Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

MALAYSIA NEGARA RASUAH

RASUAH : GEJALA MASYARAKAT YANG PERLU DIBANTERAS

Definisi Rasuah

Di dalam bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Definisi ini diambil dari asal kata rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.

Tersebut dalam kitab Taj al-‘Arus, rasuah adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukumkan sesuatu atau memikul sesuatu yang dimahukan oleh si pemberi.

Menurut kamus bahasa Malaysia, rasuah adalah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).

Sementara dari segi istilah pula ia memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.

Manakala menurut Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131, suapan adalah termasuk:

1. Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran berharga atau harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa jua bentuk sama ada uang boleh digerakkan atau tidak;

2. Jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan atau perjanjian memberi pekerjaan atau khidmat;

3. Pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan sama ada sebahagian atau keseluruhannya;

4. Pulangan berharga, diskaun, komisen, rebet dan bonus;

5. Menahan diri dari menuntut wang atau sesuatu yang bernilai wang atau barang berharga;

6. Bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh;

7. Perkhidmatan lain, pertolongan atau faedah;

8. Tawaran, jaminan atau janji untuk memberi atau apa jua suapan seperti yang disebutkan di atas.

RASUAH MENURUT HUKUM SYARA‘

Menurut syara‘ rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an, hadis dan ijma’ para ulama.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (188)

(Surah al-Baqarah: 188)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)….” (42)

(Surah al-Ma’idah: 42)

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur‘an di atas bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang umatNya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang-orang Yahudi itu sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.

Perbuatan rasuah disebut juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hukuman laknat atau kutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Antara hadis yang membincang perkara rasuah, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja kepada pemberi dan penerima malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yakni yang menjadi penghubung antara keduanya.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah, adapun pengantara atau penghubung rasuah itu, jika dia sebagai utusan pihak penerima maka pengantara itu berdosa juga sebagaimana orang yang menerima rasuah. Jika pengantara rasuah tersebut sebagai utusan pihak pemberi, maka mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk pada tujuan pemberi rasuah, jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat. Namun jika tujuannya jahat, maka pengantara itu akan dilaknat juga. Tidak ada perbezaan dosa dalam kuantiti jumlah harta yang dihulurkan untuk melakukan rasuah. Dosanya tetap sama, sama ada harta yang digunakan untuk rasuah itu dalam jumlah harta yang banyak ataupun sedikit.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.”

(Hadis riwayat ath-Thabrani)

Siapakah Golongan Penerima Rasuah Itu?

Hukum pengharaman rasuah tidak hanya terbatas kepada sesuatu golongan sahaja seperti para hakim, sebagaimana yang disentuh oleh ayat al-Qur’an (al-Baqarah: 188) di atas, bahkan ia adalah bersifat umum meliputi semua golongan. Salah satu golongan yang disebutkan secara khusus oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah para petugas (‘Amil zakat). Baginda ada mengingatkan dan melarang para petugas (‘Amil zakat) mengambil atau menerima rasuah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seorang lelaki daripada suku Azd bernama Ibnu Lutbiyah, Ibnu Sarh bercerita: “(Dia) ialah Ibnu Utbiyah”, (bertugas sebagai) pemungut zakat. Lalu Ibnu Utbiyah (ketika menghadap Nabi) berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk saya”.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (lantas) bangun berdiri di atas mimbar, Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya lalu bersabda: “Bagaimanakah seorang petugas yang diutus, kemudian dia datang sambil berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk aku, tidakkah dia duduk di rumah ibunya atau ayahnya saja, lalu dia menunggu-nunggu; apakah dia diberi hadiah atau tidak? Tidaklah seseorang daripada kamu yang membawa sesuatu daripada harta yang didapatinya itu (rasuah) melainkan di hari kiamat harta itu datang, jika (harta itu) seekor unta, unta itu akan melengguh, atau seekor lembu, lembu itu akan menguak, atau seekor kambing, kambing itu akan mengembik.”

Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami nampak ketiaknya lalu bersabda: “Wahai Tuhan, bukankah saya telah menyampaikan, bukankah saya telah menyampaikan.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hadiah-hadiah para petugas (‘Amil) adalah khianat.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Sementara dalam kitab Maratib al-Ijma‘ disebutkan, bahawa ulama telah bersepakat rasuah dalam menjatuhkan hukuman adalah haram.

Kisah-Kisah Rasuah Pada Zaman Silam

Rasuah sudah menjadi gejala umum serta tidak asing lagi dalam masyarakat dulu dan sekarang. Penyakit ini seolah-olah menjadi trend kehidupan moden dan seolah-olah merupakan suatu amalan yang sah, halal dan menjadi keperluan hidup. Masalah rasuah ini memang sudah dikenali oleh masyarakat silam, namun ia lebih bersifat individual dan terhad. Demi untuk mengambil pengajaran dan iktibar, eloklah disebutkan beberapa kisah atau sejarah mengenai amalan rasuah yang telah terjadi pada zaman silam.

1. Kisah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam Dengan Ratu Saba’ (Balqis)

Saba’ adalah sebuah nama kerajaan di zaman dahulu, ibu kotanya dipanggil Ma’rib yang terletak tiga batu daripada San‘a iaitu ibu kota Yaman sekarang.

Ratu Saba’ ialah Balqis binti Syarahil seorang pemerintah yang mempunyai kekuasaan yang luas dan singgahsana yang megah yang dihiasi dengan emas dan berbagai-bagai batu permata. Dia mempunyai tiga ratus dua belas ahli mesyuarat, di bawah setiap seorang daripada mereka mempunyai sepuluh ribu orang lelaki. Ratu Saba’ itu mempunyai enam ratus dayang-dayang istana.

Ratu Saba’ serta kaumnya terpesong dari jalan kebenaran dan mereka menyembah matahari. Kisah ini tersebut dalam al-Qur’an, di mana burung Hud-Hud mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tentang kesyirikan Ratu Saba’ serta kaumnya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Aku dapati raja perempuan itu (Balqis) dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu, mereka tidak beroleh petunjuk.” (24)

(Surah an-Naml: 24)

Setelah Nabi Sulaiman ‘alaihissalam mendengar perkhabaran daripada burung Hud-Hud mengenai Ratu itu, lalu Baginda mengutus surat melalui burung Hud-Hud kepada Ratu Saba’ serta kaumnya untuk mengesakan dan mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Isi kandungan surat itu sebagaimana tercatat dalam dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, (30)

“Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” (31)

(Surah an-Naml: 30-31)

Ratu Saba’ mengumpulkan ketua, wazir dan pembesar-pembesar negara untuk mengumumkan perihal yang berlaku serta meminta pandangan daripada mereka. Setelah itu Ratu Saba’ mengambil keputusan untuk berdamai dan mengutus utusannya dengan membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam. Ratu Saba’ menantikan apa yang dibawa kembali oleh utusannya itu, dan berkata: “Jika Nabi Sulaiman ‘alaihissalam menerima hadiah itu bererti dia adalah seorang Raja maka perangilah dia, dan jika Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tidak menerimanya bererti dia adalah seorang Nabi maka ikutlah dia.”

Namun Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tidak menerima hadiah yang dibawa oleh utusan Ratu Saba’ itu, malah mengancam untuk menghantar bala tenteranya jika mereka tidak mahu beriman. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu menghulurkan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan harta kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu. (36)

“Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak akan terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (37)

(Surah an-Naml: 36-37)

Setelah utusan itu kembali menemui Ratu Saba’ dan menyampaikan kepadanya apa yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, lalu Ratu Saba’ berkata: “Demi Allah, sungguh aku mengetahui bahawa dia bukan sembarangan raja. Kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapinya dan kita tidak dapat melakukan apa pun untuk menentangnya.”

Ratu Saba’ mengirim utusan untuk menyampaikan pesanan kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, bahawa Ratu Saba’ dan para pembesarnya akan datang menghadap Baginda untuk melihat apa yang diperintah dan didakwah oleh Nabi Sulaiman ‘alaihissalam. Ratu Saba’ juga memerintahkan agar membawa singgahsananya yang diperbuat daripada emas, mutiara dan zabarjad.

Sebelum rombongan Ratu Saba’ sampai ke tempat Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, Baginda pun mengumpulkan jin dan manusia yang berada disekitarnya dan Baginda mengumumkan kepada mereka, bahawa siapakah yang sanggup membawa singgahsana Ratu Saba’ kepadanya sebelum rombongan mereka sampai.

Berkatalah ‘Ifrit daripada golongan jin, bahawa dia sanggup membawa singgahsana itu sebelum Baginda bangun dari tempat duduknya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku! Siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” (38)

Berkatalah ‘Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat lagi gagah serta amanah.” (39)

(Surah an-Naml: 38-39)

Maksud daripada ayat “sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu” ialah daripada pagi sehinggalah tergelincir matahari.

Namun Baginda mahu singgahsana itu sampai lebih cepat daripada itu, untuk melihatkan kepada mereka akan kebesaran kerajaan Baginda yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Lalu berkatalah seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada kitab Allah, bahawa dia boleh membawa singgahsana tersebut dalam sekelip mata. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata….”(40)

(Surah an-Naml: 40)

Kemudian tanpa disedari oleh Baginda, singgahsana itu pun berada di hadapannya. Baginda menyuruh agar diubah sedikit sifat singgahsana itu untuk menguji ingatan Ratu Saba’.

Akhirnya Ratu Saba’ memeluk agama Islam dan memurnikan penghambaannya hanya kepada Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, Zat yang menciptakan segala sesuatu lalu menetapkan kadarnya. Ratu Saba’ memeluk agama Islam setelah diajak oleh Nabi Sulaiman ‘alaihissalam ketika Ratu Saba’ masuk ke dalam istana besar yang dibangunkan oleh jin. Istana itu diperbuat daripada kaca yang mengalir air di bawahnya.

Demikianlah kisah ringkas bagaimana Ratu Saba’ cuba memberi rasuah dengan berupa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam agar Baginda mahu berdamai dengannya. Namun Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tidak menerima hadiah tersebut malahan Baginda mengancam Ratu Saba’ untuk memerangi mereka jika tidak mahu beriman. Malah Baginda juga memuji-muji akan pemberian Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang jauh lebih baik daripada hadiah yang mereka tawarkan.

2. Kisah ‘Utbah Bin Rabi‘ah Bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Dalam kegelisahan orang-orang kafir Quraisy tentang perkembangan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bertambahnya pengikut dan sahabat-sahabat Baginda termasuklah juga Islamnya Sayyidina Hamzah Radhiallahu ‘anhu. Maka satu pertemuan diadakan di balai orang-orang Quraisy, ‘Utbah salah seorang tokoh yang berpengaruh, memberi satu cadangan kepada orang-orang Quraisy, supaya dia (‘Utbah) berjumpa sendiri dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menawarkan kepada Baginda beberapa tawaran agar Baginda dapat memberi kerjasama dengan mereka.

Datanglah ‘Utbah bertemu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda sedang duduk bersendirian dalam masjid.

Berkata ‘Utbah bin Rabi‘ah: “Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya engkau adalah daripada golongan kami, sebagaimana yang engkau ketahui engkau mempunyai kehormatan keluarga dan keluhuran nasab keturunan. Sesungguhnya engkau telah membawa satu perkara yang besar kepada kaummu. Engkau pecah belahkan jemaah mereka, memperbodohkan akal fikiran mereka, mencaci maki tuhan dan agama mereka dan mengkafirkan orang tua mereka yang telah meninggal dunia. Maka engkau dengarlah kataku, aku akan tawarkan padamu beberapa tawaran yang boleh engkau fikirkan, semoga engkau menerimanya daripada kami.”

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Katakanlah wahai Abu Walid (gelaran kepada ‘Utbah)! Aku mendengar.”

Berkata ‘Utbah: “Wahai anak saudaraku! Jika kiranya apa yang engkau bawa ini bertujuan kerana mahukan harta, kami akan kumpulkan harta-harta kami untukmu sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya. Jika kiranya engkau bertujuan kerana mahukan kehormatan, kami akan angkat engkau menjadi pemimpin kami sehingga kami tidak akan memberi sesuatu kata putus tanpa bersama denganmu. Jika kiranya engkau bertujuan kerana mahukan kekuasaan, kami akan angkat engkau menjadi raja kami. Jika kiranya disebabkan yang datang kepadamu itu kerasukan jin dan engkau tidak mampu mengusirnya, kami akan cari pengubatnya dengan perbelanjaan kami sendiri sehingga engkau sembuh.”

Setelah selesai ‘Utbah berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula menyuruh ‘Utbah mendengar sabda Baginda. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda dengan membacakan surah Fushshilat.

Tafsirnya:

Turunnya (kitab) ini dari Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha mengasihani.

Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Qur’an yang diturunkan dengan bahasa Arab, bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu, kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.

Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami peyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu) sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)!”

(Surah Fushshilat: 1-5)

‘Utbah diam sambil mendengarkan bacaan Baginda sehinggalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sampai membaca pada ayat sajadah, di mana Baginda sujud tilawah ketika membaca ayat sajadah itu. Lalu Baginda bersabda: “Wahai Abu Walid! Engkau telah mendengar apa yang baru saja engkau dengar, maka terserah kepadamu dengan apa yang engkau dengar tadi.”

Setelah itu ‘Utbah kembali kepada sahabat-sahabatnya dengan raut wajah yang berlainan berbanding semasa dia pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka bertanya kepada ‘Utbah apa yang sudah terjadi. ‘Utbah menjawab: “Demi Allah, sesungguhnya aku telah mendengar perkataan yang belum aku pernah dengar sebelum ini. Demi Allah, perkataan itu bukan syair, bukan sihir dan bukan tilikan. Wahai kaum Quraisy! Taatlah kepadaku dan serahkan persoalan Quraisy kepadaku, biarkan dia (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) dengan apa yang dia bawa. Demi Allah, ucapannya yang aku dengar itu akan menjadi berita yang besar. Jika ucapannya itu didengar oleh orang Arab, nescaya yang demikian itu sudah cukup buat mereka tanpa kamu. Jika dia berhasil mengalahkan orang Arab, maka kekuasaannya adalah kekuasaan kamu dan kejayaannya adalah kejayaan kamu dan kamu menjadi manusia yang paling berbahagia dengannya.”

Mereka berkata: “Demi Allah, engkau telah disihir dengan mulutnya wahai Abu Walid!”

‘Utbah menjawab: “Ini pendapatku tentang dia. Maka lakukanlah apa yang kamu inginkan.”

Cubaan tokoh-tokoh Quraisy terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menawarkan beberapa tawaran terus dilakukan. Namun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menerima tawaran tersebut, malah Baginda hanya mensabdakan kepada mereka yang Baginda tidak bertujuan untuk mendapatkan harta kekayaan, kehormatan dan kekuasaan. Baginda diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah sebagai Rasul, Allah turunkan kepadanya al-Qur’an dan Allah perintahkannya supaya memberi khabar gembira dan peringatan kepada mereka. Jika mereka menerima apa yang disampaikan Baginda, nescaya mereka mendapat keuntungan di dunia dan akhirat, dan jika mereka menolak, Baginda hanya bersabar terhadap perintah Allah sehingga Allah memutuskan persoalan antara Baginda dengan mereka.

Demikianlah sedikit gambaran daripada kisah orang-orang kafir Quraisy yang cuba memberi rasuah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menawarkan beberapa tawaran yang hebat agar Baginda akan bekerjasama dengan mereka, namun Baginda tidak menerima walau satu pun daripada tawaran tersebut.

3. Rasuah Sifat Orang Yahudi

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan kalau engkau berpaling daripada mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Ma’idah: 42)

Al-Hasan al-Bashri mentafsirkan ayat: “mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram”, adalah bagi hakim-hakim Yahudi itu suka mendengar berita dusta dan memakan rasuah.

Tersebut dalam riwayat Sulaiman bin Yasar, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus ‘Abdullah bin Rawahah ke sebuah perkampungan Yahudi yang bernama Khaibar (untuk mengutip al-kharaj iaitu cukai hasil bumi daripada orang Yahudi). Maka beliau (‘Abdullah) menghitung bahagian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang Yahudi. Namun orang Yahudi itu memberi rasuah kepada ‘Abdullah agar pembahagian yang hendak diambil daripada mereka itu dikurangkan malah ditambah pula bahagian yang lebih untuk mereka. Akan tetapi ‘Abdullah bin Rawahah tegas menolak rasuah itu dengan katanya: “Apa yang kamu berikan kepadaku ini adalah daripada rasuah, sesungguhnya rasuah itu adalah suht (segala yang haram) dan sesungguhnya kami tidak memakannya (rasuah).”

Bentuk-Bentuk Rasuah

Ada beberapa bentuk yang diistilahkan sebagai rasuah, di mana sebahagiannya terselindung dengan perbuatan yang berkebajikan atau atas nama kebajikan dan ada juga yang jelas sebagai perbuatan rasuah.

1. Rasuah Dalam Memberi Hukuman

Hakim atau qadhi memang berdepan dengan risiko yang tinggi dalam menjatuhkan sesuatu hukuman terhadap orang yang tertuduh. Lebih-lebih lagi jika hakim itu menerima rasuah daripada orang lain bertujuan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang salah.

Perkara ini sangat merbahaya dan perbuatan sedemikian adalah perbuatan yang paling keji. Oleh itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi, penerima dan pengantara perbuatan rasuah itu.

Laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Seseorang yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, adalah jauh daripada mendapat rahmat, taufiq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan.

Apa akan jadi jika seseorang itu jauh daripada rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala? Apabila seseorang tidak mendapat petunjuk Allah, ia bagaikan berjalan di waktu gelap tanpa ada penyuluh yang menerangi. Apabila tidak mendapat rahmat Allah, maka jauhlah dia daripada kebaikan dan nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Menurut Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu, jika hakim atau qadhi mengambil rasuah untuk menjatuhkan sesuatu hukuman, maka hukuman yang diputuskannya itu ditolak walaupun keputusan itu adalah hak atau benar dan rasuah (yang diterimanya) itu hendaklah dikembalikan.

Maknanya rasuah itu memberi kesan terhadap keputusan hakim, di mana dengan sebab rasuah itu akan menjejaskan keputusan hakim walaupun dia menghukumkan sesuatu yang benar.

2. Rasuah Dalam Bentuk Hadiah

Hadiah adalah sesuatu pemberian kepada seseorang dengan maksud untuk memuliakan orang yang diberi. Akan tetapi ada kalanya juga tujuan untuk memberi hadiah itu terselit dengan maksud supaya hajatnya dipenuhi. Oleh itu, eloklah disebutkan di bawah ini beberapa bentuk hadiah yang bermaksud rasuah:

(i) Hadiah Halal Bagi Pemberi Dan Penerima

Terdapat perbezaan antara rasuah dan hadiah, sebagaimana yang tersebut dalam kitab al-Ahkam as-Sulthaniah:

Ertinya: “Perbezaan antara rasuah dan hadiah ialah rasuah merupakan sesuatu yang diambil dengan meminta, dan hadiah pula merupakan sesuatu yang diberi dengan kebajikan.”

Hadiah dengan niat untuk memuliakan orang yang diberi dan bertujuan untuk mengeratkan lagi kasih sayang adalah halal bagi pemberi dan penerima.

(ii) Hadiah Halal Bagi Pemberi Dan Haram Bagi Penerima

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, hadiah yang diberi kepada seseorang dengan maksud menyelamatkan dirinya daripada kezaliman orang yang diberi adalah halal bagi pemberi kerana darurat dan haram pula bagi penerima kerana bukan hak, seperti orang yang memberi sesuatu kepada penyair kerana takut dirinya difitnah atau diejek.

(iii) Hadiah Haram Bagi Pemberi Dan Penerima

Hadiah yang diberikan kepada seseorang dengan harapan hajatnya akan dipenuhi oleh penerima adalah merupakan rasuah yang ditutupi atau dihiasi dengan nama perbuatan yang terpuji iaitu hadiah atau pemberian.

Berkata Ibnu Mas‘ud, bahawa orang yang memberi hadiah kepada seseorang yang telah menunaikan hajatnya lalu diterimanya hadiah itu adalah as-suht (haram).

Berkata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, hadiah pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah merupakan hadiah sebenar, namun pada zaman sekarang (zaman ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz) ia adalah rasuah.

Bentuk hadiah dengan maksud atau tujuan agar hajat dipenuhi adalah ia seperti riba, kerana mengambil hadiah dengan maksud tersebut menghilangkan pahala pemberian, sebagaimana mengambil riba menghilangkan kehalalan. Hadis diriwayatkan daripada Abu Umamah, beliau berkata:

Maksudnya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membantu saudaranya dengan satu bantuan. Kemudian dia diberi hadiah atas bantuannya lalu diterimanya, maka dia telah mendatangi satu pintu besar daripada pintu-pintu riba.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Faktor-Faktor Rasuah

Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya amalan rasuah seperti berikut:

1. Hilang atau lemah nilai keimanan dalam kehidupan manusia boleh menjadi faktor berlakunya penyelewengan dalam pencarian atau perolehan harta.

2. Tabiat manusia yang amat suka kepada harta benda. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.”

(Surah al-Fajr: 20)

3. Tidak bersikap amanah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun memberikan dasar kriteria pemimpin, ketua, pegawai dan selainnya untuk dilantik. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”

(Surah al-Qashash: 26)

Sementara dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Seorang mukmin yang kuat (jiwa yang teguh dan bersih dalam perkara-perkara akhirat) lebih baik dan lebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah….”

(Hadis riwayat Muslim)

Terabainya amanah iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada seseorang yang bukan ahlinya, adalah salah satu tanda hari kiamat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah hari kiamat.”

Bertanya (al-A‘rabiy): “Bagaimana mengabaikannya wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Apabila suatu perkara diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

4. Tidak ada penerapan hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam kehidupan manusia.

5. Kurang pemahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh.

6. Faktor-faktor yang lain secara ringkas:

(i) Lemah pendidikan agama dan etika.

(ii) Tamak.

(iii) Banyak berhutang.

(iv) Ada keinginan dan ada peluang.

(v) Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah.

(vi) Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai cara hidup.

(vii) Untuk mencapai cita-cita.

(viii) Belanja hidup yang semakin meningkat.

Ancaman Kepada Pengamal Rasuah

Ancaman-ancaman terhadap pengamal rasuah adalah seperti berikut:

1. Mendapat kemurkaan, laknat dan kebencian Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

2. Mendapat kutukan dan laknat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

3. Tidak mendapat rahmat, taufiq dan hidayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

4. Pemberi dan penerima rasuah diancam dengan api neraka.

5. Rasuah itu termasuk memakan harta dengan jalan yang salah.

6. Rasuah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar.

7. Doa tidak diterima.

Bahaya Rasuah Dan Kesannya

Amalan rasuah merupakan suatu bentuk gejala sosial yang wajib ke atas setiap individu mencegahnya. Ini kerana rasuah itu banyak memberi kesan yang buruk, bukan sahaja terhadap individu bahkan juga kepada masyarakat dan negara. Antara kesan-kesan buruk rasuah itu adalah seperti berikut:

1. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Individu:

(i) Kehilangan pekerjaan.

(ii) Kejatuhan moral atau maruah.

(iii) Menerima hukuman.

(iv) Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.

(v) Keluarga terabai.

2. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat:

(i) Mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu.

(ii) Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.

(iii) Membebankan golongan orang susah.

(iv) Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan.

3. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Negara:

(i) Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.

(ii) Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan.

(iii) Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang.

(iv) Kenaikan kos barang dan perkhidmatan.

(v) Mengurangkan pendapatan negara.

(vi) Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.

Penyelesaian Penyakit Rasuah

Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini daripada berleluasa, antaranya:

1. Menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti menjelaskan reaksi Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti perbuatan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun yang sebaliknya.

2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman dan bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat.

3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.

4. Menanamkan sikap minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.

5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keugamaan, seperti membaca, menghafal dan merenung isi kandungan al-Qur’an, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab agama.

6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri …..” (11)

(Surah ar-R‘ad: 11)

7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup.

8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam.

9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Qur’an dan berselawat.

10. Menjalankan hukuman ta‘zir bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.

11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membentras gejala rasuah daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.

Penutup

Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syara‘, bahkan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:

1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.

2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.

3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.

Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat dan negara yang aman lagi makmur.

SEKIAN

Kejadian Sebahagian Bumbung Masjid Mengabang Tengah di Kampung Mengabang Tengah, Batu Buruk, Runtuh.

Image may contain: outdoor

Dulu PAS Terengganu selalu mainkan isu runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan gong Badak.. Sampai depa dok main mainkan UMNO dengan gelaran Terengganu Darul Runtuh..Kat Penang depa perli Lim Guan Eng sebab Projek banyaknya Tanah runtuh, kononnya Pulau Pinang abaikan Alam sekitar.. tuduh sebab rakus dan rasuah..

Tapi projek zaman PAS Terengganu lagi dahsyat.. Bumbung Masjid pun boleh runtuh.. Masjid pulak bawah Dun anak Haji Hadi,Dun Batu Buruk.. Kalau dulu kata UMNO tibai duit Projek Stadium, tuduh rasuah di Penang..takkan PAS pulak tibai duit projek Masjid..

Tu lah, Lain kali Jangan sedap mulut kata kat orang.. Allah nak tunjuk kejap jer.. Nasiblah jemaah baru selesai Solat Terawikh.. kalau berlaku kat tempat lain, Tak tahu lah Ustaz ustaz PAS nak kata bala atau Murka Allah.. 
Ipoh mali

Pantau Proses Baikpulih Masjid – Menteri Besar Terengganu

KUALA TERENGGANU: Semua pihak terutama kontraktor dan kariah masjid di seluruh negeri diingatkan supaya memastikan aspek keselamatan bangunan yang dibina.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kejadian sebahagian bumbung Masjid Mengabang Tengah di Kampung Mengabang Tengah, Batu Buruk, runtuh malam tadi perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak.

“Masjid itu bukan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, sebaliknya masjid di tanah persendirian.

“Cuma saya nak ingatkan semua pihak termasuk kontraktor dan ahli kariah seluruh negeri supaya memastikan dan memantau aspek keselamatan mana-mana masjid yang terbabit dalam pembinaan.

“Walaupun sekarang ini cuaca panas dan tiada hujan atau ribut, tetapi ambil perhatian apabila kita melakukan kerja baik pulih,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedia membantu jawatankuasa masjid berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 Rabu lalu, empat jemaah masjid terselamat selepas sebahagian bumbung Masjid berkenaan runtuh ketika hujan lebat.

Sebelum kejadian, tiga jemaah bertadarus sempena Ramadan, manakala seorang jemaah melipat sejadah selepas lebih 100 penduduk kampung itu selesai menunaikan solat sunat tarawih.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Che Kamaruddin Bahar, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan pegawai JKR sudah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan.

Beliau berkata, pihaknya kini mengumpul maklumat mengenai pembinaan masjid persendirian itu yang menjalani proses baik pulih, sebelum membuat syor dan tindakan perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Daripada maklumat diperoleh, baik pulih masjid itu dikendalikan jawatankuasa masjid dengan bantuan dan sumbangan orang ramai, tetapi JKR sedia bantu dan kita syorkan kerja baik pulih dihentikan sementara waktu.

“Kita akan membuat semakan mengenai keselamatan strukturnya dan lihat bahagian mana yang perlu diperbaiki bagi memastikan keselamatan masjid ini,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu

Kementerian nilai semula AP bahan makanan, banteras penyelewengan

Data kementerian menunjukkan, terdapat sejumlah 297 syarikat memegang AP untuk mengimport bahan makanan pada masa ini. – Gambar AFP, 6 Julai, 2018.

NASIB pemegang permit import (AP) barangan makanan kini bergantung kepada kajian dan penilaian kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahudin Ayub berkata, pihaknya menilai semula perkara itu ekoran dakwaan penyalahgunaan dan pemberian AP atas kepentingan dan hubungan politik.

“Kita sedang menilai kembali permit import ini tentang keperluan dan ketirisan akibat darinya,” kata Salahudin kepada The Malaysian Insight.

Data kementerian menunjukkan, terdapat sejumlah 297 syarikat memegang AP untuk mengimport bahan makanan pada masa ini.

Paling ramai, 176 syarikat memegang AP untuk mengimport kubis bulat, dan selebihnya terdiri daripada pengimport keratan ayam (57), susu cair (35) dan kelapa tua (29).

Menurut Salahuddin, kajian ke atas pemberian AP itu merupakan antara satu fokus utama kementeriannya dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya, ia bagi menjamin keselamatan makanan selain meminimumkan masalah birokrasi dalam pengeluaran.

Ini memandangkan, pada masa ini stok makanan di Malaysia hanya boleh bertahan paling lama untuk tempoh tiga bulan andainya import beras terhenti atau berlaku bencana atau perang, tambahnya.

“Antara fokus saya dari segi implimentasi adalah untuk memastikan sektor padi dan beras negara dapat diperbaharui secara drastik untuk (memastikan) bekalan tempatan lebih efisien selain memastikan bekalan daging tempatan sampai pada tahap 30% pengeluaran,” katanya.

Menurut beliau, permit import dari kementeriannya itu melibatkan sekurang-kurangnya lima jenis bahan makanan termasuk daging, kobis dan bawang.

“Sebab itu kita sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan termasuk melalui projek NFC (National Feedlot Corporation) yang kita akan hidupkan kembali,” katanya.

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahudin Ayub berkata kajian ke atas pemberian AP itu merupakan antara satu fokus utama kementeriannya dalam tempoh tiga tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2018.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahudin Ayub berkata kajian ke atas pemberian AP itu merupakan antara satu fokus utama kementeriannya dalam tempoh tiga tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2018.

Projek NFC menjadi isu besar apabila Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan keluarga bekas menteri Shahrizat Jalil mendapat pinjaman mudah kerajaan untuk menjalankan projek ini sejak 2007.

Namun, pinjaman itu lesap sedangkan projek ternakan lembu secara fidlot yang dijalankan oleh keluarga bekas menteri pembangunan dan keluarga ini tidak berjalan dengan sewajarnya.

Akibatnya, Shahrizat terpaksa meletak jawatan sebagai menteri dan ahli keluarganya turut didakwa di mahkamah.

Suaminya yang juga pengerusi eksekutif syarikat penternak tersebut bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan daripada segala pertuduhan jenayah pada 2015.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai menteri bulan lalu, Salahudin mengumumkan bahawa tumpuan awal beliau adalah mahu menghidupkan balik usaha penternakan lembu secara fidlot.

Katanya, satu kertas kerja akan dikemukakan untuk menyemak semula projek NFC untuk memenuhi keperluan daging negara.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, usaha tersebut akan membolehkan Johor muncul sebagai pengeluar lembu daging terbesar negara melalui projek ternakan di Muar, Segamat dan Pagoh. – 6 Julai, 2018.

Didiklah masyarakat benci rasuah

Image result for benci rasuah

RASUAH bukanlah suatu isu baharu dalam masyarakat kita. Sudah sekian lama negara ini berhadapan dengan masalah sosial ini yang jelas kelihatan terus berlaku dan berleluasa seolah-olah tiada kesudahannya.

Buktinya, sudah banyak kali kita didedahkan dengan perbuatan penyelewengan dan salah laku yang menjurus kepada suapan dan rasuah membabitkan pelbagai golongan masyarakat.

Baik penjawat awam, pekerja swasta dan korporat hinggalah ke orang perseorangan semuanya ada bahagian masing-masing.

Kebanyakana kes itu melibatkan tuntutan palsu, rasuah serta salah guna kuasa yang dipercayai membabitkan pegawai tinggi kerajaan, swasta dan pertubuhan.

Apa yang membuat kita berasa cukup geram, kecewa dan marah apabila didedahkan dana kebajikan yang sepatutnya disalurkan untuk rakyat.

Bukankah semua tindak tanduk ini satu bentuk kezaliman terhadap masyarakat dan pengkhianatan terhadap negara?

Penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berlaku di hampir semua peringkat dan membabitkan semua pihak berkepen­tingan.

Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat oleh SPRM dan ramai juga yang dijatuhkan hukuman namun hakikatnya rasuah dan penyelewengan tetap berlaku malah boleh dikatakan semakin meningkat.

Maka timbul persoalan di mana silapnya dan apa yang tidak kena dengan masyarakat kita?

Apakah ia semakin menjadi-jadi akibat desakan hidup yang menghimpit atau ia sudah menjadi satu amalan biasa dalam kalangan sekelompok masyarakat kita yang sedikitpun tidak rasa bersalah untuk melakukannya.

Alasan desakan hidup sama sekali tidak boleh menjustifikasikan perbuatan salah laku seperti ini.

Bayangkan apa akan jadi kepada masyarakat andai semua orang menggunakan alasan desakan hidup untuk menerima rasuah mahupun memberi suapan. Ringkasnya masyarakat akan hancur dan rosak selamanya.

Maka yang salah tetap bersalah dan kita perlu mencegah budaya matlamat menghalakan cara.

Justeru kita perlu memberi fokus kepada punca utama yang sering mendorong rakyat kita terjebak dalam kancah salah guna kuasa ini.

Impian untuk hidup mewah dan kaya cepat, tamak untuk merebut sesuatu projek serta adanya ruang dan peluang untuk menyalah guna kuasa mahupun mengambil kesempatan dilihat antara faktor utama yang merosakkan masyarakat kita.

Dalam isu ini di samping tangkap dan menghukum orang yang terbabit sebagai tindakan pembetulan dan pengajaran, apa yang lebih penting adalah penekanan terhadap aspek pencegahan agar ia tidak berulang dan berjangkit pada yang lain.

Pencegahan boleh dilakukan melalui didikan ke atas masyarakat agar sentiasa benci rasuah dan salah guna kuasa di mana didikan ini perlu bermula seawal zaman persekolahan lagi. Ia perlu dididik, dibentuk dan dipupuk sejak kecil lagi umpama melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kita tidak mahu generasi yang akan datang terus hanyut dengan masalah sosial seperti ini yang boleh menghancurkan masa depan diri, keluarga dan juga negara.

Ternyata tangkapan dan hukuman selama ini masih belum mampu menakutkan semua pelaku yang terbabit.

Namun kita tetap berharap agar SPRM terus mempergiatkan usaha penangkapan serta membawa mereka semua ke muka pengadilan.

Cuma kita berharap sebagai langkah pencegahan dan juga pendekatan jangka panjang aspek pendidikan turut terus dititikberatkan supaya negara ini dapat melahirkan generasi yang berjiwa kental, kuat budaya integriti dan tidak mudah hanyut dengan pelbagai godaan dan sogokan.

Justeru kita berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing agar virus rasuah ini dapat dicegah dan diubati dengan baik.

Baik ibu bapa, masyarakat, pihak berkuasa mahupun pihak sekolah dan universiti perlu diberi tanggungjawab mengikut skop tugas, tanggungjawab dan kuasa masing-masing agar dapat mendidik anak-anak kita membenci rasuah.

Sehati sejiwa memerangi rasuah.

ZEERA YASMIN ROSLAN,
Gombak

https://www.ismaweb.net/2017/03/21/didiklah-masyarakat-benci-rasuah/

Najib Didakwa 10 Kesalahan

 

 

Penyokong Datuk Seri Najib Razak kini memulakan tabung untuk memberikan sokongan kewangan kepada bekas perdana menteri itu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii berkata langkah tersebut diambil kerana mengambil kira keadaan bekas presiden mereka yang tidak mampu menjelaskan ikat jamin ditetapkan mahkamah semalam.

Ketika dihubungi Razlan berkata tidak wajar untuk anggota Umno melupakan Najib ketika bekas presiden mereka itu ketika ini.

“Jangan kita tinggalkan kawan kita semasa (dia) susah,” katanya kepada Malaysiakini.

Razlan berkata Tabung Solidariti Datuk Seri Najib itu dilancarkan hari ini dan setakat awal petang sebanyak RM11,000 sudah terkumpul.

Terdahulu The Star Online melaporkan Razlan sebagai berkata kutipan tabung berkenaan dilakukan kerana setakat ini Najib belum baru dapat menjelaskan keseluruhan jumlah ikat jamin yang dikenakan kepadanya.

Akan serah kepada anak

Justeru katanya mereka mahu memberikan sokongan moral dan kewangan terhadap Najib.

“Najib hanya dapat membayar RM500,000 dan untuk mencukupkan jumlah jaminan beliau terpaksa menyerahkan surat milik rumahnya,” katanya.

Semalam Najib dibawa ke mahkamah untuk dihadapkan dengan tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berhubung dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ia melibatkan jumlah sehingga RM42 juta.

Sementara menunggu perbicaraan mahkamah membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM1 dan pasport awam dan diplomatiknya diserahkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun disebabkan akuan beliau dibekukan hanya sebahagian daripada ikat jamin itu dibayar dengan wang manakala selebihnya menggunakan sandaran hak milik rumah.

Mahkamah juga membenarkan bayaran tersebut dijelaskan secara ansuran, iaitu semalam dan Isnin ini.

Jaminan itu dibayar oleh anak Najib – Mohd Norashman dan Nooryana Najwa – di sebuah bank di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Kata Razlan, wang yang mereka kumpulkan itu akan diserahkan kepada anak Najib.

“Isnin ini kami akan kami sampaikan kepada anak beliau di mahkamah pada jam12 tengahari,” katanya.

Penyokong Datuk Seri Najib Razak kini memulakan tabung untuk memberikan sokongan kewangan kepada bekas perdana menteri itu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii berkata langkah tersebut diambil kerana mengambil kira keadaan bekas presiden mereka yang tidak mampu menjelaskan ikat jamin ditetapkan mahkamah semalam.

Razlan berkata tidak wajar untuk anggota Umno melupakan Najib ketika bekas presiden mereka itu ketika ini.

Mendidik Generasi Yang Bencikan Rasuah Dan Pecah Amanah

Sejak kebelakangan ini, sering diperkatakan mengenai isu rasuah. Sebenarnya pada zaman moden ini, tiada negara yang terkecuali daripada masalah rasuah. Ia boleh dianggap sebagai ‘penyakit kanser’ serius yang menular dalam masyarakat.

Pelbagai faktor penyebab diketengahkan oleh pelbagai pihak mengenai isu ini. Antara faktor penyebab sering dilontarkan ialah masalah kenaikan kos sara hidup, gaji yang diterima tidak setimpal dengan keadaan persekitaran ekonomi semasa serta masalah kelembapan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia. Masalah ini dikatakan menyebabkan ramai pihak terpaksa mengambil jalan mudah dengan terbabit dalam rasuah.

Kebanyakan punca rasuah juga dikatakan berlaku disebabkan oleh faktor individu itu sendiri. Kelemahan sahsiah peribadi adalah masalah yang sukar untuk ditangani. Kelemahan sifat peribadi ini berlaku disebabkan kurangnya iman serta jati diri dalam diri individu terbabit.

Sesetengah individu yang bersikap tamak dan ingin cepat kaya biasanya akan mengambil jalan mudah dengan menerima suapan kerana mereka sudah kehilangan sifat jujur, amanah dan juga kawalan terhadap diri sendiri. Selain kelemahan sifat peribadi, kekurangan pegangan serta didikan agama juga akan menyebabkan timbulnya masalah rasuah.

Masalah rasuah memberi pelbagai kesan kepada negara, masyarakat dan juga individu itu sendiri. Rasuah menjejaskan kecekapan pentadbiran sesebuah negara, seterusnya menyebabkan negara dalam keadaan kucar-kacir.

Langkah komprehensif

Usaha membasmi masalah rasuah dalam negara kita boleh diambil dengan mengambil langkah komprehensif yang meliputi semua sudut. Antara langkah yang perlu diambil untuk mengatasi gejala rasuah ini ialah dengan menguatkuatkuasakan undang-undang dan hukuman yang berkaitan dengan isu rasuah seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), Kanun Keseksaan (Akta 574), dan lain-lain lagi.

Hukuman yang berat perlu dijatuhi kepada pesalah rasuah agar mereka serik untuk melakukan jenayah rasuah serta dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.

Menerusi langkah ini juga seluruh anggota masyarakat akan sedar bahayanya kesan aktiviti rasuah ini. Usaha galakan juga harus diberikan kepada individu serta masyarakat umum yang ingin tampil membantu. Pihak kerajaan hendaklah sentiasa memastikan segala akta berkaitan dapat membantu golongan terbabit tampil membantu dan menyalurkan segala maklumat berkaitan dengan kesalahan rasuah tanpa rasa takut serta menghadapi masalah sampingan.

Ini dapat dilakukan menerusi akta yang berkaitan seperti Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947 (Pindaan 1977) (Akta 191), Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Pendedahan awal

Selain daripada aspek penguatkuasaan undang-undang, pendedahan awal mengenai kesalahan serta kesan negatif rasuah perlu disemai dalam kalangan murid. Generasi muda yang dididik agar membenci gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah ketika menjalankan tugas mereka apabila dewasa kelak.

Pendedahan awal mengenai gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, dan subjek berkaitan.

Bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat serta faktor utama yang sering diperkatakan ramai pihak sebagai punca berlakunya rasuah, pihak kerajaan mungkin perlu menimbang dengan serius mengenai kenaikan gaji pekerja di Malaysia.

Perkara sama juga perlu difikirkan oleh majikan pihak swasta. Penetapan gaji minimum juga harus dilihat kembali sejajar perubahan dalam persekitaran ekonomi.

Kesimpulannya, kerajaan mahupun masyarakat perlu berganding bahu membanteras gejala rasuah ini agar imej negara sentiasa bersih. Ini akan menjadikan ekonomi negara kita bertambah maju dan melahirkan sebuah masyarakat yang hidup aman sejahtera serta bebas rasuah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

https://www.bharian.com.my/node/14060

Marilah kita membina negara, masyarakat dan kerajaan yang berusaha membenteras gejala rasuah dan pecah amanah dalam semua lapisan masyarakat agar rakyat dapat hidup dalam keadaan aman tanpa menghadapi tekanan hidup tetapi disebaliknya rakyat dilindungi oleh undang-undang yang adil. Semoga orang awam tidak hidup dalam keadaan tertekan dan tertipu dengan slogan-slogan manis tetapi apa yang berlaku disebaliknya.

Image result for menyalakan lilin untuk najib didakwa

Contoh : Gambar penyokong rasuah dan pecah amanah yang memberi sokongan kepada pelaku rasuah dan pecah amanah dengan menyalakan lilin.

Related image

Image result for para penyokong najib

Image result for najib didakwa

Image result for penyokong najib depan mahkamah

Kekecohan tercetus di lobi mahkamah apabila penyokong Najib Razak mendesa Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

Contoh : Masyarakat yang melindungi pelaku rasuah dan pecah amanah

 

Image result for hakim muhammad shafie

Image result for najib didakwa

Hakim bukan Islam memerangi jenayah rasuah dan pecah amanah.

Hakim Islam membela dan melindungi jenayah dan memerangi mereka yang memelihara amanah.

Contoh : Para Hakim yang membela dan melindungi pelaku rasuah dan pecah amanah

Berbagai agensi kerajaan yang sepatutnya aktiv membantu kerajaan PH untuk memerangi gejala rasuah dan pecah amanah hanya menjadi penonton kepada pelaku rasuah dan pecah amanah.

 

Era memerangi rasuah dan pecah amanah peringkat VVIP 

Image result for najib didakwa

Yang ditunggu-tunggu berjuta rakyat Malaysia dan beratus juta umat manusia seluruh dunia sudah dimakbulkan Allah. Najib Tun Razak, mantan PM anak lelaki mantan PM kedua, Tun Razak, ditangkap hari ini. Syukur alhamdulillah. Inilah bekas PM yang paling korup, dibenci rakyat, yang menyebabkan Malaysia dihina oleh masyarakat dunia. Dia inilah orangnya yang bangsatkan Melayu, Islam dan Malaysia.
Seluruh dunia yang anti rasuah, anti gila kuasa menyambut baik penangkapan  maharaja lanun ini. Tidak ada maaf bagi semua lanun, koruptor yang hidup super mewah atas kesangsaraan rakyat. Tidak ada kompromi. Tidak ada layanan istimewa bagi penjenayah dalam lokap mau pun penjara.
Sebenarnya Najib juga boleh didakwa bawah SOSMA. Inilah  manusia yang benar-benar terlibat  menggugat keselamatan negara serta kehancuran ekonomi. Pihak SPRM  dan KDN juga perlu mendakwa Najib  atas SOSMA selain  pengubahan wang haram, korupsi, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah, berkomplot dengan pihak asing menipu kerajaan dan rakyat Malaysia melalui 1MDB.
Rakyat bagi amaran kepada kerajaan PH jangan bertolak ansur dengan kuroptor kelas jerung dan paus. Mereka mesti dihadapkan ke mahkamah, dan kalau bersalah, harta mereka mesti dirampas oleh kerajaan. Tidak ada  bertolak ansur minta para koruptor menyerahkan  harta haram, dan mereka tidak didakwa. No way. Jenayah mesti dihukum.
Rakyat akan melihat keputusan terhadap Najib dan para koruptor yg diheret ke pengadilan nanti. Jangan sekali-kali ada kongkolikong dalam perbicaraan. Tun Mahathir telah berikrar pada rakyat yang korupsi akan ditentang habis-habisan. Kota apa yang dikata. Kononnya lebih 1000 individu dan syarikat yg terlibat dengan 1MDB akan disiasat. Mesti telus, mesti jujur. Hatta sekiranya ada ahli keluarga Tun Razak yang mendapat habuan dari 1MDB mereka mesti diheret ke pengadilan. No compromise. Dikatakan Yayasan Toh Puan Rahah juga menerima berjuta rgt dari 1MDB. Dia juga perlu diadili kalau benar yayasan ini menerima wang haram itu.
Kerajaan PH adalah  kerajaan yg mendapat sokongan rakyat Malaysia berbagai bangsa dan kaum. Ia dapat menumbangkan gergasi korup BN kerana rakyat benci terhadap korupsi, penyelewengan Najib, Rosmah Mansor dan para badut yg menjilatnya. Rakyat Malaysia menentukan nasib  para pemimpin politik, kakitrangan kerajaan dan juga kalangan istana. Budaya korupsi BN di masa lalu tidak boleh duamalkan oleh PH.
Besok Najib akan dihadap ke mahkamah. Mesti pakai  pakaian oren, tangan digari, pakai sliper jepun saja  barangkali. Oh,ya, tentu  coklat kegemarannya tak diberi dalam lokap dan penjara.
Doa dan sembahyang hajat berjuta umat Islam yang terinaya dan juga para penganut agama-agama lain dimakbulkan Allah akhirnya.
Yahaya Ismail
PJ- C&P
Era memerangi rasuah dan pecah amanah VVIP  telah bergerak ke tahap yang lebih tinggi tanpa sokongan parti hadi wang.