Mohamad yang melanggar fatwa ini dengan menyertai pertandingan ratu cantik di Hotel Holiday Villa, Petaling Jaya, pada 13 Jun 1997 juga telah pernah didenda sebanyak RM1,400 atau 4 bulan penjara serta berkelakuan baik selama 6 bulan.
Malangnya, daripada senarai 13 peserta pertandingan ratu cantik “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari ini, masih ada lagi nama-nama wanita Islam terpapar.
Boleh semak sendiri nama-nama mereka: Melissa Tyndall, Aleena Shahman, Helenah Abdul Hatta, Jeishwari Balbir Singh, Nicol Gomez, Punitha Peruma, Nadia Rosli, Emilia Josephine Masiun, Abiramy Ramasamy, Dayshendri P Pecquan, Lianne Alychia Hendriks, Belinda Halime dan Maira Tajudin.
Malang sekali bila fatwa sudah tidak lagi dihormati dan ditakuti oleh umat Islam sendiri. Soalnya ialah mengapa?
Di mana suara golongan Feminis, pejuang hak asasi dan Wanita PAN?
Pemuka feminis Malaysia, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyebut: “Sebagai seorang feminis, saya mempunyai masalah dengan pertandingan ratu cantik – ia mengekalkan eksploitasi wanita sebagai hanya hiasan.” (“As a feminist, I have a problem with beauty contests – they perpetuate the exploitation of women as mere decoration.”)
Pesuruhjaya SUHAKAM, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pula pernah menyebut: “Pertandingan ratu cantik yang menghendaki peserta membuka aurat serta dipertontonkan kepada umum untuk diadili adalah jelas haram dan berdosa. Perlu diingat, wanita Islam bukanlah alat pertandingan. Banyak perkara boleh dijadikan mainan, tetapi bukan wanita Muslimah.”
Angkatan Wanita PAN juga pernah menyelar penganjuran pertandingan ratu cantik yang disifatkan sebagai “jelas bertentangan dengan syariat Islam dan adab ketimuran kerana ianya mendedahkan aurat, tidak memberikan manfaat, mengeksploitasi wanita sebagai bahan hiburan dan sebagainya.”
Malangnya, di mana suara mereka semua tatkala masyarakat sedang panas dengan cerita pertandingan ratu cantik “Miss/Mrs Plus Malaysia 2020’s Grand Finale Gala Night” yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, pada 2 Januari ini?
Mengapa hanya suara para pemimpin PAS seperti YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Tuan Haji Kamaruzaman Mohamad dan Ustaz Nasrudin Hassan sahaja yang kedengaran?
Apakah hanya para pemimpin PAS sahaja yang istiqamah dan konsisten mempunyai kepekaan terhadap permasalahan ini?
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/12/2020
CERITA dulu-dulu, ketika mereka masih ada dalam PAS. Banyak kerja-kerja pelik yang mereka buat. Sehingga tiada beza dengan parti Sekular.
Dalam senyap mereka ada meeting tersendiri sesama mereka. Sehingga keputusan mesyuarat bersama Presiden mereka abaikan kerana mereka ada keputusan lain sesama mereka.
PAS ibarat gerabak-gerabak buruk bagi mereka. Di mana keputusan dibuat mengikut hala tuju mereka. Semacam PAS ini milik dua tiga orang di kalangan mereka sahaja. Dalam diam mereka ada ‘Projek langgar Hadi’.
Proksi dan ejen-ejen mereka dilantik dan dipilih menduduki posisi strategik supaya dapat menarik undi perwakilan kepada mereka. Kalau perlu bayaran mereka akan bayar hanya untuk dipanggil bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan yang akan menyokong mereka nanti di Muktamar.
Mereka bergerak dengan mewujudkan team yang tersendiri, yang akan bekerja melobi dan melonjakkan mereka ke kerusi yang diidamkan dalam parti. Siapa yang tidak bersama team mereka dikira musuh yang perlu disingkirkan. Maka ejen-ejen akan bekerja mencantas musuh tersebut.
Pintu-pintu dibuka kepada musuh untuk menembak Presiden atas nama keterbukaan berfikir dan meraikan perbezaan. Dengan harapan Presiden semakin tersisih dan kalau boleh terus terbunuh.
Dalam masa yang sama mereka ada perundingan dengan parti luar sehingga Presiden parti lain lebih mereka wala’ berbanding Presiden sendiri.
Strategi diatur demi kepentingan mereka. Pimpinan negeri atau kawasan yang boleh mereka pergunakan akan mereka pegang. Itulah mereka, sehingga akhirnya mereka mahu gantikan Presiden dengan ‘orang-orang mereka’ supaya PAS dapat diperkudakan oleh parti luar. Tidak lain dan tidak bukan bertujuan mencapai impian mereka.
Jangan diulangi jejak mereka, kerana kita telah menyaksikan sifat tamak, dan berkepentingan dalam perjuangan akhirnya akan membawa kepada kehinaan. Walau ahli bawahan tidak menyedarinya, walau ahli tidak sebijak mereka dan walau ahli tidak mampu bersuara. Namun Allah melihat dan mengetahui. Jika pemimpin khianat, Allah akan bersama ahli yang ikhlas dan jujur.
Belajarlah dari kisah mereka yang masih terlalu dekat dengan kita. Moga kita tidak menjadi orang yang menjejaki jalan kehinaan itu.
USTAZ MOKHTAR SENIK Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/12/2020
(1) Dalam kita mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, kita jangan lupa bahawa di sana adanya beberapa elemen yang ramai terlepas pandang. Ada hati, ada alam ghaib ada syurga, neraka dan lain-lain.
Hal-hal seperti ini kita biasa fahami melalui program-program tarbiah. Cumanya apabila sedang berada di atas pentas tinju, habis terlupa semua buah kilas. Jadinya bertinju semberono.
(2) Kita sendiri kadang-kadang hilang sabar, terus hilang akhlak, dan jadi sejahat musuh. Mental juga perlu dijaga. Jangan kerana perasaan, terus menyerang seperti orang gila.
Akibatnya media akan menonjolkan ‘kegilaan’ itu. Apatah lagi kefahaman seseorang, tidak dapat ditonjolkan melalui gambar. Justeru dalam hal ini, kesabaran itu lebih utama.
(3) Kadangkala yang membuatkan kita kalah bukanlah angka atau kejahilan, akan tetapi sebab hilang sabar. Apabila hilang sabar, lenyaplah segala kefahaman yang menjadi bekalan tarbiah.
Tidak sabar dengan tindakan musuh menyebarkan mengejek, sendiri pula mengejek musuh. Sebab itulah PAS konsisten menyeru ke arah BPMS. Bukan hanya berteori, tapi perlu dilaksanakan.
(4) Musuh sentiasa menjadikan sentimen sebagai modal untuk menjadikan ahli gerakan Islam itu semberono dan melakukan tindakan luar kawalan. Tindakan semberono inilah yang merugikan.
Kadangkala tindakan luar kawalan inilah yang menjadi modal jajaan mereka untuk menggambarkan persepsi yang negatif terhadap gerakan Islam. Itulah yang diulang-ulang.
Hidayah Allah S.W.T
(1) Antara perkara-perkara ‘ghaib’ yang mungkin kita terlupa ialah hubungan dengan Allah S.W.T. Saban hari kita mengadap facebook dan whatsapp mengadap provokasi musuh berjelar-jelar.
Ya, kita sendiri tak mampu nak hadapi. Mereka lontarkan provokasi dan ejekan dalam media cap ayam mereka. Apa yang kita mampu buat ialah sabar dan buat laporan polis. Bagus alhamdulillah.
(2) Cumanya kadang-kadang kita terlupa bahawa kebencian di hati mereka itu berada di bawah kuasa Allah S.W.T. Allah S.W.T boleh mengubah hati mereka sekelip mata. Tetapi kita mungkin terlupa.
Di dalam Sirah Nabi S.A.W menceritakan hakikat ini Saidina Umar al-Khattab dalam keadaan benci meluru ke rumah adiknya selepas mengetahui adiknya ‘dipengaruhi’ Nabi Muhammad S.A.W.
Apabila bertemu adiknya dan yang sedang membaca al-Quran, beliau merampas mushaf itu dan terbaca permulaan surah Taha. Terus berubah hatinya dan menemui Rasulullah S.A.W untuk beriman.
(3) Ya, Allah S.W.T menuntut kita untuk berusaha. Tetapi berusaha itu jangan sampai lupa padaNya. Sama juga kita pada hari ini. Dalam usaha kita mengharungi kerencaman dunia politik, jangan lupa kita ada Allah.
Teruskan bersikap matang dalam berpolitik, insya-Allah hidayah itu milikNya. Kematangan kita dalam berpolitik perlu didasari dengan hujah dan kecerdikan, bukanlah membiarkan diri dalam kandangan kebodohan.
(4) Kita perlu sedar bahawa provokasi itulah strategi mereka. Kita sebagai Umat Islam juga perlu berstrategi untuk melaksanakan BPMS. Maka, perlulah kawal perasaan.
Janganlah jadi seperti yang saya katakan di awal tadi. Bila di bawah gelanggang laungkan BPMS. Tetapi bila bertinju di atas gelanggang habis lupa semua strategi dan teknik itu.
Terus menegakkan hujah
(1) Apabila umat Islam dilanda fenomena ejekan, atau penghinaan, maka Allah S.W.T telah memberi panduan di dalam al-Quran;
“Maka sampaikanlah olehmu (Muhammad) secara terang-terangan, segala apa yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah daripada orang orang Musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada kejahatan orang-orang yang mempersendakan kamu, iaitu orang-orang yang menganggap (ada) tuhan-tuhan yang lain di samping Allah S.W.T. Maka mereka kelak akan mengetahui akibat-akibatnya.”
(al-Hijr: 94-96)
(2) Imam Qurtubi menghuraikan ayat 94 menyatakan;
فاصدع بما تؤمر أي بالذي تؤمر به ، أي بلغ رسالة الله جميع الخلق لتقوم الحجة عليهم ، فقد أمرك الله بذلك
“Maka sampaikanlah apa yang disuruh, iaitu menyampaikan apa disuruh untuk menyampaikan, iaitu menyampaikan risalah Allah S.W.T kepada sekalian makhluk untuk menegakkan hujah ke atas mereka. Sesungguhnya Allah S.W.T menyuruh kamu berbuat demikian.”
(3) Di dalam huraian Imam Qurtubi ini menggambarkan kepada kita bahawa Allah S.W.T menyuruh kita meneruskan kerja menegakkan hujah, dan jangan pedulikan ejekan-ejekan musuh yang tidak memberi kesan melainkan izin Allah S.W.T.
Dalam hal ini, kita sepatutnya tidak lari fokus terhadap tugasan kita membina negara. Ini kerana tindakan kita hari ini adalah membina hujah untuk diketengahkan, dan sepatutnya bukan dijadikan medan membina sentimen.
Sempit dada dengan ejekan musuh
(1) Selain daripada kesabaran dan berdoa kepada Allah S.W.T, kita sendiri perlu tingkatkan amalan-amalan kerohanian. Agar hati kita sering terubat dengan fitnah dan provokasi yang menjadi makanan mereka.
Mereka cuma inginkan umat Islam marah dan melakukan tindakan luar kawalan. Jika kita melakukan tindakan luar kawalan itu, mereka akan berseronok. Maka, tahan kemarahan, lakukanlah dengan matang.
(2) Biasanya semakin hebat provokasi dan ejekan yang dilemparkan, bermakna mereka itu semakin marah. Biarkan mereka marah. Jangan pula kita gembirakan mereka dengan kemarahan kita.
Ya, hati kita apabila melihat provokasi dan ejekan mereka kadang-kadang merasa sempit dada. Maka Allah S.W.T menyediakan jalannya;
“Dan Kami sungguh sungguh Mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan (97) Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (98) Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal) (99).”
(4) Ayat ini menggambarkan bagaimana dakwah Nabi S.A.W dipersenda oleh Quraisy Makkah, dihina sehinggalah Nabi S.A.W merasa sempit dada terhadap apa yang mereka sendakan.
Penghinaan ini dilemparkan kepada Baginda S.A.W sejurus berterus-terang mengenai dakwahnya di Bukit Safa. Berterus terang dengan dakwah inilah yang menjadi pencetus kebencian Quraisy Makkah terhadapnya.
Tenangkan hati
(1) Sayyid Qutb menyatakan di dalam Fi Zhilal Quran mengenai situasi sindiran terhadap Baginda S.A.W itu bahawa;
“Baginda S.A.W tidak dapat menghindarkan dirinya dari perasaan yang menyempitkan dadanya apabila mendengar adanya suasana syirik terhadap Allah S.W.T, mendengar sendaan kepada dakwah menegakkan kebenaran, dakwah dan kebenaran diperangi dengan kerasnya, dibendung dan disempitkan jalannya oleh kesesatan dan syirik.”
“Oleh itu Allah S.W.T memerintahkan Nabi-Nya Muhammad S.A.W supaya bertasbih dan memuji Tuhannya, dan beribadat kepadaNya, mendampingkan diri dan berlindung di sisi Allah S.W.T dengan bertasbih, bertahmid dan beribadat ketika menghadapi sesuatu yang tidak baik dari penentang Islam.”
(2) Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menjelaskan di dalam bukunya Fiqh Harakah bahawa;
“Perlu difahami oleh pendukung-pendukung perjuangan Islam, bahawa berterus terang dengan hakikat aqidah ini dengan dasar-dasarnya, dan menegakkan segala tuntutannya adalah penting.”
“Lantaran sikap berterus terang seperti itu menggoncangkan hati yang lalai, menggerakkan kebekuan perasaan, menilai kebenaran dan kebatilan.”
“Adapun sikap menyembunyikan kebenaran atau bersikap hanyut bersama arus yang datang sehingga sebahagian daripada kebenaran itu disembunyikan hanyalah menggalakkan golongan taghut dan menutup kesedaran berfikir di kalangan umat manusia. Malah sikap begitu bukanlah cara yang betul di dalam Harakah Islamiyyah.”
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/6/2020
SAYA telah meneliti dan mengambil maklum berkenaan isu yang tular berkaitan perkahwinan seorang rakyat Malaysia Muslim dengan seorang pemain hoki India baru-baru ini. Ulasan ringkas adalah maklum balas kepada beberapa persoalan dan kenyataan terkait peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menangani isu ini.
Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat. Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertieryang ada kemungkinan sahih atau tidak. Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.
Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah dan mendaftarkan keislaman tersebut di hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru. Rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri berkenaan. Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor.
Dalam hal status agama seseorang, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam. Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.
Perkahwinan antara pasangan Muslim dengan Bukan-Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003. Pasangan yang bukan-Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.
Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut. Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia.
Nasihat saya, sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan. Ini berdasarkan satu kaedah:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
“Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التَّهَمِ اتُّهِمَ
“Barangsiapa yang menempuhi, Ialuan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”
Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah. Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang Iain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam. Saya teringatkan kisah Abdullah bin Huzafah yang sanggup mencium kepala Raja Byzantium atas titah Baginda, hanya demi menyelamatkan akidah dan nyawa semua tahanan Muslim. Saidina Umar al-Khattab mengiktiraf dan menyanjung perlakuan Abdullah bin Huzafah tersebut.
Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri. Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana. Tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama.
Patik menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita yang disebarkan. Duli Yang Maha Mulia Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam. Ini menzahirkan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada pasangan tersebut semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang baik serta zuriat yang soleh dan solehah:
رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰجِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”
(al-Furqan: 74)
Sekian, terima kasih.
YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 21/12/2020
Dewan Ulama PAS dijadualkan berbincang isu tukar agama anak saudara Menteri Perpaduan bulan depan. “Kita tidak boleh gopoh untuk keluarkan hukum ketika wabak Covid tinggi”.