JASA ADLY UNTUK MELAKA

1 3 KEJAHATAN PAS

JASA ADLY UNTUK MELAKA

Di antara jasa besar Adly Zahari untuk Melaka ialah menyelesaikan isu sempadan laut antara Melaka dan Negeri Sembilan. Ianya memahat sejarah yang tersendiri untuk negara ini kerana inilah kali pertama isu sempadan di antara dua negeri dapat dimeterai. Tidak ada negeri-negeri lain di Malaysia yang berjaya menyelesaikan isu sempadan laut di antara mereka.

Ianya tidak mudah. Adly sendiri terpaksa mengambil inisiatif berjumpa Menteri Besar Negeri Sembilan, menteri-menteri di peringkat kerajaan persekutuan dan malah pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat bagi membincangkan perkara tersebut. Ia mengambil masa setahun.

Kenapa Adly begitu bersungguh-sungguh menyelesaikan isu ini? Apa signifikannya untuk Melaka?

Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi dilancarkan pada tahun 2014 lagi. Tetapi sejak itu, tiada perkembangan. Projek itu tersangkut kerana tidak mendapat kelulusan dari Majlis Fizikal Negara. Syarat untuk mendapat kelulusan ialah perlu selesaikan dahulu sempadan laut antara Melaka dan Negeri Sembilan kerana projek tersebut berada di sempadan keduanya. Pentadbiran kerajaan yang lalu tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang begitu rumit. Mereka biarkan sahaja sehingga projek tersebut tergendala begitu lama.

Tetapi Adly melihat projek ini penting untuk negeri Melaka. Keagungan Melaka sejak 500 tahun dahulu adalah kerana pelabuhannya. Melaka perlu kembalikan zaman kegemilangan tersebut. Adly mahu projek tersebut dijayakan. Kalau masalahnya ialah isu sempadan, maka isu itu mesti ada cara untuk diselesaikan. Demi untuk rakyat Melaka, Adly sanggup buat apa sahaja. Akhirnya Adly berjaya selesaikan.

Terima kasih Adly Zahari.

Melaka berjaya bantu 1,070 asnaf keluar dari garis kemiskinan

Melaka berjaya bantu 1,070 asnaf keluar dari garis kemiskinan

AYER KEROH 16 Jan. – Melaka berjaya mengeluarkan seramai 1,070 asnaf daripada senarai penerima zakat dan membantu golongan ini keluar dari garis kemiskinan sepanjang 2019.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, kejayaan itu bertitik-tolak daripada pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sepanjang tahun lalu.

“Antara inisiatif yang dijalankan untuk mengeluarkan 1,070 orang daripada senarai penerima zakat ini ialah bekerjasama dengan Perkeso, selain memberikan bantuan niaga asnaf fakir miskin itu sendiri.

“Selain itu, kita juga adakan jalinan kerjasama bersama 22 rakan strategik berkonsepkan mentor mentee dan mewujudkan Hub Pengeluaran Produk Usahawan Harapan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf Negeri Melaka.

“Melalui program-program (yang khususnya) melibatkan keusahawanan ini, kita berjaya membantu penerima-penerima (sebelum) ini keluar dari garis asnaf dan kalau boleh setiap tahun kita akan cuba menyasarkan paling kurang 10 hingga 20 peratus berjaya kita keluarkan dari garis asnaf ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pasca Mesyuarat Exco di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Adly berkata, sepanjang 2019, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak lebih RM106 juta untuk perbelanjaan zakat kepada 8,521 penerima di negeri ini, yang mana jumlah itu meningkat lebih RM8 juta berbanding tahun 2018.

https://melakakini.my/melaka-berjaya-bantu-1070-asnaf-keluar-dari-garis-kemiskinan/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

RM200 sumbangan untuk bayi baru dilahirkan

 

RM200 sumbangan untuk bayi baru dilahirkan

Tahniah buat keluarga yang mendapat bayi Tahun Baru 2020

KOTA LAKSAMANA 7 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong meraikan dengan memberi sumbangan kepada keluarga yang menimang cahaya mata baharu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Chee Leong berkata, sumbangan itu diberikan melalui peruntukan akaun bayi-bayi yang baharu dilahirkan menerusi Tabung Bayi Harapan (TBH).

“DUN Kota Laksamana yang pertama laksanakan inisiatif ini, RM200 secara ‘one off’ diperuntukkan kepada setiap keluarga melibatkan bayi baru dilahirkan.

“Syaratnya ibu atau bapa bayi adalah pengundi DUN Kota Laksamana dan tiada had pendapatan bagi mereka yang menerima sumbangan ini,” katanya kepada MelakaKini.

Jelasnya, setakat ini terdapat 52 bayi di DUN Kota Laksamana menerima sumbangan tersebut.

“Daripada jumlah itu, seramai 22 penerima sumbangan 2018 (Mei-Disember) manakala seramai 30 orang bagi tahun 2019 (Januari-Disember).

“Pada 2018 sahaja sejumlah RM4,400 peruntukan disalurkan dan 2019 sejumlah RM6,000 peruntukan disalurkan,” katanya.

https://melakakini.my/rm200-sumbangan-untuk-bayi-baru-dilahirkan/?fbclid=IwAR2lgARCOT-eU-FaHEz0FYFwpSOcBAf3H2tKNeSEvAKhInBD0nQ4NLw0bMQ

PERKENAL SKIM RUMAH SEJAHTERA 2020

MELAKA PERKENAL SKIM PINJAMAN RUMAH SEJAHTERA 2020

Lagi inisiatif kerajaan untuk bantu rakyat, Terima Kasih..

 

Kerajaan negeri bakal membangunkan Rumah Sejahtera bagi kumpulan B40 menerusi pinjaman Amanah Finance House (AFH) Sdn Bhd pada pertengahan tahun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia membolehkan peminjam membuat pinjaman bagi membina kediaman di atas tanah sendiri dengan kadar harga rumah RM100,000  ringgit seunit.

Jelasnya, ia berikutan hampir 70 peratus peminjam yang membuat pinjaman kepada AFH rata-ratanya memohon atas tujuan itu, berbanding permohonan perumahan sedia ada.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Amanat Ketua Menteri di Grand Ballroom, Mitc, Ayer Keroh.

Tambah Adly, RM5 juta ringgit diperuntukkan AFH bagi pinjaman perumahan, termasuk pembinaan 100 unit Rumah Sejahtera yang akan dibina dalam tempoh 2 tahun.

 

Penduduk lega kerajaan negeri Melaka bina tembok penahan ombak

Penduduk lega kerajaan negeri bina tembok penahan ombak

TANJUNG BIDARA 6 Jan. – Penduduk Kampung Balik Batu, di sini yang terjejas akibat hakisan laut yang mengancam kediaman mereka menarik nafas lega apabila Kerajaan Melaka membantu menyediakan peruntukan membina tembok penahan ombak.

 

Seramai 30 orang daripada lima keluarga yang kediaman mereka terlalu hampir dengan pantai berterima kasih kepada kerajaan negeri selepas melantik kontraktor membina tembok penahan ombak bagi menghalang hakisan merebak.

Kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu memulakan projek itu dua minggu lalu dan dijangka menyiapkannya tidak lama lagi.

Penduduk, Roslan Daud, 66, berkata, masalah hakisan yang bermula pada Ogos tahun lalu amat membimbangkan mereka apabila dinding dapur salah sebuah rumah jirannya Azlan Idris, 59, semakin terhakis.

“Kami amat bimbang kediaman kami runtuh dipukul ombak besar dan hakisan pantai yang semakin melebar sejak Ogos lalu tetapi alhamdulillah, kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib kami.

“Kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Adly Zahari yang bertindak segera menyediakan peruntukan membina tembok itu,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan baru-baru ini.

Azlan berkata, ombak besar yang diburukkan lagi dengan faktor air pasang besar menyebabkan dapur kediamannya rosak teruk pada September lalu hingga menyebabkan beliau dan anggota keluarganya terpaksa membina benteng daripada guni pasir.

Bagaimanapun, binaan itu tidak mampu menahan ombak besar dan hakisan daripada terus mengancam kediamannya menjelang Oktober lalu.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, projek itu dilaksanakan melalui sebut harga RM396,660 dengan tempoh menyiapkannya selama empat minggu.

Panjang tembok itu ialah 115 meter dan tidak membabitkan kerja membina benteng pemecah ombak atau ‘groyne’ yang menganjur dari pantai ke dalam laut,” katanya.

https://melakakini.my/penduduk-lega-kerajaan-negeri-bina-tembok-penahan-ombak/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

4 kali gagal mohon rumah PPRT, akhirnya dapat Rumah Peduli

4 kali gagal mohon rumah PPRT, akhirnya dapat Rumah Peduli

Din Ahmad

MASJID TANAH 8 Jan. – Sepasang suami isteri yang bergantung rezeki hanya kepada hasil jualan burger menyifatkan Rumah Peduli yang dibina kerajaan negeri secara percuma untuk mereka sebagai rezeki anak kelima.

Asmani Aziz, 41, dan Kamsiah Abdul Majid, 30, bersyukur apabila anak kelima yang masih dalam kandungan Kamsiah membawa rezeki untuk mereka apabila dianugerahi rumah tiga bilik berkeluasan 10×6 meter persegi bernilai kira-kira RM37,000.

Kandungan berusia lima bulan itu ternyata membawa tuah untuk mereka selepas empat permohonan untuk mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, tidak mendapat maklum balas positif.

Asmani memohon mendapatkan Rumah Peduli ketika menghadiri program Hari Bertemu Rakyat bersama Ketua Menteri, Adly Zahari pertengahan tahun ini sebelum mengemukakan permohonan secara formal kepada Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara.

“Alhamdulillah, rumah itu siap minggu lalu selepas dibina hanya dalam tempoh 43 hari dan ia menyediakan kehidupan lebih selesa untuk kami sekeluarga berbanding terpaksa menyewa rumah sebelum ini.

“Tanah ini adalah anugerah ibu saya, Masitah Ghani, 65, dan selain bangunan rumah, kontraktor turut membina longkang di sekeliling rumah hingga ke parit di belakang rumah,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan dokumen pembinaan Rumah Peduli di Kampung Jeram, di sini baru-baru ini.

Dokumen itu diserahkan Jurutera Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah, Ernie Munyati Ulmi kepada Ketua Penolong Setiausaha Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Shaifulfazlee Mohamad.

Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Halim Bachik; Penghulu DUN Tanjung Bidara, Aszahari Razak dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jeram, Adenan Mohamad.

Sementara itu Halim berkata, rumah berkenaan adalah yang pertama seumpamanya disiapkan dalam DUN Tanjung Bidara dan dijangka beberapa lagi akan disiapkan tahun hadapan.

Katanya, ia adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan kediaman selesa dan berkualiti tinggi untuk anggota komuniti terutama mereka yang berpendapatan rendah di negeri ini.

https://melakakini.my/4-kali-gagal-mohon-rumah-pprt-akhirnya-dapat-rumah-peduli/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Melaka terus jadi tumpuan pelabur luar

KOTA LAKSAMANA 16 Dis. – Melaka terus mendapat perhatian pelabur dari dalam dan luar negara bagi pembangunan projek mega yang memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, penyertaan pelbagai pihak untuk melabur di negeri ini membuktikan Melaka sebuah negeri yang mempunyai potensi pelaburan terbaik selain kedudukannya yang strategik.

Katanya, projek pembangunan hartanah bercampur, The Sail Melaka iaitu terbesar di negeri ini bakal menjadi batu loncatan bagi memperkenalkan potensi pelaburan ke Melaka di mata dunia.

“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek bercampur itu mencecah RM6.5 bilion dan pelaburan kira-kira RM4.5 bilion itu diyakini akan menjadi sebuah lagi mercu tanda negeri Melaka.

“Ia sekali gus menjadikan Melaka terus menjadi destinasi pilihan utama bagi pelabur kerana banyak kelebihan pada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah Projek The Sail Melaka yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengasas Sheng Tai, Datuk Leong Sir Ley.

Mohd Rafiq berkata, projek terbabit yang turut mendapat pelaburan syarikat antarabangsa dari Hong Kong, Rusia, Australia dan beberapa negara lain itu dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

“Rekaan projek ini diilhamkan berdasarkan pelayaran Laksamana Zheng He ke barat untuk meneruskan legasi Selat Melaka yang dapat dilihat menerusi sembilan menara yang akan dibina nanti.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq yakin, pembangunan ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini khususnya rakyat Melaka.

https://melakakini.my/melaka-terus-jadi-tumpuan-pelabur-luar/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Taman Rekreasi One Krubong bakal bertaraf dunia – MELAKA

KRUBONG 16 Dis. – Taman Rekreasi One Krubong dilihat berpotensi menjadi pusat rekreasi bertaraf antarabangsa dengan mengekalkan ciri-ciri alam semulajadi yang terdapat di kawasan itu.

Taman Rekreasi One Krubong bakal bertaraf dunia

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, potensi itu dilihat mampu dicapai apabila terdapat kolam tadahan dan pemandangan semulajadi yang indah di kawasan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, tasik yang indah di kawasan One Krubong itu juga antara penyumbang ia diangkat ke taraf dunia pada masa akan datang.

“Dalam rangka lawatan ke Jepun baru-baru ini, saya melihat taman rekreasi di sana mempunyai fasiliti lengkap dengan teknologi canggih yang mampu menjadikan taman rekreasi itu sebagai satu tarikan baru.

“Di negeri ini, saya nampak One Krubong mampu diangkat menjadi satu taman rekreasi yang masih mengekalkan ciri-ciri semulajadi dengan trek joging dan akan dilengkapi dengan fasiliti lengkap sekali gus dilihat berpotensi menjadi pusat rekreasi bertaraf global,” katanya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata, perbincangan bersama pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah diadakan bagi membangunkan pusat rekreasi itu ke taraf antarabangsa seperti di Hyde Park, London dan Tokyo.

“Di taman rekreasi ini nanti bakal dibangunkan pelbagai mercu tanda yang akan menarik pelancong dalam dan luar untuk datang ke sini nanti.

“Pembinaan landskap yang menarik, pembinaan air pancut yang unik dan aktiviti berkuda antara yang direncanakan bagi menarik pelancong dan penduduk setempat untuk beriadah dan berekreasi di One Krubong ini,” katanya.

Taman Rekreasi One Krubong dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari dengan melepaskan itik di kolam sebagai simbolik perasmian pembukaan taman rekreasi itu baru-baru ini.

https://melakakini.my/taman-rekreasi-one-krubong-bakal-bertaraf-dunia/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

‘Tak sangka, rasa seperti mimpi bila terima rumah percuma’

‘Tak sangka, rasa seperti mimpi bila terima rumah percuma’

MASJID TANAH 17 Dis. – “Bila orang tanya saya memang tak sangka dan rasa umpama sedang bermimpi apabila menerima rumah baharu yang diberikan percuma dari kerajaan negeri,” kata seorang penerima Rumah Peduli, Rasidah Md. Ishak, 49, yang begitu bersyukur dengan penantian inisiatif tersebut.

Katanya, peluang yang diberikan itu memang tidak disangka dia dan suaminya, Abd. Kadir Zainal, 53, yang telah memohon peruntukan rumah seperti itu saban tahun dahulu menerusi pelbagai bantuan daripada kerajaan terdahulu bagaimanapun tidak menemukan khabar gembira buat keluarganya.

Menurutnya, permohonan yang dilakukan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Semut yang mengarahkan melakukan permohonan Rumah Peduli pada penghujung Oktober lalu.

“Alhamdulillah sudah lama kami berhasrat untuk memiliki rumah sendiri, tak besar, kecil pun jadilah daripada bergantung dengan rumah sewa yang kami telah duduki sekeluarga sejak 22 tahun lalu.

“Dengan inisiatif Rumah Peduli yang diterima ini dapatlah kami sekeluarga duduk dengan selesa daripada sebelum ini, jika anak-anak semua pulang ke kampung, keadaan rumah menjadi sempit khususnya pada Hari Raya Aidilfitri sehinggakan terpaksa menyewa di rumah Inap Desa.

“Dengan Rumah Peduli yang telah siap ini, Insya-Allah kami dapat berkumpul bersama, dengan ruangan yang kondusif yang disertakan tiga bilik ini kami cukup bersyukur dengan nikmat yang diberikan bagi meniti kehidupan baharu di kawasan ini,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Kampung Pulau Semut, di sini hari ini.

Rasidah apabila ditanya MelakaKini, inisiatif diterima keluarganya bagi memiliki sebuah rumah sendiri merupakan sebuah rezeki terbesar buat keluarga yang bergantung kepada perniagaan warungnya dan mengambil upah menjahit pakaian itu.

“Sebelum ini memang ada perancangan nak buat rumah sendiri kerana kita nak bina rumah pun untuk anak-anak sebab sampai bila kami nak bergantung dengan rumah sewa saja.

“Ada seorang penduduk kampung di sini ingin menjual papan terpakai hasil dari rumah kayu dan kami pun merancang ingin bangunkan rumah dari papan terpakai itu untuk dijadikan rumah buat kami.

“Tapi dengan rezeki dan nikmat yang ada ini, Alhamdulillah, rasa seperti mimpi, memang sukar untuk digambarkan dengan peluang yang diberikan ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Abd. Kadir, perkara itu merupakan rezeki terpijak buat keluarganya kerana dia baru sahaja menerima menerima kuasa pengambilan tanah pusaka ibunya kira-kira 1.5 ekar di kawasan itu dan pada masa sama MPKK kawasan berkenaan memberi saranan kepada keluarganya agar menghantar permohonan terbabit.

Ujarnya, rezeki itu berlaku secara serentak pada penghujung Oktober lalu dan terus membuat permohonan tersebut kemudiannya telah diluluskan kerajaan negeri.

“Rumah Peduli yang diterima ini siap sepenuhnya kira-kira dua bulan selepas diluluskan dan telah dibangunkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini.

“Malah kontraktor yang melaksanakan pembinaan rumah ini juga mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kami amat berpuas hati dengan pembinaan rumah ini kerana tiada cacat cela dilihat daripada kami.

“Sebelum ini juga kami ada merancang ingin membeli Rumah Mampu Milik (RMM) namun disebabkan desakan yang ada kerana ia melibatkan pinjaman bank dan wang pendahuluan, kami tak mampu untuk melaksanakannya dan membatalkan hasrat itu,” katanya.

Abd. Kadir yang merupakan seorang peniaga warung terletak berdekatan Batu 16, Jalan Solok Duku telah menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki keluarganya sejak 24 tahun lalu.

Katanya, 70 peratus daripada hasil perniagaan itu dengan purata pendapatan RM1,000 sebulan digunakan bagi menyekolahkan lima anaknya sejak dahulu malah, kini memerlukan perbelanjaan tinggi bagi menyara kehidupan anaknya yang menuntut di Darul Musthofa, Hadramaut,Yaman di dalam bidang Pengajian Syariah Islam.

“Setiap pendapatan yang diterima daripada saya dan isteri yang mengambil upah menjahit akan kami salurkan dan utamakan bagi pendidikan anak-anak.

“Malah seorang lagi anak juga sedang menuntut di Madrasah Al-Aliyah Sikamat di Seremban, Negeri Sembilan turut memerlukan perbelanjaan bagi menyara kehidupan sebagai seorang pelajar.

“Dengan adanya rumah baharu ini merupakan kehidupan baharu kami di sini dan amat berterima kasih dan terharu kepada kerajaan negeri yang telah memberikan Rumah Peduli kepada rakyat seperti saya di negeri ini,” katanya.

 

https://melakakini.my/tak-sangka-rasa-seperti-mimpi-bila-terima-rumah-percuma/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook