Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Perkahwinan rakyat Malaysia beragama Islam di India – YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYA telah meneliti dan mengambil maklum berkenaan isu yang tular berkaitan perkahwinan seorang rakyat Malaysia Muslim dengan seorang pemain hoki India baru-baru ini. Ulasan ringkas adalah maklum balas kepada beberapa persoalan dan kenyataan terkait peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menangani isu ini.

Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat. Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertieryang ada kemungkinan sahih atau tidak. Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.

Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah dan mendaftarkan keislaman tersebut di hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru. Rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri berkenaan. Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor.

Dalam hal status agama seseorang, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam. Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

Perkahwinan antara pasangan Muslim dengan Bukan-Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003. Pasangan yang bukan-Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut. Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia.

Nasihat saya, sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan. Ini berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

“Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

 Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التَّهَمِ اتُّهِمَ

“Barangsiapa yang menempuhi, Ialuan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah. Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang Iain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam. Saya teringatkan kisah Abdullah bin Huzafah yang sanggup mencium kepala Raja Byzantium atas titah Baginda, hanya demi menyelamatkan akidah dan nyawa semua tahanan Muslim. Saidina Umar al-Khattab mengiktiraf dan menyanjung perlakuan Abdullah bin Huzafah tersebut.

Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri. Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana. Tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama.

 Patik menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita yang disebarkan. Duli Yang Maha Mulia Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam. Ini menzahirkan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada pasangan tersebut semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang baik serta zuriat yang soleh dan solehah:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

(al-Furqan: 74)

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 21/12/2020

Perpaduan umat berdasarkan acuan Allah SWT – DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

RASULULLAH SAW sebelum kewafatannya, telah menyampaikan satu wasiat melalui sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ.

Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama-lamanya selepasku (wafat), selagi mana kalian berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya (ajaranku).” (Riwayat Malik 2618)

Pesanan yang diriwayatkan oleh para ulama’ itu telah dirakamkan melalui hafazan dan tulisan, sepatutnya ditanam di dalam diri setiap Muslim dan umatnya supaya dihayati dalam kehidupan di alam dunia ini. Kehidupan yang sangat mencabar daripada segenap penjuru.

Petunjuk Rasulullah SAW adalah sangat sempurna yang merangkumi segala aspek kehidupan beragama dan bermasyarakat. Khususnya dalam perkara yang menjadi perbincangan sekarang iaitu masalah perpaduan umat.

Banyak pendekatan yang diperkenalkan di seluruh dunia. Ada yang mengambil konsep perkauman, politik, ekonomi, wilayah, dan lain-lain secara berasingan. Mereka menubuhkan gagasan masing-masing dengan pelbagai jenama.

Islam membawa mesej berkonsepkan sejagat dan mempunyai pendekatan yang tersendiri mengikut petunjuk al-Quran dan pelaksanaan Sunnah Rasulullah SAW yang konsisten dan anjal. Kedua-duanya telah berjaya dilaksanakan dalam masyarakat majmuk, walaupun pada zaman tersebut belum wujud kemudahan perhubungan seperti zaman kini.

Perpaduan yang digariskan oleh Islam berteraskan konsep Islam memimpin, persaudaraan dan adil kepada semua mengikut fitrah kejadian manusia. Walaupun wujud kepelbagaian dan perbezaan, namun semua pihak boleh bersatu atas titik persamaan dan bertasamuh (bertoleransi) dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian.

Konsep Islam memimpin perlu didahulukan, dengan kuasa pemerintahan Islam yang berdaulat. Maka kekuatan umat Islam itu sendiri hendaklah diperkukuhkan, berkonsepkan firman Allah SWT:

﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ  مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠﴾

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada melakukan perkara yang ma’ruf, dan mencegah daripada perkara yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, terdapat dalam kalangan mereka, golongan yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah Ali ‘Imran: 110)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ  وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ١٠﴾

“Sesungguhnya mereka yang beriman itu bersaudara. Maka disebabkan itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat-Nya.” (Surah al-Hujurat: 10)

Maka Rasulullah SAW telah mengambil langkah untuk menjayakan usaha penyatuan umat Islam, dengan mendahulukan konsep persaudaraan iman bersama prinsip amar ma’ruf dan nahi munkar yang termasuk dalam ciri-ciri sifat taqwa. Sebaik sahaja berlaku hijrah, Baginda SAW terlebih dahulu mempersaudarakan penganut Islam. Mereka terdiri daripada kalangan Muhajirin yang datang ke Madinah dan kumpulan Ansor, gabungan suku Aus dan Khazraj yang bersatu setelah berperang sebelum Islam.

Konsep persaudaraan seagama Islam adalah berprinsipkan iman yang merentasi batasan kaum, bangsa dan keluarga. Maka umat Islam yang mendominasi masyarakat majmuk di Madinah disatukan atas konsep aqidah yang menegakkan syariat Islam yang adil kepada semua dan akhlak yang bersifat kemanusiaan sejagat.

Selain itu, konsep manusia sebagai satu keluarga yang besar dilaksanakan mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً  وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhankalian yang telah menciptakan kalian dari seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan daripada kedua-duanya Allah kembang biakkan golongan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Seluruh manusia yang berasal daripada seorang bapa (Adam) dan seorang ibu (Hawa) sahaja, menunjukkan bahawa adanya hubungan silaturahim dalam konsep kekeluargaan yang besar. Ia juga berkonsepkan sifat kemanusiaan yang sama dari segi asal kejadiannya, walaupun selepas itu berpecah mengikut perkembangan zaman yang berubah dalam tempoh masa yang panjang dan jarak yang jauh.

Islam juga mewajibkan hubungan kekeluargaan sekalipun berbeza agama. Agama Islam dipegang dengan teguh dan hubungan kekeluargaan juga dijaga agar tidak putus, walaupun berbeza agama yang dianuti dan mereka tetap beramal dengan agama masing-masing. Allah SWT berfirman dalam aspek ini:

﴿وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ١٤ وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا  وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا  وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ  ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ١٥﴾

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya yang telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kamu kembali. (14); Dan jika kedua-duanya (bukan Islam) memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang kamu tiada pengetahuan tentangnya, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada Akulah kamu akan kembali, maka Aku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (15).” (Surah Luqman: 14-15)

Kemudian manusia ditemukan pula dengan konsep ta’aruf (saling berkenalan dan saling berkeperluan) mengikut firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا  إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ  إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa) dan menjadikan kalian itu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku; supaya kalian saling berta’aruf (kenal-mengenal dan saling bergantung). Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Maka Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah yang terkenal, menekankan suatu konsep hubungan kemanusiaan dengan penganut bukan Islam. Termasuk hubungan dengan bangsa bukan Arab yang tidak menganut Islam daripada kalangan penduduk Madinah yang bermasyarakat majmuk.

Ibn Khaldun RHM menyebutkannya dengan istilah Madani dan ada juga dalam kalangan para ilmuwan Islam menyebutkannya dengan istilah Hadhari. Kedua-dua istilah ini membawa maksud manusia itu mesti bertaut dalam keperluan hidup yang terjalin antara satu sama lain secara fitrah atau semula jadi bermasyarakat.

Sebagai contoh keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain yang memerlukan campuran daripada pelbagai jenis bahan-bahan dan kebolehan yang berbeza. Namun, ia perlu digabungkan dan dikumpulkan dalam bentuk kemahiran, perusahaan, perniagaan, perdagangan dan kehidupan berpolitik serta berekonomi.

Semua aktiviti tersebut berpusat di tempat yang dinamakan sebagai bandar atau disebutkan juga dengan Madinah dalam bahasa al-Quran. Begitu juga perlu dihadirkan di suatu tempat yang dinamakan bandar atau pasar yang menjadi pusat pertemuan. Maka perkataan hadharah atau hadhari berasal daripada perkataan hadir.

Oleh itu, pusat pemerintahan bagi sebuah kerajaan Islam yang bernama Yathrib ditukar kepada nama Madinah. Islam yang diterapkan dengan pemahaman sebagai al-Din, bukan difahami dengan istilah agama dengan makna yang sempit.

Sifat adil yang diwajibkan dalam sebuah pemerintahan Islam diluaskan pelaksanaannya yang tidak terhad terhadap masyarakat majmuk dalam satu negara sahaja, bahkan termasuk juga terhadap musuh di luar negara. Ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ  وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا  اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum, mendorong kalian untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Rasulullah SAW telah menterjemahkan konsep adil terhadap musuh, sewaktu Panglima Khalid bin al-Walid RA telah bertindak melampau dalam satu peperangan terhadap musuh. Baginda SAW mengarahkan agar dibayar pampasan kepada mangsa, walaupun ketika itu Islam telah menang dan berada dalam keadaan yang paling kuat. Ini menunjukkan Islam tidak berkonsep ‘double standard’ seperti negara kuasa besar pada zaman kini terhadap negara yang lemah khususnya melibatkan perilaku jenayah perang.

Konsep adil terhadap semua dalam segala aspek ini telah ditegaskan melalui perintah Allah SWT dalam al-Quran. Firman-Nya:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ  إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian agar menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kalian) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

PAS telah mengambil langkah proaktif dalam politik Malaysia hari ini dengan usaha mewujudkan perpaduan umat melalui kerjasama melalui gagasan baru Muafakat Nasional (MN), bagi menyatukan umat Islam bermula dengan parti utama Melayu-Islam yang terdiri daripada UMNO, PAS dan BERSATU.

Kemudian diikuti pula dengan gagasan Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan parti pelbagai agama dan kaum yang tidak ekstrem dan tidak liberal. Gabungan yang berlandaskan perubahan secara holistik atas titik persamaan dan berkompromi dalam perbezaan berlandaskan acuan yang telah dinyatakan di atas.

Gagasan ini telah berjaya menukar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang tidak mempunyai kestabilan dalaman. Perubahan berlaku melalui proses demokrasi berperlembagaan yang sah dari segi politik dan undang-undang. Walaupun mendapat majoriti yang kecil dan tipis, akan tetapi masih bertahan dan mampu menggerakkan jentera kerajaan. Walaupun sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang sedang menular di seluruh dunia.

Namun, gagasan perpaduan umat yang dibentuk ini perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-15 yang mesti diadakan. Kejayaan sebelum ini dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, serta kegagalan menolak Bajet 2021 oleh pihak lawan adalah tanda positif yang perlu dilangsungkan kemajuannya berasaskan konsep perpaduan yang telah dinyatakan.

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Rabi’ul Akhir 1442 / 4 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 4/12/2020

Peristiwa Hunain mengajar umat Islam supaya sentiasa bertawakal kepada Allah SWT setelah berikhtiar – HADI

Peristiwa Hunain mengajar umat Islam supaya sentiasa bertawakal kepada Allah SWT setelah berikhtiar.

Peristiwa Hunain berkongsi ciri yang hampir sama secara prinsipnya dengan Perang Uhud.

Dalam Peristiwa Uhud, arahan Rasulullah SAW supaya pasukan pemanah tidak meninggalkan bukit dilanggar disebabkan oleh terpengaruh dengan harta rampasan yang berselerak ditinggal musuh.

Dalam peristiwa Hunain, ramai yang terpesona dan bermegah dengan jumlah tentera yang ramai sehingga merasakan jumlah itu sudah cukup untuk memberikan kemenangan.

Kedua-dua peristiwa ini memberi pengajaran yang pahit kepada generasi awal tetapi menjadi ubat mujarab yang menyembuhkan penyakit yang boleh menghalang perjalanan perjuangan Islam di sepanjang zaman.

Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil manfaat daripada pengajaran besar daripada kedua-dua peristiwa ini.

Mengapa Iblis menjadi Iblis?

IMAM Jamaluddin Al Qasimi ketika mentafsirkan ayat ke-23 Surah al-A’raf, menyebutkan 5 sebab mengapa Iblis menjadi hina:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمۡنَاۤ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

(1) Tidak merasa bersalah.

Ketika Allah memerintahkan untuk sujud memberi penghormatan kepada Adam A.S, Iblis langsung tidak mahu menurutnya:

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ ٱسۡجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِبۡلِیسَ لَمۡ یَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِینَ

(al-A’raf: 11)

(2) Tidak mengakui kesalahannya.

Ketidakpatuhan Iblis tidak hanya terhenti setakat tidak mahu sujud, bahkan tidak menganggap ia adalah suatu kesalahan. 

(3) Tidak menghinakan diri dan menyandarkan kepada Tuhan.

Punca Iblis tidak mengaku salahnya kerana menganggap dia jauh lebih baik, bahkan mengangkat dirinya lebih mulia berbanding Adam A.S:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ

(al-A’raf: 12)

(4) Tidak segera bertaubat.

Akibat sikap Iblis yang sedemikian, Allah menjadi murka dan menghukumkan Iblis untuk keluar dari syurga. Tetapi Iblis langsung tidak menunjukkan wajah keinsafan, bahkan berdalih seakan-akan tidak bersalah dan meredhai kesesatannya:

قَالَ أَنظِرۡنِیۤ إِلَىٰ یَوۡمِ یُبۡعَثُونَ

(al-A’raf: 14)

(5) Berputus asa dari rahmat Allah.

Kemuncak kejahatan Iblis semakin jelas dengan iltizamnya mahu menyesatkan manusia:

قَالَ فَبِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَ ٰ⁠طَكَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ

(al-A’raf: 16)

Kata Al -Qasimi, Nabi Adam A.S pula menjadi bahagia kerana berlawanan lima sifat di atas, iaitu merasa bersalah, mengakui salahnya, merendahkan dirinya kepada Allah, segera bertaubat dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Pengajaran

Al-Quran menyebutkan kisah Nabi Adam A.S dan Iblis sebagai gambaran buat kita akan perihal dua golongan. Satu yang taat, segera kembali kepada Tuhan, manakala satu lagi ingkar dan selesa dengan penyelewengan. 

Syeikh Abi Faraj AlJauzi mengarang satu kitab yang diberi tajuk Talbis Iblis, mendedahkan segala taktik tipu daya Iblis yang mengenai semua golongan yang membayangkan betapa komitednya Iblis dengan profesionnya. Hal ini turut disebutkan Allah melalui ayat ke 17 Surah al-A’raf:

ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ

Tidak ada golongan yang akan terlepas daripada godaannya, sama ada yang baik atau yang ingkar sebagaimana menurut Ibnu Abas. Hanya mereka yang diikhlaskan oleh Allah sahaja akan diberi petunjuk oleh Allah:

إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِینَ

(al-Hijr: 40)

Tidak ada yang diharapkan kecuali kita tergolong dalam kalangan tersebut.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Timbalan Rektor KUIZM – HARAKAHDAILY 19/11/2020

Rasuah dan keberkatan rezeki

AL-QURAN membentangkan kisah rasuah melalui kisah Nabi Allah Sulaiman A.S. Dalam ayat lain, Allah menggunakan kalimah As Suht dan Aklu Amwal An Nas bilbathil yang merujuk kepada persoalan rasuah. Di dalam kisah melalui ayat 35 hingga 37 surah An-Namlu Allah berfirman:

وَإِنِّی مُرۡسِلَةٌ إِلَیۡهِم بِهَدِیَّةࣲ فَنَاظِرَةُۢ بِمَ یَرۡجِعُ ٱلۡمُرۡسَلُونَ

“Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.”

فَلَمَّا جَاۤءَ سُلَیۡمَـٰنَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالࣲ فَمَاۤ ءَاتَىٰنِۦَ ٱللَّهُ خَیۡرࣱ مِّمَّاۤ ءَاتَىٰكُمۚ بَلۡ أَنتُم بِهَدِیَّتِكُمۡ تَفۡرَحُونَ

“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).”

ٱرۡجِعۡ إِلَیۡهِمۡ فَلَنَأۡتِیَنَّهُم بِجُنُودࣲ لَّا قِبَلَ لَهُم بِهَا وَلَنُخۡرِجَنَّهُم مِّنۡهَاۤ أَذِلَّةࣰ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ

“Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari Negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.”

Hadiah sebagai bahan menguji pemimpin

Melalui kisah di atas, Ratu Saba` menerima surat daripada Nabi Sulaiman supaya tunduk dan menyerah kepadanya. Melalui pengetahuannya bahawa Nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang besar, Ratu Saba` memilih untuk tidak memeranginya, lalu memutuskan supaya dihantar hadiah yang banyak kepada mereka. 

Ibnu Abbas menyebutkan, “Jika beliau (Nabi Sulaiman A.S) menerima hadiah ini maka dia adalah Raja (iaitu merujuk kepada mana-mana raja yang suka kepada kuasa dan harta) maka kita akan perangi mereka, jika beliau menolaknya, maka dia adalah Nabi, kita akan tunduk kepadanya.”

Sememangnya manusia memang sangat berhajat kepada harta, maka aspek ini menjadi titik utama kelemahan mereka yang menjadi pemimpin.

Rasuah bukan sumber rezeki

Apabila rombongan yang membawa hadiah yang banyak sampai ke Baitul Maqdis dan membentangkan hadiah mereka, ternyata Nabi Sulaiman menolaknya dengan keras! Bahkan Nabi Sulaiman menempelak mereka dengan perbuatan merasuahnya melalui hadiah. Kata Nabi Sulaiman, “apakah kalian cuba merasuah aku dengan harta ini?”. Kata Ibnu Kathir, “adakah kalian mahu mempermainkan aku dengan harta?”

Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi menafsirkan ayat 35 surah An-Namlu seakan-akan Nabi Sulaiman berkata seperti berikut, “Aku bukanlah orang yang memberi rasuah dengan nama hadiah, kerana Allah telah memberi kekayaan kepadaku dengan begitu banyak pemberian. Bahkan kalianlah golongan yang suka pemberian rasuah dan hadiah.”

Ternyata Nabi Sulaiman mendidik kita supaya tidak mengejar rezeki dengan jalan rasuah, bahkan mesti memahami bahawa jalan rasuah itu boleh hadir dengan berselindung di atas nama hadiah atau sedekah.

Kaum Saba` memeluk Islam

Akhirnya, berkat keyakinan Nabi Sulaiman A.S akan rezeki itu datangnya dengan jalan yang diredhai oleh Allah, lalu Allah membuka lagi pintu keberkatanNya dengan keIslaman Ratu Saba` dan seluruh pengikutnya. Firman Allah:

قَالَتۡ رَبِّ إِنِّی ظَلَمۡتُ نَفۡسِی وَأَسۡلَمۡتُ مَعَ سُلَیۡمَـٰنَ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

“Dia(Ratu Saba`) berdoa: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam “.”

[an-Naml: 44]

Pemulihan berintegriti 

Recovery with Integriti menjadi slogan Sambutan Anti Rasuah Antarabangsa bagi tahun 2020 perlu diamati melalui Kisah Nabi Sulaiman A.S. Integriti hendaklah bertitik tolak dari keimanan dan ketakwaan kepada Allah terlebih dahulu, seterusnya kejujuran pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat bawahan, berbanding terbeliak mata melihat khazanah kekayaan yang tidak pernah dinikmati sebelum ini.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 10/12/2020

JANGAN CABULI SEMPADAN ISLAM – ABDUL HADI AWANG

JANGAN CABULI SEMPADAN ISLAM

Allah memberi amaran kepada orang yang beriman dan mendedahkan perkara yang tersembunyi di dalam hati musuh yang cuba disembunyikan, melalui firman-Nya:

يَاأَيُّهَاالَّذِينَآمَنُوالَاتَتَّخِذُوابِطَانَةًمِّندُونِكُمْلَايَأْلُونَكُمْخَبَالًاوَدُّوامَاعَنِتُّمْقَدْبَدَتِالْبَغْضَاءُمِنْأَفْوَاهِهِمْوَمَاتُخْفِيصُدُورُهُمْأَكْبَرُقَدْبَيَّنَّالَكُمُالْآيَاتِإِنكُنتُمْتَعْقِلُونَ (118) هَاأَنتُمْأُولَاءِتُحِبُّونَهُمْوَلَايُحِبُّونَكُمْوَتُؤْمِنُونَبِالْكِتَابِكُلِّهِوَإِذَالَقُوكُمْقَالُواآمَنَّاوَإِذَاخَلَوْاعَضُّواعَلَيْكُمُالْأَنَامِلَمِنَالْغَيْظِقُلْمُوتُوابِغَيْظِكُمْإِنَّاللَّهَعَلِيمٌبِذَاتِالصُّدُورِ (119) [سورةآلعمران: 118]

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti daripada berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (118); Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan). Sebenarnya kamu sahajalah yang suka dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah, (sedangkan mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada”. (119) (Surah Aali ‘Imraan: 118-119)

Allah mendedahkan pertemuan dua kumpulan tersebut. Mereka ini sebenarnya bergabung; satu kumpulan berjenama Islam dan satu kumpulan bukan Islam.

Akhir-akhir ini muncul daripada kalangan mereka yang memberanikan diri menyentuh terhadap sensitiviti orang Islam yang beriman dan beristiqamah.

Mereka ini terdiri di kalangan bukan Islam atau namanya Islam seperti Abdullah bin Ubai pada zaman Rasulullah S.A.W. tetapi fikirannya dihanyutkan oleh arus pengaruh Yahudi di Madinah. Kedua-dua kumpulan ini adalah musuh Islam yang tidak tersembunyi lagi, termasuk yang berjenama Islam, walaupun satu bangsa dan satu bahasa. Mereka sebenarnya terkeluar daripada sempadan yang disebut istiqamah yang wajib dipohon oleh setiap yang beriman pada setiap solatnya.

Kini mereka memberanikan diri menunjukkan kebenciannya kepada Islam secara terbuka seperti isu Dr. Zakir Naik, isu jagaan anak Indira Ghandi, isu tulisan jawi dan sebagainya.

Sepatutnya mereka mengetahui sensitiviti penganut Islam dalam perkara Iman dan Islam yang tidak berpisah dalam diri seseorang Islam yang sebenar itu, kerana Islam lebih mahal daripada nyawa dan diri yang merupakan harta bagi seseorang muslim, inilah jaminan kebahagiaan yang berwawasan dari dunia sehingga akhirat, dan merupakan cita-cita bagi seseorang yang sebenarnya beriman dan muslim sejati, bahkan dalam hubungan sesama meraka juga berkaitan dengan iman.

Pada zaman Islam berdaulat, pemimpin negara mengarahkan supaya menyerang sebuah negara bukan Islam yang menghina seorang muslimat yang berniaga di pasar mereka, berani bertindak kepada sesiapa yang menghina Islam dan Rasulullah S.A.W. kerana menyentuh iman yang menjadi teras jati dirinya. Maka keimanan tidak boleh diganggu dan dicabul dalam semua perkara yang berkaitan dengan Islam.

Oleh itu, semua pihak jangan terlanjur lidah dan tulisan menyentuh sensitiviti seseorang Islam dalam semua perkara. Begitulah juga seorang Islam diajar supaya jangan menyentuh sensitiviti bukan Islam secara ilmu. Contohnya, Al-Quran mengajar orang yang beriman supaya menjaga sensitiviti bukan Islam. Firman Allah:

وَلَاتَسُبُّواالَّذِينَيَدْعُونَمِندُونِاللَّهِفَيَسُبُّوااللَّهَعَدْوًابِغَيْرِعِلْمٍكَذَٰلِكَزَيَّنَّالِكُلِّأُمَّةٍعَمَلَهُمْثُمَّإِلَىٰرَبِّهِممَّرْجِعُهُمْفَيُنَبِّئُهُمبِمَاكَانُوايَعْمَلُونَ (108) [سورةالأنعام: 108]

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al-An’aam: 108)

Islam membawa konsep kebebasan dan hak beragama dengan menggalakkan berhujah bukan berperang, tetapi apabila ada pihak yang melarikan diri daripada hujah, kerana tidak mampu berhujah, atau sebenarnya tiada hujah. Maka Islam tidak boleh bertolak ansur dalam mempertahankan kebenaran yang diyakininya, walaupun dengan apa sahaja pengorbanan, sehingga cinta seseorang Islam itu kepada agamanya melebihi daripada harta dan jiwa raganya. Tidak sama dengan pihak lain yang boleh berundur dalam pegangan agama mereka dengan sewenang-wenangnya.

Walaupun dalam perkara yang perkara sunat dalam Islam yang boleh dibuat pilihan seperti seorang Islam boleh menyembelih ibadat korban dengan memilih lembu, kerbau, biri-biri atau kambing. Namun, disuruh menjaga sensitiviti dalam masyarakat Hindu yang memuja lembu secara ibadat, maka jangan menunjuk-nunjuk di hadapan mereka, lakukanlah secara beradab dalam hubungan bermasyarakat majmuk.

Pada masa sama, jangan pula orang Islam diharamkan secara paksa dengan undang-undang yang mengharamkan amalan agamanya, kerana boleh mencetuskan peperangan walaupun disebabkan oleh lembu seperti yang berlaku di sesetengah daerah di India.

Apa yang dicetuskan dengan berani sekarang, adalah lebih besar daripada isu lembu, maka janganlah daripada kalangan parti politik atau tokoh masyarakat bukan Islam cuba menunjukkan diri menjadi hero dalam isu ini kerana ingin mendapat keuntungan saham politik mereka, tanpa hujah yang berakal mencari kebenaran.

Al-Quran memaparkan kisah Raja Babylon bernama Namrud yang kalah berhujah menghadapi Nabi Ibrahim A.S., lalu terus menjatuhkan hukuman bunuh dibakar api yang besar, bukan kerana kesalahan Nabi tetapi marah kerana kalah berhujah atau mati hujahnya. Tindakan raja itu bukannya cara yang bijak, tetapi zalim dan bodoh.

Keharmonian berlaku dengan hujah, bukan dengan tindakan sembarangan. Perlu diketahui bahawa haram bagi umat Islam diketepikan dalam perkara dasar agamanya.

Isu Dr. Zakir Naik kerana hujah, bukan kerana melampaunya. Isu penjagaan anak Indira bukan sahaja isu makan dan minum, tetapi diambil kira jaminan roh dan akhlaknya yang tergugat dengan makanan yang diharamkan oleh semua agama, tetapi agama lain daripada Islam seringkali menghalalkan perkara yang diharamkan oleh kitab suci mereka sendiri, seperti daging babi, arak, pergaulan bebas dan lain-lain, di mana terkeluar daripada konsep kebebasan beragama yang dipertahankan oleh Islam.

Jangan gunakan mereka berjenama Islam sahaja yang dikenali sifatnya bermusuh dengan Islam, walaupun namanya Abdullah atau Muhammad, termasuk syaitan bisu yang tetap dikenali.

Tegasnya, bahawa penganut Islam yang sebenar tetap menjaga sempadan hubungan antara agama dan kaum, tetapi kalau sempadannya dilangkah, maka umat Islam diharamkan menyerah kalah.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 8 Zulhijjah 1440 / 9 Ogos 2019 p

BONGKAR RAHSIA MENTERI AGAMA.

Bongkar: Di sebalik cubaan fitnah ke atas Menteri Agama

PENULIS asal artikel Malaymail yang memfitnah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bernama Radzi Razak membuat satu komen beserta screenshot perbualannya dengan Ustaz Razif (pegawai Dr Zul) seolah-olah artikelnya tiada masalah malahan direstui oleh pihak Menteri. Apakah itu suatu kebenaran mutlak atau half truth?

Melalui perbualan saya dengan Ustaz Razif, beliau telah cuba untuk menghubungi Radzi Razak berkali-kali tetapi tak dapat. Alhamdulillah lepas beberapa kali, baru Radzi menjawab panggilan dia berjanji berkali-kali nak edit. Selepas call pertama, dia call balik dan janji lagi. Anda rasa siapa yang bercakap benar di sini?

Selain itu, penipuan orang atasan Radzi Razak di MalayMail iaitu Asst Editor, Zurairi kononnya Dato’ Seri Dr Zul ‘misspoke’ dibantah dengan tegas oleh Menteri sendiri dengan jawapan ‘No‘. Lepas dibongkar, berlakon kononnya menjadi mangsa sedangkan merekalah pemangsa. Pemangsa berlakon menjadi mangsa untuk menagih simpati untuk menuduh orang Islam yang mengatakan kebenaran sebagai ekstremis?

Siti Kasim pun turut komen sekali? Well, birds of the same feather flock together. Pesanan untuk Siti Kasim yang rajin bertanya di mana duit zakat, harap dia juga rajin membaca apa inisiatif yang telah dilakukan oleh beberapa Lembaga Zakat Negeri.

Rajin membaca dan mengkaji amalan yang mulia. Menyalak, menjerit dan menunjukkan isyarat lucah cara senang mendapatkan perhatian. Rajin-rajinlah membaca dan mengkaji. Jangan seperti katak bawah tempurung kononnya seorang yang open tetapi tutup ruangan komen kepada orang awam tetapi hanya untuk orang yang setuju dengan dia sahaja. Liberal? Mungkin saya lebih Liberal?

Manusia pasti tidak lari dari melakukan kesilapan kerana bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan manusia mana yang tidak melakukan kesilapan. Oleh itu Nabi Muhammad S.A.W bersabda;

“Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah No. 4392)

Setelah dibuktikan kesilapannya, pihak Malaymail, penulis artikel itu Radzi Razak serta Asst News EditorZurairi masih enggan mengakui kesilapan mereka! Bukti rakaman video pun dah jelas kenapa mereka masih mahu menegakkan benang yang basah?

Bukan sahaja tidak mengakui kesilapan malahan dengan penuh kesombongan mengatakan “Tidak mahu meminta maaf”! Andai mereka menyalahkan pihak Dr Zul, apa pula respons mereka kepada pihak Sinar Harian dan Harian Metro yang melaporkan berita yang sama tetapi tidak pun mereka menulis dana itu semata-mata untuk Muslim sebagaimana ditulis oleh MalayMail?

Telinga mereka yang bermasalah atau hati mereka yang berpenyakit sebenarnya? Saya juga ingin menasihati diri dan sahabat semua jangan mengeluarkan kata-kata kesat dan jangan libatkan ahli keluarga mereka yang terlibat. Mereka tiada etika dan akhlak jangan pula kita mengikuti jejak langkah mereka yang buruk itu.

Andai wartawan dan editor pun enggan meminta maaf setelah dibuktikan memfitnah, saya akan merasa terkejut andai Siti Kasim memadamkan posting beliau dan meminta maaf kerana tangan terlajak laju dari otaknya.

Media Liberal ada dana dan penyumbang. Kami sebagai NGO akan terus memantau dan membongkar fitnah dan agenda kalian khususnya terhadap Islam dan Muslim.

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 26/3/2020

Perihal WINS 2051: Kenapa 2018? Kenapa 2051? (Siri 5)

1. Bagi menjayakan agenda WINS 2051, pihak sekretariat menetapkan tempoh secara berperingkat sehingga tahun 2051. Ia dibahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama bermula 2018 sehingga 2030. Fasa kedua bermula pada 2031 sehingga 2040. Manakala fasa ketiga pula bermula pada tahun 2041 sehingga 2051

2. Fasa pertama menekankan aspek pemulihan negara yang kini berhadapan dengan berbagai masalah. Peringkat ini dikira sebagai tempoh transisi daripada sistem dan budaya politik dan pentadbiran yang ada kepada yang baru berteraskan solusi Islam. Dalam tempoh ini, WINS 2051 akan menjayakan agenda Dokumen Hijau dalam bidang ekonomi, dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dari segi politik.

Selain itu program-program dan produk dari bidang lain akan terus dikeluarkan dari semasa ke semasa merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, pertanian, infraskruktur, urus-tadbir, sosio-budaya dan sebagainya. Dijangka pada tahun 2030, Malaysia akan berjaya mencapai matlamat fasa pertama iaitu Transformasi Negara Sejahtera.

3. Bermula tahun 2031, WINS 2051 mengorak langkah ke hadapan dalam fokus membangunkan Malaysia menuju kepada Negara Sejahtera. Kenapa Negara Sejahtera? Kerana sejahtera merupakan salah satu definisi Islam sendiri. Kesejahteraan yang akan dibawa pada fasa ini adalah berteraskan ‘kemajuan’ dan ‘kemakmuran’.

4. Fasa kedua ini sememangnya mahu membawa Malaysia dari status negara membangun kepada negara maju. Namun maju yang dimaksudkan adalah sama sekali berbeza dengan definisi konvensional yang mementingkan aspek material semata-mata. Kemajuan yang dicitakan WINS 2051 adalah selari antara material, mental dan spiritual. Kemajuan yang bersuluhkan visi akhirat, tidak terbatas setakat kemajuan duniawi sahaja.

5. WINS 2051 menambah satu lagi aspek negara sejahtera yang dicita-citakan iaitu kemakmuran (prosperous). Ini kerana kemajuan yang difahami ramai hari ini hanya menitik beratkan soal pendapatan dan ekonomi sahaja. Negara makmur bermaksud jurang pendapatan antara rakyat tidak ketara, rasa tenteram dan tiada kebimbangan dalam menjalani kehidupan seharian, keseimbangan eko-sistem, keadilan dalam perbezaan fitrah dan seumpamanya. Pencapaian material dianggap hanya alat bagi mencapai kehidupan makmur, dan bukan semua perkara bergantung kepada material.

6. Fasa kedua mengambil masa 10 tahun sehingga 2040. Tempohnya lebih singkat daripada fasa pertama yang memakan masa kira-kira 13 tahun, kerana mengambil contoh daripada agenda sosio-politik yang dimainkan oleh Rasulullah SAW. Sirah baginda memakan masa yang lebih lama di Mekah iaitu selama 13 tahun bagi membaiki sistem jahiliah yang lama mempengaruhi masyarakat, berbanding cuma 10 tahun di Madinah untuk memakmurkan sebuah kerajaan berdaulat.

7. Fasa ketiga akan bermula selepas itu iaitu pada tahun 2041 hinggalah ke akhirnya iaitu 2051. Tempoh ini dinamakan sebagai ‘Malaysia Memimpin’ dengan membawa model pentadbiran Malaysia kepada dunia luar untuk dicontohi. Pada tempoh ini, proses Kajian dan Pembangunan (RnD) terus berjalan dalam memastikan Malaysia terus kekal dengan status Negara Sejahtera, tetapi dalam waktu yang sama turut membantu negara-negara lain mengecap kemajuan yang sama-sama dicitai.

8. Fokus utama Malaysia Memimpin adalah kepada negara-negara OIC dan negara-negara membangun yang lain. Hal ini berbalik kepada kefahaman tentang prinsip agama Islam sendiri yang tidak mengenal sempadan negara bangsa atau geografi. Seluruh manusia adalah makhluk Allah yang terbaik, manakala orang beriman semuanya bersaudara. PSelain itu dengan melebarluaskan jaringan negara ia juga akan mempercambahkan lagi kemajuan Malaysia kerana Allah SWT telah menetapkan setiap bangsa itu memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri, dan perlu hidup secara integrasi dan bantu-membantu.

9. Mungkin ramai bertanya kenapa memilih tahun 2051? Adakah kerana reaksi terhadap Transformasi Negara 2050 (TN50) yang diperkenalkan kerajaan? Jawapannya bukan kerana mana-mana pihak. Tetapi mengambil sempena 100 tahun penubuhan PAS iaitu 1951. Tahun tersebut bermulanya PAS meletakkan tujuan penubuhan iaitu tertegaknya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang mengamalkan nilai-nilai dan hukum Islam, bermatlamatkan redha Allah SWT. Perjuangan PAS adalah bersifat rabbani dan universal, bukan untuk menjayakan matlamat politik sempit pihak tertentu.

Bermula penubuhan PAS, sudah banyak perkara yang dilakukan oleh PAS memberi lesan secara tidak langsung kepada negara dan rakyat sehingga ke hari ini. Sebelum negara mencapai kemerdekaan hingga saat ini, terlalu banyak sumbangan PAS dalam pelbagai aspek yang meletakkan Malaysia setaraf hari ini. Justeru ia amat signifikan untuk dihayati oleh seluruh pelusuk negara.

10. WINS 2051 akan bermula pada tahun hadapan iaitu 2018. Mengikut jangkaan, PRU14 akan diadakan awal tahun hadapan. PAS yakin akan mencapai matlamat untuk menjadi king-maker selepas pilihanraya nanti. Justeru PAS sudah menyiapkan pelan tindakan awal-awal yang akan bermula sebaik sahaja terbentuk pentadbiran negara yang baru.

Namun jika ditakdirkan PAS tidak berjaya mencapai objektif dalam PRU14 ini, ia tidak bermakna WINS 2051 akan disimpan begitu sahaja atau dianjak masa yang lain. WINS 2051 akan terus dijayakan dengan ruang yang ada. PAS sentiasa bersedia menjadi penasihat dan perunding bagi kerajaan yang bakal dipilih nanti sebagai yang sudah dinyatakan oleh Presiden PAS sebelum ini. Tanpa mengira siapa pun yang naik, PAS akan menghormati The Government of The Day yang dipilih secara sah oleh rakyat. Walaupun tidak menjadi kerajaan, PAS tetap menganggap diri sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap negara.

Ibrah melalui hikmah ibtila’

SYAITAN adalah musuh manusia yang nyata. Setiap detik syaitan mengintai peluang untuk menggoda serta menghasut manusia agar tergelincir daripada roda Islam dan iman. Sekuat-kuat iman manusia, adakalanya terkesan dengan godaan syaitan apabila leka dan terpaut dengan keduniaan. Setiap amalankhairat pasti akan dihalang oleh syaitan dengan pelbagai versi halangan. Para Rasul dan Nabi juga apabila menjalankan dakwah, mereka tidak terlepas daripada kejahatan syaitan yang menunggu peluang untuk lenyapkan dakwah yang disebarkan. Namun, Allah menyelamatkan hamba-Nya yang beriman sementara mereka yang kufur ingkar pasti terjerumus ke lembah tipu daya syaitan. Firman Allah S.W.T:

وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ مِن رَّسُولࣲ وَلَا نَبِیٍّ إِلَّاۤ إِذَا تَمَنَّىٰۤ أَلۡقَى ٱلشَّیۡطَـٰنُ فِیۤ أُمۡنِیَّتِهِۦ فَیَنسَخُ ٱللَّهُ مَا یُلۡقِی ٱلشَّیۡطَـٰنُ ثُمَّ یُحۡكِمُ ٱللَّهُ ءَایَـٰتِهِۦۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ. لِّیَجۡعَلَ مَا یُلۡقِی ٱلشَّیۡطَـٰنُ فِتۡنَةࣰ لِّلَّذِینَ فِی قُلُوبِهِم مَّرَضࣱ وَٱلۡقَاسِیَةِ قُلُوبُهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِینَ لَفِی شِقَاقِۭ بَعِیدࣲ

“Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah), maka syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu untuk mencapai cita-citanya. Oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayat-Nya dengan kukuh dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu sebagai satu cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka serta yang hatinya keras membatu. Dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh daripada kebenaran.”

[al-Hajj: 52-53]

Cubaan yang dihadapi oleh manusia berhadapan dengan hasutan syaitan tidak semudah yang dijangkakan untuk dihalang. Oleh kerana itu, Rasulullah S.A.W memperingatkan umatnya supaya sentiasa bermohon dengan Allah agar diselamatkan daripada pengaruh syaitan yang ingin menyesatkan Bani Adam sehingga menjadi kufur. Mereka meniupkan api persengketaan, merosakkan tanggapan terhadap Allah sebagai Tuhan sekalian alam, bahkan sehingga mencabar kuasa Allah. Dalam hal ini, Nabi S.A.W bersabda:

فَإِذَا قَالُوا ذَلِكَ، فَقُولُوا اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، ثُمَّ لِيَتْفُلْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ مِنْ الشَّيْطَانِ

“Jika mereka mengucapkan hal itu (kalimat-kalimat was-was dan hasutan), maka ucapkanlah: Allah itu Maha Esa, Allah itu tempat bergantung, Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, kemudian meludahlah ke kiri tiga kali dan mintalah perlindungan dengan Allah.”

(Riwayat Abu Daud)

Imam Ibnu Kathir melalui tafsirnya menukilkan kisah seorang ahli ibadat, namanya Barshis sebagaimana sesetengah riwayat. Sepanjang 60 tahun, beliau hanya beribadat dan tidak pernah melakukan kemungkaran. Ketika seorang perempuan remaja yang ditinggalkan kepadanya untuk dijaga dalam beberapa tempoh oleh dua orang adik beradiknya, syaitan mula meniupkan was-wasnya sehingga Barshis akhirnya terjerumus ke lembah penzinaan. Setelah kepulangan adik beradik perempuan tadi, dan diketahui bahawa Barshis telah membunuh adik mereka kerana ingin menutup kesalahannya akibat berzina, akhirnya Barshis dijatuhkan hukuman bunuh. Syaitan yang merancang agenda tersebut datang kepada Barshis dan mempelawakan pembebasan daripada hukuman bunuh sekiranya Barshis tunduk dan sujud kepadanya. Lantas, untuk menyelamatkan diri daripada mati, ahli ibadat tersebut sujud kepada syaitan, lalu setelah itu dia dijatuhkan hukuman bunuh dan dia mati dalam keadaan kafir kepada Allah.

Begitulah bahayanya godaan syaitan sekiranya tidak ditangani dengan ilmu dan iman. Berapa ramai manusia yang sudahpun beriman, namun akhir kehidupan semakin jauh dengan Allah. Berapa ramai orang yang membaca serta menghafaz al-Quran, namun akhirnya jauh dengan petunjuk al-Quran. Berapa ramai orang yang alim dengan hukum hakam, namun akhirnya menjadi penentang kepada Islam dan perjuangannya. Godaan syaitan boleh mengena sesiapa sahaja melainkan hamba Allah yang ikhlas lagi bertakwa. Semoga Ramadan kali ini berjaya diharungi sebaik mungkin dan kita diterima oleh Allah sebagai golongan Muttaqin.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
17 Ramadan 1441 / 10 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 10/5/2020

Perpaduan umat berdasarkan acuan Allah SWT

RASULULLAH SAW sebelum kewafatannya, telah menyampaikan satu wasiat melalui sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ.

Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama-lamanya selepasku (wafat), selagi mana kalian berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya (ajaranku).” (Riwayat Malik 2618)

Pesanan yang diriwayatkan oleh para ulama’ itu telah dirakamkan melalui hafazan dan tulisan, sepatutnya ditanam di dalam diri setiap Muslim dan umatnya supaya dihayati dalam kehidupan di alam dunia ini. Kehidupan yang sangat mencabar daripada segenap penjuru.

Petunjuk Rasulullah SAW adalah sangat sempurna yang merangkumi segala aspek kehidupan beragama dan bermasyarakat. Khususnya dalam perkara yang menjadi perbincangan sekarang iaitu masalah perpaduan umat.

Banyak pendekatan yang diperkenalkan di seluruh dunia. Ada yang mengambil konsep perkauman, politik, ekonomi, wilayah, dan lain-lain secara berasingan. Mereka menubuhkan gagasan masing-masing dengan pelbagai jenama.

Islam membawa mesej berkonsepkan sejagat dan mempunyai pendekatan yang tersendiri mengikut petunjuk al-Quran dan pelaksanaan Sunnah Rasulullah SAW yang konsisten dan anjal. Kedua-duanya telah berjaya dilaksanakan dalam masyarakat majmuk, walaupun pada zaman tersebut belum wujud kemudahan perhubungan seperti zaman kini.

Perpaduan yang digariskan oleh Islam berteraskan konsep Islam memimpin, persaudaraan dan adil kepada semua mengikut fitrah kejadian manusia. Walaupun wujud kepelbagaian dan perbezaan, namun semua pihak boleh bersatu atas titik persamaan dan bertasamuh (bertoleransi) dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian.

Konsep Islam memimpin perlu didahulukan, dengan kuasa pemerintahan Islam yang berdaulat. Maka kekuatan umat Islam itu sendiri hendaklah diperkukuhkan, berkonsepkan firman Allah SWT:

﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ  مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠﴾

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada melakukan perkara yang ma’ruf, dan mencegah daripada perkara yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, terdapat dalam kalangan mereka, golongan yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah Ali ‘Imran: 110)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ  وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ١٠﴾

“Sesungguhnya mereka yang beriman itu bersaudara. Maka disebabkan itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat-Nya.”(Surah al-Hujurat: 10)

Maka Rasulullah SAW telah mengambil langkah untuk menjayakan usaha penyatuan umat Islam, dengan mendahulukan konsep persaudaraan iman bersama prinsip amar ma’ruf dan nahi munkar yang termasuk dalam ciri-ciri sifat taqwa. Sebaik sahaja berlaku hijrah, Baginda SAW terlebih dahulu mempersaudarakan penganut Islam. Mereka terdiri daripada kalangan Muhajirin yang datang ke Madinah dan kumpulan Ansor, gabungan suku Aus dan Khazraj yang bersatu setelah berperang sebelum Islam.

Konsep persaudaraan seagama Islam adalah berprinsipkan iman yang merentasi batasan kaum, bangsa dan keluarga. Maka umat Islam yang mendominasi masyarakat majmuk di Madinah disatukan atas konsep aqidah yang menegakkan syariat Islam yang adil kepada semua dan akhlak yang bersifat kemanusiaan sejagat.

Selain itu, konsep manusia sebagai satu keluarga yang besar dilaksanakan mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً  وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan daripada kedua-duanya Allah kembang biakkan golongan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Seluruh manusia yang berasal daripada seorang bapa (Adam) dan seorang ibu (Hawa) sahaja, menunjukkan bahawa adanya hubungan silaturahim dalam konsep kekeluargaan yang besar. Ia juga berkonsepkan sifat kemanusiaan yang sama dari segi asal kejadiannya, walaupun selepas itu berpecah mengikut perkembangan zaman yang berubah dalam tempoh masa yang panjang dan jarak yang jauh.

Islam juga mewajibkan hubungan kekeluargaan sekalipun berbeza agama. Agama Islam dipegang dengan teguh dan hubungan kekeluargaan juga dijaga agar tidak putus, walaupun berbeza agama yang dianuti dan mereka tetap beramal dengan agama masing-masing. Allah SWT berfirman dalam aspek ini:

﴿وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ١٤ وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا  وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا  وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ  ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ١٥﴾

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya yang telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kamu kembali. (14); Dan jika kedua-duanya (bukan Islam) memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang kamu tiada pengetahuan tentangnya, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada Akulah kamu akan kembali, maka Aku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (15).” (Surah Luqman: 14-15)

Kemudian manusia ditemukan pula dengan konsep ta’aruf (saling berkenalan dan saling berkeperluan) mengikut firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا  إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ  إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa) dan menjadikan kalian itu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku; supaya kalian saling berta’aruf (kenal-mengenal dan saling bergantung). Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”(Surah al-Hujurat: 13)