
KUALA LUMPUR, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad membantah pemecatan Datuk Marzuki Yahaya daripada jawatan Setiausaha Agung parti itu.
Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini, turut menyifatkan pemecatan Marzuki tidak sah kerana bertentangan dengan Fasal 13.9 dan 16.3.3 perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019), dan tindakan itu wajar diketepikan.
Selain itu, katanya, tiada sebarang rundingan di antara Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihaknya dilakukan berhubung pemecatan pemecatan Marzuki.
Kedua-dua fasal itu memperuntuk kuasa atau tugas Presiden melantik Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan. Namun, pelantikan pegawai tertinggi parti itu tertakluk kepada syarat ‘selepas berunding dengan Pengerusi BERSATU’.
“Maksud ‘berunding’ di dalam konteks ini bukan hanya setakat Presiden memaklumkan Pengerusi tetapi mesti mencapai perbincangan bersungguh-sungguh antara kedua-dua pihak berkenaan urusan melantik pegawai terbabit.
“Biar pun perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) tidak menyatakan dengan jelas mengenai kaedah Presiden untuk memberhentikan pegawai terbabit. Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966 dan Fasal 29 perlembagaan BERSATU memberi kuasa sepenuhnya kepada parti untuk mentafsirkan perlembagaan sendiri.
“Tafsiran munasabah dan memenuhi semangat Fasal 13.9 dan Fasal 16.3.3 perlembagaan BERSATU (Pindaan 2019) ialah kaedah sama terpakai dalam melantik dan pemberhentian pegawai terbabit, sebelum apa-apa tindakan dan/atau keputusan boleh dibuat,” katanya.
Media melaporkan, Marzuki yang juga bekas Timbalan Menteri Luar dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BERSATU menerusi surat ditandatangani Muhyiddin, berkuat kuasa kelmarin.
Mahathir Bantah Pemecatan Marzuki