Prof Jackie Ying dan pasukannya menghabiskan masa enam minggu untuk menghasilkan kit ujian yang boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti COVID-19 lebih cepat.
SINGAPURA: Seorang profesor di Makmal NanoBio Lab di Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) serta pasukannya menghasilkan kit ujian yang dapat mengesahkan diagnosis COVID-19 dalam tempoh secepat lima minit.
Prof Jackie Ying dan pasukannya menghabiskan masa enam minggu untuk menghasilkan kit ujian itu dan berharap akan mendapat kelulusan dalam masa sebulan.
“Apabila diluluskan kelak, ia akan menjadi kit ujian COVID-19 yang paling pantas, bersesuaian dengan nama yang diberikan, ‘Cepat’.
“Kami sudah melakukan pengesahan klinikal awal di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), menggunakan sampel pesakit sebenar dan mendapati ujian ini amat sensitif lagi tepat,” katanya.
Beliau dan pasukannya adalah antara penyelidik di seluruh dunia yang sedang mengejar masa untuk menghasilkan kit ujian yang boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti COVID-19 lebih cepat berbanding ujian makmal biasa.
Meskipun kit ujian itu masih menanti untuk mendapat kelulusan, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata ia membuktikan usaha dan sumbangan Singapura kepada usaha global memerangi COVID-19.
“Kita juga boleh memainkan peranan dengan memastikan jarak yang selamat dengan orang lain serta menjaga kesihatan dan kebersihan peribadi kita.
“Meskipun kita jauh dari segi fizikal, tidak bermakna kita tidak boleh menjaga satu sama lain.
“Bersama, kita boleh menjaga keselamatan Singapura,” katanya yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. – AGENSI