Heng Seai Kie (tengah, duduk) bersama Cheng Tsu Sun (dua dari kanan, duduk) dan ahli lain menunjukkan gincu serta tiket konsert untuk mengutip dana bagi TAR UC.
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie melancarkan program kutipan dana untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) selepas kerajaan berhenti memberi peruntukan kepada institusi pengajian tinggi swasta itu.
Katanya, sayap itu akan menjual gincu dan tiket konsert pada majlis makan malam perhimpunan agungnya malam ini dan mesyuarat yang dijadualkan berlangsung esok.
Beliau berkata, seorang individu bernama Cheng Tsu Sun menyumbang 600 gincu buatan sendiri, manakala seorang lagi lelaki membeli 100 tiket sebuah konsert Cina yang akan diadakan pada 14 Dis ini di Stadium Bukit Jalil dan menyumbangnya kepada Wanita MCA untuk dijual.
Katanya, mereka menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM17,000 daripada jualan itu.
“Ini ialah permulaan kepada kempen derma itu. Kami menggesa orang ramai, termasuk badan bukan kerajaan dan usahawan menghubungi kami, jika mereka mahu mengambil bahagian dalam kutipan dana itu,” katanya pada sidang media di Wisma MCA.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, MCA patut melepaskan penguasaan ke atas TAR UC sebagai syarat untuk menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM30 juta.
Pemimpin MCA, termasuk Presidennya, Wee Ka Siong membidas Lim berhubung pendirian itu.
Pada 23 Nov lalu, Lim dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM30 juta kepada tabung amanah yang diuruskan Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA).
“Tabung amanah ini terdiri daripada ahli TAA, wakil pelajar TAR UC dan seorang wakil Kementerian Kewangan,” katanya sambil menambah RM30 juta akan disalurkan sebaik saja tabung amanah itu ditubuhkan.
Beliau berkata, wang itu hanya akan disalurkan tabung amanah berkenaan kepada TAR UC jika pemimpin MCA melepaskan kuasa milikan, pentadbiran dan jawatan dalam lembaga pemegang amanah dan pengarah IPTS itu.
Katanya, syarat itu sejajar prinsip dana awam tidak patut disalurkan kepada perniagaan, syarikat media, badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan yang dikuasa parti politik.