Najib Menghalang Tugas Pegawai Penjawat Awam Menjalankan Tugas.

Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer hari ini membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pemecatan bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin pada Julai 2015.

Rayer mendakwa selain pemecatan itu, Najib turut membuat rombakan besar-besaran terhadap beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara.

“Saya ada membaca satu artikel oleh Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang menggesa polis menjalankan siasatan berhubung tindakan Najib memecat serta merombak pegawai-pegawai kerajaan pada Julai 2015.

“Berikutan gesaan dibuat beliau (Lim Kit Siang), saya terpanggil untuk membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan kerana jika tiada laporan polis, pihak berkuasa (polis) tidak boleh menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis dibuat Anggota Parlimen Jelutong berkenaan.