ANWAR SERAH AFIDAVIT DAKWAAN BAYARAN DIBUAT RM9.5 JUTA KEPADA SHAFEE ABDULLAH OLEH NAJIB RAZAK
Pagi tadi peguam saya telah menyerahkan afidavit yang ditandatangani pegawai Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan dakwaan pembayaran yang dibuat kepada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (TS Shafee) oleh mantan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak bernilai RM 9.5 juta di antara September 2013 hingga Februari 2014.
Umum mengetahui bahawa TS Shafee telah bertindak sebagai Pendakwaraya Khas dalam rayuan terhadap pembebasan saya bermula Julai 2013 hingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.
Saya mengulangi bahawa TS Shafee tidak patut dibenarkan bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan tersebut. Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi Peguam Negara, dan lebih ganjil lagi bila yang dilantik itu seorang kenalan rapat Dato’ Seri Najib, yang terlibat secara material di dalam kes tersebut.
TS Shafee juga menjadi saksi kejadian konspirasi terhadap saya yang berlaku di dalam kehadiran Dato Seri Najib, yang membuatkan kedua-dua pihak ini berkemungkinan menjadi saksi.
Bila masa TS Shafee telah menerima RM 9.5 juta dari akaun peribadi Dato Seri Najib sewaktu beliau bertugas sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes saya menghancurkan kredibiliti beliau sebagai seorang agen Jabatan Peguam Negara yang tidak berat sebelah.
Afidavit tersebut sedang disebarluas. Saya percaya dalam Malaysia Baharu ini kita tidak boleh berkompromi dalam komitmen kita terhadap kedaulatan undang-undang dan mengembalikan kredibiliti institusi kehakiman serta para peguam. Salah guna kuasa seperti ini tidak patut dibenarkan berterusan, dan mesti ada pertanggungjawapan.
Saya gesa pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi kita untuk mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan agar rakyat Malaysia malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan kita.
Diterbit oleh Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim
6 September 2018