KUANTAN: Seorang penolong pengurus syarikat Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) adalah antara dua ditahan hari ini kerana dipercayai terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta di negeri ini.
Penolong pengurus berusia 35 tahun itu ditahan jam 7.30 malam tadi manakala seorang pengurus syarikat swasta berusia 51 tahun ditahan jam 3.50 petang.
Sumber berkata, kedua-duanya ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di sini selepas dipanggil memberikan keterangan.
“Kedua-duanya disyaki bersekongkol dengan beberapa individu yang direman Jumaat lalu untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang.
“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kuantan esok dan suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009,” katanya sumber itu di sini, malam ini.
Jumaat lalu, empat pegawai kanan PAIP dan tiga kontraktor direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta itu.
Semua mereka ditahan dalam satu operasi besar-besaran dikenali Op Cuci yang dilancarkan SPRM.
Difahamkan, SPRM akan memohon lanjutan reman terhadap tujuh suspek terbabit esok bersama dua yang ditahan hari ini untuk membantu siasatan.