Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Guan Eng ingatkan ahli DAP jangan buang masa persoal isu peralihan PM

 

Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan agar ahli-ahli partinya tidak membuang masa mempersoalkan isu peralihan kuasa perdana menteri.

Jelas Lim, tiada pihak yang seharusnya mempersoalkan peralihan jawatan perdana menteri dari Dr Mahathir Mohamad kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana ia kemungkinan akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang akan berlangsung pada Nov tahun depan.

“Jangan buang masa mempersoalkan peralihan kuasa ini, dan jangan biarkan ada mana-mana pihak yang masih mempersoalkannya kerana ia mungkin akan berlaku selepas APEC 2020,” kata Lim kepada 372 perwakilan dalam konvensyen hari ini.

Meskipun Dr Mahathir dan Anwar berulang kali memberi keyakinan peralihan kuasa itu akan berlaku seperti yang dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, belum ada tarikh tepat dinyatakan.

Bagaimanapun, pada 11 Nov lalu, Dr Mahathir dipetik Reuters sebagai berkata bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas APEC 2020 yang akan diadakan di negara ini pada Nov tahun depan.

Sementara itu, Lim juga mengingatkan ahli parti agar tidak membuang masa mengenai masalah dalaman di khalayak ramai.

“Perselisihan dalaman perlu dibincangkan di belakang pintu tertutup, apa yang berlaku kepada rakan gabungan mempengaruhi pihak lain di PH juga,” katanya.

Lim juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan kesetiaan dan pengorbanan para pemimpin veteran parti.

Kata Lim, ramai pemimpin DAP telah dipenjarakan kerana berpegang pada prinsip mereka.

“Jangan lupa pengorbanan pemimpin veteran kita. Sebagai contoh, pemimpin kanan Lim Kit Siang, yang menolak jawatan menteri dan kekal sebagai ahli parlimen.

“Ia menunjukkan anda boleh menyumbang kepada parti dan negara tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan,” kata Lim yang juga ahli parlimen Bagan.

Ketika ditemui selepas itu, Lim berkata beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam politik PKR dengan menyentuh mengenai topik peralihan.

“Saya tidak memilih sebarang pihak tetapi kita perlu memastikan peralihan kuasa dilaksanakan dengan lancar,” kata Lim kepada Malaysiakini.

“Peralihan kuasa yang lancar adalah perlu bagi Malaysia untuk mengekalkan kestabilannya supaya kita boleh menghadapi pilihan raya seterusnya dengan lebih yakin,” tambah Lim.

Anggota parti komponen Pakatan Harapan lain yang menghadiri konvensyen itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Choo Kiang, Pengerusi Amanah negeri Roslan Ahmad dan Setiausaha Bersatu negeri Azahari Haris.

 

https://m.malaysiakini.com/news/503691?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR2x7LOJJp4eidSDCy_r5zKTUtHNqzwoYDxN0aCqpgq4WlPtesl173pHy_Y

“Jangan buang masa mempersoalkan peralihan kuasa ini, dan jangan biarkan ada mana-mana pihak yang masih mempersoalkannya kerana ia mungkin akan berlaku selepas APEC 2020”.

 

Malaysia terus tuntutan AS$7.5 bilion daripada Goldman, kata Guan Eng

Lim Guan Eng bercakap pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

PUTRAJAYA: Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, walaupun bank pelaburan itu dilaporkan berunding dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) (AS) untuk membayar penalti tidak melebihi AS$2 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak mendapat sebarang maklumat mengenai rundingan berkenaan dan akan terus berusaha menuntut AS$7.5 bilion (RM31.24 bilion) daripada Goldman.

“Saya hendak tekankan sekali lagi bahawa kerajaan Malaysia tidak tahu tentang laporan ini kerana kita tidak ada apa-apa maklumat mengenai mereka hendak buat penyelesaian di antara AS$1.5 bilion hingga AS$2 bilion kepada AS.

“Kita akan teruskan tindakan jenayah yang kita ambil terhadap Goldman. Saya sudah berhubung dengan peguam negara dan beliau nyatakan kes ini akan didengar, dijangka dibicarakan pada pertengahan tahun depan.

“Kerajaan Malaysia masih menuntut pembayaran sehingga AS$7.5 bilion sebagai balasan ke atas kerugian yang kita alami daripada skandal 1MDB,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Goldman mungkin membayar tidak lebih AS$2 bilion (RM8.32 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah dan pengawalseliaan atas peranannya mengumpul dana bagi 1MDB.

Menurut laporan yang memetik 3 individu mengetahui rundingan itu, DoJ dan agensi persekutuan lain menerusi rundingan dalaman yang dilakukan beberapa minggu ini, mempertimbangkan untuk mengenakan penalti antara AS$1.5 hingga AS$2 bilion.

Jumlah itu kurang daripada jangkaan sesetengah penganalisis. Walaupun penyelesaian mungkin diumumkan seawal bulan depan, syarat itu mungkin berubah sebelum perjanjian dimuktamadkan, kata individu yang tahu mengenai rundingan sulit itu.

Hari ini, Lim berkata, tuntutan AS$7.5 bilion hanyalah untuk Goldman dan ia tidak termasuk tuntutan ke atas ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang bersembunyi di negara lain.

“Jho Low banyak lagi. Nilai AS$7 bilion itu hanyalah dari Goldman sahaja,” katanya.

Pada 2 Nov lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia menolak tawaran Goldman yang “kurang daripada AS$2 bilion”.

“Kami tidak berpuas hati dengan jumlah itu, jadi kami masih berbincang dengan mereka. Jika mereka memberi respons munasabah, kami mungkin tidak akan bertegas untuk mendapatkan AS$7.5 bilion,” kata perdana menteri dipetik Financial Times London.

Malaysia mendakwa Goldman dan 17 bekas pengarah dan semasanya membantu 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion dalam bentuk bon.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/12/12/malaysia-terus-tuntutan-as7-5-bilion-daripada-goldman-kata-guan-eng/?fbclid=IwAR2OheovRui4oEF7KOdnO_rKBcEWKk-Dm3YUQUWnbi_hQjZHXZcZCbmO5Qw