Kategori: RAMAH MESRA PERPADUAN-IKRAM KELANTAN
Kit Siang Ajak Rakyat Hargai Nilai Murni Setiap Budaya, Tamaddun Di Malaysia.
Kita semua perlulah keluar daripada kepompong etnik masing-masing dan mula berinteraksi dan menghargai nilai-nilai murni yang ada dalam setiap budaya dan tamadun yang ada di negara ini.
Bukan menjadi mangsa oportunis politik yang hanya bergantung kepada perpecahan dan sentiasa menghasut kita untuk berasa syak wasangka, benci, dan takut antara satu sama lain — dengan melagakan agama, budaya, dan kaum di dalam negara ini.

Jangan Jadi macam umnopas.
RAMAH MESRA PERPADUAN bersama kaum wanita Cina/Siam Kg Balai, Bachok – Ustzh Tempawan
Alhamdulillah hari ini 17 April 2019, dengan izin Allah telah selesai program RAMAH MESRA PERPADUAN bersama kaum wanita Cina/Siam Kg Balai, Bachok. Ustzh Tempawan menjelaskan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kesejahteraan dan keamanan. Ustzh juga telah memperdengarkan dan menerangkan secara ringkas mesej perpaduan yang disarankan oleh Allah dalam ayat 13 Surah al-Hujuraat:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meneliti.
Semua orang harus sedar dan tidak boleh menafikan sama sekali bahawa Allah telah mencipta manusia lelaki dan perempuan dan Dia jugalah yang menjadikan mereka berbagai-bagai bangsa dan suku untuk saling mengenali dan bermesra antara satu sama lain, bukan untuk pergaduhan atau persengketaan. Neraca takwa sahajalah yang menentukan nilai dan kedudukan manusia di sisi Allah.
Dalam soal hubungan dengan Non Muslim;
– kita sewajarnya membina hubungan yang baik atas dasar kemanusiaan, saling mengenali, tolong menolong, bekerjasama untuk melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan serta melengkapkan keperluan-keperluan kemanusiaan.
– Kita sebagai muslim mukmin sepatutnya menunjukkan perilaku/akhlak yang mulia sehingga menampakkan kepada Non Muslim keindahan Islam.
– Hendaklah mencontohi akhlak Rasulallah dalam tatacara hubungan dengan Non Muslim sehingga mereka terpesona dengan kemuliaan akhlak Rasulallah serta memeluk Islam.
– Mukmin sejati hendaklah menjauhkan diri dari mempamerkan perangai, sikap, tingkah laku buruk kepada mereka sehingga mereka menganggap itulah ajaran Islam, ini merupakan fitnah terhadap Agama Islam yang suci.
– Orang-orang yang beriman hendaklah melihat Non Muslim sebagai golongan yang perlu disantuni dan didakwah.
-Orang-orang yang telah dimasukkan ke dalam hatinya roh iman dan diberi cahaya hidayah oleh Allah, sepatutnya berjalanlah dia dengan cahaya tersebut di tengan-tengah manusia, menyuluh dan menerangi orang-orang yang masih belum mengenal Islam, bukan mengutuk mereka dan membiarkan mereka berterusan berada dalam keadaan tidak mengenal Islam.
Jutaan terima kasih:
– Team Wanita IKRAM Bachok ;
Pn Sharifah Mastura, Pn Zawiah, Pn Siti Mariam.
-Sahabat-sahabat Rumah Ngaji ALA Beach;
Raja Zamilah, Aini Zakaria, Raja Munirah, Rosliza dll.