Pegawai negeri, rakyat Kelantan berkabung selama 40 hari

Pegawai negeri, rakyat Kelantan berkabung selama 40 hari

KOTA BHARU: Semua pegawai negeri dan rakyat Kelantan akan berkabung selama 40 hari berikutan kemangkatan Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad pada sidang akhbar khasnya berkata, mereka mesti memakai kain putih di kemuncak songkok atau tali leher berwarna hitam dalam tempoh perkabungan itu.

“Manakala kerabat-kerabat diraja, pegawai dan kakitangan Istana hendaklah memakai pakaian berkabung selama 100 hari bermula hari ini.

“Semua masjid dan surau di dalam negeri Kelantan hendaklah mengadakan majlis tahlil dan doa selepas fardhu Maghrib selama tujuh hari,” katanya.

Nazran berkata, rakyat jelata boleh menziarahi jenazah baginda bagi penghormatan terakhir mulai pukul 2  hingga 4 petang ini.

“Tempoh yang sama turut diberikan kepada orang kenamaan untuk penghormatan terakhir itu,” katanya.

Beliau berkata, jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar di sini selepas solat Asar dengan perangkatan jenazah menggunakan pedati khas yang ditarik anggota tentera bermula dari Istana Balai Besar di sini.

“Pakaian pada upacara pemakaman bagi lelaki Melayu mestilah pakaian kebangsaan putih, sampin tenun putih dan kain putih di kemuncak songkok.

“Bagi orang bukan Islam boleh memakai lounge suit manakala perempuan berbaju panjang, berkain tudung manakala bukan Melayu adalah berpakaian sopan,” katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permasuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka tiba untuk memberikan penghormatan terakhir.

Turut dijangka hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kenamaan Istana lain.

Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada pukul 8.11 pagi. – BERNAMA