Jelasnya, beliau melihat masyarakat kini melihat kredibiliti institusi tersebut di media sosial sehingga menimbulkan persespsi yang tidak baik.

“Apa yang berlaku, ia bukan berdasarkan fakta dan hanya bersandarkan pada persepsi. Media sosial merupakan satu sebab utama persepsi negatif masyarakat terhadap badan kehakiman.

“Orang ramai boleh menulis di media sosial tanpa pengetahuan yang mendalam dalam bidang kehakiman dan ia tular. Oleh itu, media arus perdana perlu membantu saya untuk melaporkan kes dengan tepat sekali gus dapat mengubah persepsi masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tengku Maimun di Istana Negara hari ini.

Pelantikan Tengku Maimun berkuatkuasa 2 Mei lalu adalah bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum selain turut menyaksikan beliau sebagai wanita pertama di Malaysia memegang jawatan itu.

Sementara itu, menurut Tengku Maimun, beliau bersyukur dengan perlantikan tersebut dan tidak merasakan gelaran wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara sebagai satu tekanan.

Jelasnya, beliau berpandangan bahawa jantina bukan satu isu yang besar dalam usahanya untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Tekanan yang sebenar adalah jawatan dan ia merupakan tanggungjawab yang besar. Sama ada lelaki atau wanita, kita perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

“Selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, saya telah meletakkan satu penanda aras dalam bentuk tempoh masa. Sekiranya kita berjaya menyelesaikan sebanyak 90 peratus kes dalam tempoh tertentu, ia sudah memadai. Sukar untuk mencapai 100 peratus kerana terdapat kes-kes yang kompleks,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, beliau akan meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Richard Malanjum dalam usaha untuk memperkasakan badan kehakiman negara.

“Sebarang keputusan perlu diputuskan secara kepimpinan kolektif bersama tiga individu penting iaitu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop,” katanya. – K! ONLINE

http://www.kosmo.com.my/terkini/tengku-maimun-mahu-urus-persepsi-masyarakat-terhadap-badan-kehakiman-negara-1.895778?fbclid=IwAR2QHt_Vr5AXPaFc28dEO7EGng4Oxxhzf9verXXefkFzg_clZyxTR6Mh-nQ