Mohd Zuki lapor diri di pejabat KSN

Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru Mohd Zuki Ali melapor diri di Pejabat Ketua Setiausaha Negara di Perdana Putra di sini hari ini.

Mohd Zuki, 58, dilantik sebagai KSN ke-15 berkuat kuasa 1 Jan 2020 bagi menggantikan Dr Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan Mohd Zuki mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir menyampaikan watikah pelantikan kepada Mohd Zuki dan menyaksikan penyerahan nota serah tugas daripada Ismail kepada KSN baru itu.

Mohd Zuki yang berkelulusan ijazah sarjana pengurusan perniagaan dari Universiti Nanyang, Singapura, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan berkhidmat selama 28 tahun.

Sebelum pelantikan terkini, Mohd Zuki ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.

– Bernama

https://www.malaysiakini.com/news/505723?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR1sQ8SaVNKdX63K-G1-5dmx73HW189GKUdJqHE_5trreqWlUfVvwYdXdec