Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Jangan simpan rasa iri hati pada orang kaya, pesan Dr M

Dalam mengejar pembangunan negara, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya tidak berasa “iri hati” dengan orang kaya.

Dr Mahathir Mohamad berkata, hal ini kerana Malaysia mengamalkan dasar ekonomi bebas yang membenarkan sesiapa sahaja yang sanggup berusaha untuk menambah pendapatan mereka.

Lebih-lebih lagi, katanya, golongan tersebut mempunyai sumbangan tersendiri dalam bentuk cukai yang dibayar kepada kerajaan, dan ia dijadikan dana untuk mentadbir negara.

“Ada daripada kita yang berasa iri hati melihat mereka begitu kaya, terutama apabila mereka menjadi kaya hasil daripada sumbangan kita. Tapi perasaan iri hati ini perlu dipendam, jangan dibiar untuk mempengaruhi diri kita.

“Kerana yang kaya ini diperlukan supaya mereka membayar cukai yang tinggi, kadang-kadang ratusan juta dibayar kepada kerajaan, dan wang inilah yang kita guna untuk membayar gaji kita semua dan untuk membangunkan negara.

“Kalau semua penduduk negara kita ini miskin belaka, atau tak (mempunyai) keupayaan untuk membayar cukai, dari manakah kita akan dapat dana untuk mentadbir negara? Ini perkara yang kita harus fikir sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan perdana menteri dengan warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra pagi ini.

Dalam pada itu, Mahathir turut menyeru golongan miskin untuk menyambut usaha kerajaan yang akan dilakukan bagi membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Miskin, kaya semua ada tempat

Katanya, jentera kerajaan – baik menteri mahupun pegawai kerajaan – perlu bekerjasama untuk menjelaskan kepada golongan miskin bahawa kemiskinan tidak mungkin diatasi dengan subsidi dan bantuan, tetapi dengan produktiviti.

“Kenapa mereka miskin? Sebabnya ialah kerana mereka tidak produktif, tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat yang mana masyarakat akan membalas dengan memberi upah dan balasan kepada mereka.

“[…] Kita akan perkenalkan cara-cara si miskin menambah pendapatan mereka. Tetapi mereka mestilah sambut cara-cara ini dan amalkannya,” katanya lagi.

Tambah Mahathir, kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan golongan miskin boleh diatasi jika mereka sanggup belajar, bukan sahaja cara membuat kerja, tetapi juga berkaitan sikap dan amalan baik dalam menunaikan tugas, iaitu untuk ikhlas, tidak menipu dan tidak terlibat dalam rasuah.

“Ada tempat bagi yang miskin, ada tempat bagi yang kaya. Tetapi yang kaya mestilah berusaha untuk menolong yang miskin (dalam bentuk tanggunjawab sosial korporat dan cukai),” tambahnya.

Mengulas tentang kerjasama dalam jentera kerajaan juga, Mahathir meminta semua pihak mengetepikan perasaan peribadi bagi memastikan segala dasar untuk membangunkan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dapat dilaksanakan dengan jayanya.

WKB 2030 ialah rangka tindakan kerajaan untuk tempoh 2021 hingga 2030 bagi meningkatkan pendapatan semua kumpulan rakyat, yang mempunyai matlamat untuk menyediakan taraf hidup wajar kepada semua rakyat menjelang 2030.

Ia dilancarkan Mahathir sendiri pada 5 Oktober 2019 bagi menyelesaikan masalah jurang ekonomi yang luas antara rakyat dan pengagihan pendapatan dan pembangunan yang adil, akibat salah guna kuasa dan amalan rasuah di kalangan ahli politik dan penjawat awam.

“Perasaan diri sendiri tak sepenting seperti kejayaan pembangunan negara. Kemungkinan untuk kita berjaya mencapai matlamat kita adalah amat besar, tapi kita harus tahu bagaimana nak melaksanakan dasar-dasar, rancangan dan strategi kita.

“Saya harap semua pihak akan tumpukan pada negara, bukan pada diri sendiri.

“[…] Kita berada di sini, dan rakyat bersedia untuk memberi jawatan kepada kita, memberi upah kepada kita, sebabnya kita ditugaskan untuk menentukan kejayaan negara untuk rakyat. Rakyat akan berterima kasih kalau kita berusaha untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya lagi.


Baca ‘Melayu masih tak sedar, serah kerja ke bangsa asing’


Dan untuk membangunkan negara juga, Mahathir sekali lagi berpesan, agar semua pihak, baik kerajaan mahupun rakyat, berusaha untuk membebaskan daripada amalan rasuah.

Katanya, negara yang kaya sekalipun tidak akan dapat dibangunkan akibat rasuah.

Sebaliknya, menurut beliau, negara yang mempunyai rakyat yang berpegang teguh dengan semangat mahu menyumbang kepada negara tanpa mengamalkan rasuah, negara itu akan mencapai kejayaan.

Tambahnya lagi, sekiranya kerajaan dan rakyat memainkan peranan masing-masing, Malaysia akan mampu mencapai negara maju pada 2030, malah mungkin lebih awal daripada itu sekiranya semua pihak betul-betul berusaha ke arah itu.

https://www.malaysiakini.com/news/506033?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR3W1_6HfR9FFf9QtP2mFKVB4-5SiUCgyfMkr2DpTVgXOWN4U6SA4MiBASk

PM: Pengganti Maszlee diumum sedikit masa lagi

 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menerima peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang berkuat kuasa esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata Maszlee telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan kepada beliau pada hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Dalam sidang media di Kementerian Pendidikan, Maszlee mengumumkan peletakan jawatan selepas 20 bulan mengemudi kementerian tersebut.

Maszlee berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad serta mendapatkan nasihat Perdana Menteri hari ini sebelum mengumumkan keputusannya.

“Atas nasihat beliau yang merupakan bagi saya seorang ayahanda, pemimpin dan seorang negarawan ulung, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang redha walaupun berat, dengan nasihat Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020,” katanya.

“Saya percaya sebagai negarawan ulung dan berpandangan jauh, beliau memahami apa yang lebih baik kepada negara,” katanya.

Maszlee berkata sebagai individu bukan dari latar belakang politik, beliau amat berterima kasih kepada Dr Mahathir atas peluang yang diberikan kepadanya selama 20 bulan untuk mengemudi Kementerian Pendidikan.

– Bernama

https://www.malaysiakini.com/news/505676?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR37zP3bxvYstDeAdjIunHRMdYQjFP4dPPYxE7eL0AcdqYeLjWzwPtLHy9Q

Malaysia Buka Pintu Buat Kaum Muslim Uighur Yang Mencari Suaka

23230027_0

Malaysia tidak akan menghantar pulang masyarakat Uighur yang melarikan diri dari penganiayaan di China, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

“Sekiranya Uighur melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan suaka, Malaysia tidak akan mengekstradisi mereka walaupun terdapat permohonan dari China [untuk berbuat demikian],” lapor agensi berita Malaysiakini.

 HYPE

Mahathir menegaskan bahawa umat Islam Uighur tidak ‘dilindungi dengan adil’ di kampung halaman mereka dan mereka berhak untuk mendapat suaka di negara ini.

China menghadapi isu penindasan hak asasi manusia apabila bertindak menahan kaum Uighur di wilayah barat laut Xinjiang.

Sehingga 1 juta orang, atau kira-kira 7% penduduk Islam di wilayah Xinjiang, telah dipenjarakan dalam satu operasi yang dipanggil “pembahsuhan etnik”, menurut pegawai A.S. dan pakar PBB.

Human Rights Watch menuduh Beijing menjalankan kempen “pelanggaran hak asasi manusia secara sistematik” terhadap kaum Muslim Uighur di Xinjiang, dalam laporan September lalu.

 

https://www.thevocket.com/malaysia-buka-pintu-buat-kaum-muslim-uighur-yang-mencari-suaka/?fbclid=IwAR3mAAqr8GoTyfRl7mULmf70pI8EWzCcnpkDkIqSSy9P4AngatfjRRlnPdc

 

Malaysia destinasi ideal bagi pelabur Qatar – Tun Mahathir

Malaysia destinasi ideal bagi pelabur Qatar - Tun Mahathir

DOHA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan keyakinan Malaysia akan menjadi destinasi yang ideal bagi pelabur Qatar, terutamanya untuk mengakses ke pasaran lebih meluas di rantau ASEAN.

Dr Mahathir, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Qatar, mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari Qatar untuk meneroka peluang perniagaan di Malaysia terutamanya dalam sektor minyak dan gas, kimia dan produk kimia, pemprosesan makanan, halal, hotel dan pelancongan, perbankan Islam dan kewangan.

“Saya gembira melihat minat serius yang ditunjukkan oleh komuniti perniagaan di sini. Ini adalah platform terbaik bagi kita untuk memahami dengan lebih mendalam lagi minat pelabur Qatar dan untuk berkongsi potensi peluang pelaburan di Malaysia.

“Kami perhatikan terdapat hanya sedikit pelaburan dari Qatar di Malaysia (buat masa ini),” katanya semasa mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri Qatar, di sini, pada Khamis.

Dr Mahathir, yang tiba di ibu kota Qatar ini pada malam tadi, juga percaya terdapat banyak peluang perniagaan yang boleh diteroka oleh perniagaan Malaysia di sini.

Ketika ini, katanya, syarikat Malaysia seperti Gamuda, UEM, Eversendai, Holiday Villa dan Malaysia Airports mempunyai operasi di Qatar.

Perdana Menteri berkata Malaysia kekal berada di landasan ekonomi yang teguh dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh pada 4.6 peratus dalam tiga suku pertama 2019.

Memandangkan asas ekonominya yang kukuh, Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI), katanya.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia berusaha untuk mencari keseimbangan dengan bukan sahaja memudahkan urusan menjalankan perniagaan tetapi juga memastikan manfaat kepada negara bagi tempoh jangka panjang.

“Dengan melabur dalam modal insan, teknologi dan prasarana, ditambah dengan dasar mesra perniagaan, kami mahu menyediakan landskap pelaburan yang optimum bagi memudahkan pelabur.

“Saya optimis yang pelabur Qatar akan mendapati Malaysia pangkalan yang menarik untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara. Justeru itu, Mesyuarat Meja Bulat ini adalah medan yang ideal bagi kita untuk membincangkan bagaimana perniagaan dari kedua-dua Qatar dan Malaysia boleh bekerjasama bagi mencapai manfaat bersama,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keyakinan terhadap Malaysia telah dibuktikan oleh banyak institut dan organisasi bebas. Pada bulan lepas, Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 menyenaraikan Malaysia di tangga ke-12 dalam kemudahan menjalankan perniagaan.

“Ia merupakan peningkatan daripada tangga ke-15 tahun lepas, yang mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi memudahkan pelabur kita.

“Malaysia juga disenaraikan sebagai negara terbaik di dunia untuk melabur atau menjalankan perniagaan bagi 2019 oleh CEOWORLD Magazine manakala Kad Skor Pasaran Sedang Pesat Membangun 2018 Bloomberg menyenaraikan kami sebagai pasaran sedang pesat membangun paling menarik di Asia,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Perdagangan Bersama antara Malaysia dan Qatar di Kuala Lumpur pada Oktober lepas, dan mesyuarat itu bersetuju untuk mengukuhkan perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan kedua-dua negara dalam bidang seperti perbankan, kewangan, pengangkutan, tenaga, pelancongan, sukan dan pertanian.

“Semasa mesyuarat itu, agensi penggalakan pelaburan negara kami, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Penggalakan Pelaburan Qatar (IPAQ), juga memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pertukaran maklumat mengenai ekonomi dan pembangunan perindustrian serta aktiviti penggalakan bersama.

“Saya optimis ini adalah batu loncatan bagi perkongsian yang lebih kukuh antara Malaysia and Qatar. Hari ini, kita meneruskan momentum di sini untuk menggiatkan lagi kerjasama kita yang saling memberi manfaat,” katanya.

Qatar adalah rakan ekonomi kelima paling penting Malaysia, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM3.72 bilion pada 2018 — peningkatan 29 peratus berbanding 2017.

— BERNAMA

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-destinasi-ideal-bagi-pelabur-qatar-tun-mahathir-225170

TUN M BUKAN SEORANG MUNAFIK

1 NAJIB 46 KALI MUNAFIK

1 NAJIB 46 KALI

1 46 x BOHONG

1 2 MAKHLUK ASING

KALAU TUN M TIDAK PASTI ANWAR BOLEH MENJADI PM YANG TERBAIK, MENGAPA TUN M PILIH SERTAI PH DALAM PRU14 LALU?

Samada sahih atau tidak, saya ada membaca laporan tentang kenyataan Tun M di Qatar yang menyebut beliau mahu terus menjadi PM sehingga beliau selesaikan masalah ekonomi negara.

Katanya lagi, beliau berjanji akan serahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim walaupun beliau tidak pasti PM selepasnya itu lebih baik. Sebelum ini, beliau ada menyebut akan serahkan jawatan PM kepada Anwar selepas Persidangan APEC bulan November nanti.

Saya cuma mahu peringatkan Tun M bahawa sekiranya beliau tidak yakin Anwar boleh jadi PM yang lebih baik dari pemimpin Umno, kalau pun Tun M rasa Anwar tidak boleh melebihi kehebatannya, mengapa Tun M memilih untuk sertai PH sebelum PRU14 yang lalu sedangkan beliau amat faham PH sememangnya mahu Anwar menjadi PM? Mengapa tidak Tun M bersama partinya sahaja melawan Umno tanpa bergabung dengan PH jika Tun M merasa beliau lebih hebat dari Anwar?

Tun M tahu sejak tahun 1998 lagi Anwar adalah panglima menentang Umno/Bn. Prestasi Pembangkang waktu itu meningkat dari semasa ke semasa. Sebelum PRU14, Tun M cuba untuk bergerak sendiri melawan Najib Kleptokrasi dengan memperjuangkan deklarasi rakyat namun tidak mendapat sambutan dan ternyata gagal. Di mana kekuatan peribadi Tun M? Akhirnya, Tun M memilih untuk bersama PH yang dipimpin oleh Anwar dari penjara. Di situ, barulah nampak cahaya perjuangan Tun M untuk menjatuhkan Najib, Umno/Bn. Ertinya, Tun M bukanlah hebat sangat tanpa PH. Itu realitinya.

Sskiranya susuk tubuh Tun M amat hebat, mana mungkin parti yang dipimpin oleh beliau yang bertanding paling banyak Kerusi di dalam PRU14 yang lalu, tetapi paling sedikit mendapat kemenangan?

Atas persefahaman PH dan janji yang dimeterai, Tun M diangkat untuk menjadi PM ke 7, tanpa kita persoalkan adakah Tun M lebih baik atau tidak dari Najib. Kita juga tidak pernah persoalkan adakah Tun M akan khianat atau tidak. Kalau kita bersangka buruk, nescaya Tun M sekarang hanya sekadar menjadi MP Langkawi sahaja.

Oleh itu, amat malang sekali jika Tun M bersangka negatif terhadap Anwar untuk menjadi PM. Tun M tidak perlu bermain dengan kata-kata lagi untuk memperbodohkan kami yang sanggup lupakan sejarah hitam Tun M demi memperjuangkan reformasi yang menjadi agenda utama kami. Kalau kami tidak bersangka buruk terhadap Tun M, jangan pula Tun M mencurigai Anwar Ibrahim.

Tun M mungkin terlupa atau buat-buat lupa tentang mandat yang rakyat berikan dalam PRU14 yang lalu iaitu mereka mahu Anwar menjadi PM dan terima Tun M hanya sementara. PRK Tg Piai jelas menunjukkan rakyat sudah mula muak dengan karenah Tun M yang seolah-olah cuma meng”Umno” kan PH.

Kami akan bangkit menuntut janji dua tahun Tun M sebagai PM. Samada Anwar lebih baik atau lebih teruk dari Tun M, itu belum dipastikan lagi, tapi yang pastinya sekarang Tun M masih tidak nampak hebat menjadi PM kerajaan PH.

Peneroka FELDA derita kerajaan lalu curi duit – PM

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Foto BERNAMA

1 KEUNTUNGAN FELCRA1 46 X NAJIB MENIPU

 

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tiada jalan lain dan terpaksa memberi bantuan pakej kewangan RM6.23 bilion kepada FELDA kerana peneroka kini dalam keadaan sengsara.

Perdana Menteri berkata, penderitaan dihadapi peneroka FELDA itu berlaku kerana kerajaan dahulu sanggup ‘mencuri’ wang mereka.

“Jika FELDA berjaya menjana keuntungan yang banyak, kerajaan tidak akan menyuntik sebarang dana kepada agensi ini, tetapi malangnya, peneroka FELDA sedang menderita ketika ini kerana kerajaan lalu telah mencuri duit mereka.

“Jadi, kami tiada pilihan lain, selain cuba untuk mengatasi kesusahan yang dihadapi peneroka FELDA,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat beberapa lagi agensi atau syarikat akan diselamatkan kerajaan menerusi suntikan dana, selepas FELDA dan Tabung Haji (TH).

Terdahulu, ketika membentangkan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan akan memberi bantuan kewangan RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu FELDA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/551419/peneroka-felda-derita-kerajaan-lalu-curi-duit-pm?fbclid=IwAR2ze3T5oKzCHjqz6RD5jbdqkOoY3N6MAmsYLESSnDTBkZzjfdm41bRau_Q

Dr Mahathir akan terima dua anugerah utama di Qatar

DOHA: Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima dua anugerah utama ketika melakukan lawatan rasmi ke Qatar yang bermula esok.

Perdana Menteri yang melakukan kunjungan pertamanya ke negara ini sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun lalu akan memperoleh anugerah di Doha Forum dan juga Universiti Qatar.

Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Qatar, Mohamad Shahir Sabarudin, berkata Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani akan menyampaikan anugerah kepada Dr Mahathir di Doha Forum pada Sabtu ini.

Ia adalah anugerah pertama yang dikurniakan kepada mana-mana pemimpin atau individu sejak Doha Forum dianjurkan pada tahun lalu.

“Ia bagi menghargai Perdana Menteri dalam aspek kepemimpinan dan juga kejayaannya membangunkan Malaysia dan peranannya di peringkat antarabangsa.

“Kehadiran Tun Dr Mahathir ini juga dinantikan masyarakat Qatar dan Perdana Menteri akan menerima satu lagi anugerah dari Universiti Qatar yang juga universiti terkemuka di negara ini.

“Dr Mahathir akan dianugerah Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang falsafah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam lawatan rasmi empat hari ini, Dr Mahathir akan mengunjungi Sheikh Tamin di istananya pada Khamis ini selain jadual yang padat dengan menemui pemain industri di Qatar.

Dr Mahathir juga akan menemui Pengerusi Qatar Foundation, Sheikha Moza Nasser Al Missned yang juga bonda Emir Qatar, pada Khamis ini. Qatar Foundation kini menaja pendidikan pelajar Malaysia di negara ini.

Selain itu, Mohamad Shahir berkata Qatar yang juga rakan niaga kelima terbesar di Asia Barat dan jumlah dagangan Malaysia-Qatar bernilai RM3.72 bilion pada 2018 dan ia meningkat berbanding tahun 2017 (RM3.19 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Qatar termasuklah barangan elektrik dan elektronik, mesin, kelengkapan dan peralatan, pengeluaran logam, produk kayu dan makanan diproses.

Dari Qatar, Malaysia mengimport terutamanya petroleum mentah, kimia dan produk kimia dan penghasilan logam.

Qatar kini banyak memberi tumpuan kepada sektor pembinaan dan kemudahan infrastruktur di bandar raya ini terutama sebagai persediaan menjadi hos kejohanan Piala Dunia FIFA pada 2022 membabitkan pembinaan lapan stadium baharu dan menaik taraf beberapa stadium sedia ada.

“Qatar mempunyai hampir 3 juta penduduk dan daripada jumlah itu hanya 300,000 rakyat asal manakala baki adalah warga asing,” katanya.

Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik dengan Qatar pada 1974 dan hubungan dua hala itu diperkukuhkan dengan pembukaan pejabat kedutaan di sini pada Ogos 2004, disusuli pembukaan kedutaan Qatar di Kuala Lumpur pada September tahun yang sama.

Mohamad Shahir berkata pada masa ini terdapat 5,000 rakyat Malaysia yang menetap di Qatar dengan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan Qatar Airways, dalam sektor pendidikan serta industri petroleum.

Saranan Rombakan Kabinet

1 LARANGAN MEMBERONTAK1 DOA KEBAIKAN PH

Saranan Rombakan Kabinet :

Setelah beberapa siri PRK mulai dari tahun lepas 2018 yang memberikan siri kemenangan berterusan kepada kerajaan PH dan pada tahun 2019 pula ianya memberikan kemenangan kepada pihak pembangkang pula kecuali PRK Port Dickson sahaja.

Demi mencapai situasi menang menang dalam komponen Kerajaan PH, jika benar ada perjanjian peralihan kuasa PM ( ada pihak kata tiada….ada pihak lain kata ada ) jadi kuasa masih ada ditangan Perdana Menteri ( PM ) untuk menguruskan kerajaan PH diPutrajaya dibawah kuasa PM sepenuhnya.

Saranan penulis adalah Tun M perlu lakukan rombakan kabinet secara menyeluruh secepat mungkin. Lagipun kekosongan tempat arwah Dr.Mohd Farid perlu diisi juga akhirnya.

Kerajaan PH boleh mengikut jawatan Menteri yang telah diamalkan lamanya oleh Kerajaan BN sebelumnya.

Atas dasar tolak ansur dan kebaikan bangsa Melayu serta Bumiputera Sabah/ Sarawak yang telah memberikan tempat kepada kaum kaum lain yang ada di Malaysia ini untuk menjawat jawatan sebagai Menteri kabinet dalam kerajaan BN sebelumnya.

Tun M perlu tegaskan kepada parti komponen PH bahawasanya Menteri Portfolio yang berkepentingan utama hendaklah diberikan kepada MP Melayu dan Bumiputera bagi mengelakkan adanya “persepsi” kerajaan PH dipimpin oleh Tun M dibayangi oleh parti DAP dibelakangnya.

Dibawah adalah cadangan portfolio utama yang harus ditukarkan/ dirombak portfolio Kementerian/ Menteri :

1. Tempat TPM diberikan kepada DSAI serta memengang portfolio Menteri Keewangan.( berdasarkan pengalaman )

2. Menteri Ekonomi diberikan kepada Tok Pa.
( berdasarkan pengalaman ).

3. Menteri Kerja raya, kesihatan, pengangkutan dan portfolio lain lain diberikan kuota Menteri kepada Parti DAP. ( berdasarkan kepada amalan MCA dan MIC semasa kerajaan BN ).

4. Portfolio Menteri KDN & Mindef ( ditukar Menteri ) kepada Parti PKR dan Parti Bersatu ( TSMY dikekalkan )

5. Menteri Telekomunikasi MultiMedia diberikan kepada Parti Bersatu atau Menteri diJPM.

6. Menteri Luar Negara diberikan kepada Parti Warisan.

7. Menteri Pendidikan diberikan kepada Bersatu ( ditukar Menteri ) serta cadangan diwujudkan kembali Menteri Pengajian Tinggi diberikan Kepada Parti Amanah.

8. KBS dan Pembangunan Luar Bandar ditukar Menteri. ( diatas faktor Armada Pusat dan Serikandi Pusat yang lumpuh dan tiada jentera )

9. Portfolio Menteri Menteri lain bolehlah dibahagi bahagikan antara komponen parti PH.

10. Melantik Senator dari kalangan mereka yang layak berdasarkan pengalaman politik dan pentadbiran negeri untuk memegang jawatan Menteri Kabinet. ( sebagai contoh ada wakil parti komponen dari Kelantan dan Terengganu
yang layak ).

11. Melantik Senator dari kalangan GLC, PDRM dan ATM yang berkelayakan dengan pengalaman kerja sebagai barisan kabinet sebagai Menteri Penuh atau sebagai Timb. Menteri .

Berdasarkan tinjuan semasa kekalahan PH diTanjung Piai antara faktor utama juga adalah Janji Janji MANIFESTO yang difikirkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia kerajaan bahawasanya kerajaan PH belum laksana dan tunaikan.

Bukan susah sebenarnya untuk mewar- warkan kepada rakyat Malaysia serta ingin memberikan persepsi yang baik kepada Kerajaan PH.

Rakyat melihat kerajaan PH yang memerintah baru setahun lebih kononya tidak menunaikan Janji Manifesto sedangkan separuh daripada janji Manifesto Pru-14 Kerajaan PH telah tunaikan jika hendak dibandingkan dengan Janji Janji Manifesto BN, Pru sebelumnya dan PAS yang ternyata masih gagal dilaksanakan sehingga kalah didalam Pru-14.

Oleh itu, perkara no.5 iaitu Kementerian Komunikasi & Multimedia haruslah diletak dibawah Menteri diJabatan Perdana Menteri atau diberikan kepada MP daripada Parti Bersatu.

Ini kerana dizaman Teknolgi IT & 5G yang bergerak amat pantas perubahannya, amat malang kiranya pimpinan Tun M terlepas pandang saluran Media yang teramat penting bagi sesebuah kerajaan.

Ini juga lantaran kerana Menteri yang ada sebelum ini gagal memberikan imej yang baik kepada Kerajaan PH dimata rakyat.

Seterusnya tindakan PM / Tun M adalah nana mana MANIFESTO PH pru-14 yang telah dilaksanakan dan dalam perlaksanaan atau perancangan hendaklah disiarkan dalam arus media TV seperti RTM, TV3 , Astro, saluran radio & sebagainya. Siarkanlah atau peruntukanlah masa setiap hari untuk menwar-warkan kepada rakyat agar rakyat ketahuinya.

Diletakkan juga perbandingan dengan Janji Manifesto BN ( Pru sebelumnya ) dan PAS ( Pru sebelumnya & Negeri ) yang gagal dilaksanakan.

Kita bandingkan durian dengan buah durian bukannya buah durian dibandingkan dengan buah kurma.

Biarlah rakyat menilai siapa sebenarnya yang menipu rakyat Malaysia selama ini. Walaupun dalam setahun lebih kerajaan PH, telah mampu laksanakan dalam waktu yang singkat dengan beban keewangan yang teruk ditinggalkan oleh kerajaan BN.

Janji janji pembangkang di Cameron Highlands & Semenyih termasuk janji MCA untuk membiayai orang orang tua DiTanjung Piai menunaikan Umrah juga hendaklah disiarkan dan dipantau, seterusnya dimaklumkan kepada seluruh negara, sudah berapa ramaikah orang Islam Tanjung Piai yang telah dihantar untuk menunaikan umrah seperti janji BN/ MCA.

Kerajaan tidak perlu berlembut dalan hal ini. Kerana jika persepsi atau ‘ first impression ‘ buruk mengenai Manifesto PH telah disetkan kepada minda rakyat oleh pembangkang, Kerajaan juga harus bertegas untuk memberikan maklumat uang benar kepada rakyat Malaysia. Sudah tamat masanya untuk kerajaan PH berlembut dalam hal sebegini.

Saranan penulis juga jika ada mana mana PRK lagi selepas ini, Pihak kerajaan tidak perlulah menambah apa apa janji utama kepada pengundi melainkan sesuatu yang teramat mustahak dan perlu sahaja. Kerajaan PH cuma tunjukkan sahaja janji janji manifesto Pru-14 yang sudah dilaksanakan atau dalam perlaksanaan.

Kerana itu salah satu faktor yang didambakan oleh rakyat Malaysia hari ini.

Tinta Merah.
20/11/ 2019. Kuala Lumpur

C&P.

Malaysia berminat dalami program jet pejuang Korea Selatan

 

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat lawatan ke Korea Aerospace Industry (KAI) di Sacheon sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea Selatan – Foto Khaidir A Majid

SACHEON: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan lawatan ke Korea Aerospace Industries Ltd (KAI), hari ini menyatakan minat terhadap pembangunan program jet pejuang dari Korea Selatan.

Beliau menyifatkan Korea Selatan menunjukkan kemajuan sejak kali terakhir lawatannya ke negara itu, membuatkan beliau tidak sabar untuk melihat sendiri pencapaian industri penerbangan tempatan berkenaan.

Dr Mahathir yang kali terakhir melawat Korea Selatan sebagai Perdana Menteri pada 2002, menghabiskan masa lebih sejam di kemudahan KAI, kira-kira dua jam perjalanan berkereta dari Busan.

Perdana Menteri turut menunjukkan minat ketika diberikan penerangan dalam kokpit pesawat tempur ringan, FA-50 oleh juruterbangnya.

Dr Mahathir yang kini berada di Korea Selatan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan (ROK) 2019 di Busan, tiba di KAI dengan menaiki helikopter dan disambut oleh Menteri Pentadbiran Program Pertahanan Korea Selatan (DAPA) Korea Selatan, Wang Jung-Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Ahn Hyun-Ho.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullan dan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Korea Aerospace Industries, yang lebih dikenali sebagai KAI adalah syarikat aeroangkasa dan pertahanan Korea Selatan.

Pesawat FA-50 KAI adalah varian tempur T-50, pesawat supersonik pertama Korea Selatan dan satu daripada beberapa pelatih supersonik yang ada di dunia.

KAI turut membangunkan jet pejuang generasi 4.5, KAI KF-X, satu usaha sama antara Korea Selatan dan Indonesia.

Program berkenaan diterajui Korea Selatan dengan memegang 80 peratus saham dan disertai Indonesia pada 2010 dengan memiliki selebihnya, 20 peratus pegangan saham.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/631802/malaysia-berminat-dalami-program-jet-pejuang-korea-selatan?fbclid=IwAR2KkEnjSbr5f7V6gnGOBylyK4JyC5twRzdWKlSo2UP9sSvWciugwEQHR4s