Bantuan khas, pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan awam NS

MENTERI Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Yang Ke-14 di Seremban, hari ini. – Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pemberian itu membabitkan seramai 3,600 kakitangan awam dengan pembayaran sekali gus pada bulan hadapan.

“Diharapkan bantuan khas ini akan memberikan dorongan dan galakan kepada penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan lebih dedikasi dan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Yang Ke-14 di sini, hari ini.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berkata, kerajaan negeri turut mengumumkan pinjaman tanpa faedah bagi pembelian kenderaan dan komputer.

Katanya, kakitangan awam yang layak dan mengikut syarat ditetapkan boleh memohon pinjaman yang disediakan itu mulai tahun hadapan.

“Pinjaman kenderaan yang kita sediakan bertujuan memudahkan urusan penjawat awam.

“Pinjaman membeli komputer pula sebagai galakkan kakitangan awam membeli alatan itu yang dapat digunakan untuk memudahkan urusan kerja terutama di rumah,” katanya.

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi