Ibu kepada Koperal Sirul Azhar Umar merayu anaknya dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati.

Image may contain: one or more people, people sitting and indoor

Ibu Sirul rayu anaknya dibebaskan
ibu_sirul

TAIPING: Ibu kepada Koperal Sirul Azhar Umar merayu anaknya dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati seperti yang dijatuhkan oleh mahkamah atas kesalahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Piah Samat, 74 hanya mampu menadah tangan berdoa kepada Allah SWT meminta pertolongan di atas ujian yang menimpa dirinya dan keluarga.

Dia dan keluarganya menganggap Sirul dianiaya dan hanya menjalankan tugas sebagai anggota polis.

“Tak tahulah, hanya tuhan yang tahu hati makcik, makcik hanya berdoa kepada Allah SWT mohon dia selamat.

“Lepas sembahyang makcik berdoa, ingat pada yang satu (Allah). Nak minta tolong pada siapa lagi?” katanya seperti yang dilaporkan Harakah Daily.

Piah berkata demikian ketika dikunjungi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pemua PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad dan Exco Pemuda PAS Malaysia, Salman Saleh.

Wakil pimpinan PAS itu mengunjungi ibu Sirul di kediamannya dekat Changkat Jering, Bukit Gantang Ahad lalu.

Ibu tunggal itu mengatakan ramai yang bersimpati atas nasib yang melanda keluarganya dan ada yang datang ke rumah untuk memberikan sokongan moral.

Sirul yang merupakan anak keempat dari lapan adik beradik disifatkan ibunya sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan sering mengambil berat mengenai keluarga.

“Tapi ada juga yang kata macam-macam, ada yang kata di dah kena bayar sedangkan dia tak dapat apa pun hingga makcik malu nak jumpa orang.

“Tidak henti-henti Allah bagi ujian kepada makcik, lepas setahun adik dia meninggal dunia akibat kemalangan, makcik terima khabar pula dia akan dihukum gantung,” katanya hiba.