Di dalam bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Definisi ini diambil dari asal kata rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.
Tersebut dalam kitab Taj al-‘Arus, rasuah adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukumkan sesuatu atau memikul sesuatu yang dimahukan oleh si pemberi.
Menurut kamus bahasa Malaysia, rasuah adalah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).
Sementara dari segi istilah pula ia memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.
Manakala menurut Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131, suapan adalah termasuk:
1. Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran berharga atau harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa jua bentuk sama ada uang boleh digerakkan atau tidak;
2. Jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan atau perjanjian memberi pekerjaan atau khidmat;
3. Pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan sama ada sebahagian atau keseluruhannya;
4. Pulangan berharga, diskaun, komisen, rebet dan bonus;
5. Menahan diri dari menuntut wang atau sesuatu yang bernilai wang atau barang berharga;
6. Bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh;
7. Perkhidmatan lain, pertolongan atau faedah;
8. Tawaran, jaminan atau janji untuk memberi atau apa jua suapan seperti yang disebutkan di atas.
RASUAH MENURUT HUKUM SYARA‘
Menurut syara‘ rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an, hadis dan ijma’ para ulama.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (188)
(Surah al-Baqarah: 188)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)….” (42)
(Surah al-Ma’idah: 42)
Berdasarkan ayat-ayat al-Qur‘an di atas bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang umatNya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang-orang Yahudi itu sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.
Perbuatan rasuah disebut juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hukuman laknat atau kutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Antara hadis yang membincang perkara rasuah, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja kepada pemberi dan penerima malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yakni yang menjadi penghubung antara keduanya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah, adapun pengantara atau penghubung rasuah itu, jika dia sebagai utusan pihak penerima maka pengantara itu berdosa juga sebagaimana orang yang menerima rasuah. Jika pengantara rasuah tersebut sebagai utusan pihak pemberi, maka mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk pada tujuan pemberi rasuah, jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat. Namun jika tujuannya jahat, maka pengantara itu akan dilaknat juga. Tidak ada perbezaan dosa dalam kuantiti jumlah harta yang dihulurkan untuk melakukan rasuah. Dosanya tetap sama, sama ada harta yang digunakan untuk rasuah itu dalam jumlah harta yang banyak ataupun sedikit.
Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.”
(Hadis riwayat ath-Thabrani)
Siapakah Golongan Penerima Rasuah Itu?
Hukum pengharaman rasuah tidak hanya terbatas kepada sesuatu golongan sahaja seperti para hakim, sebagaimana yang disentuh oleh ayat al-Qur’an (al-Baqarah: 188) di atas, bahkan ia adalah bersifat umum meliputi semua golongan. Salah satu golongan yang disebutkan secara khusus oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah para petugas (‘Amil zakat). Baginda ada mengingatkan dan melarang para petugas (‘Amil zakat) mengambil atau menerima rasuah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seorang lelaki daripada suku Azd bernama Ibnu Lutbiyah, Ibnu Sarh bercerita: “(Dia) ialah Ibnu Utbiyah”, (bertugas sebagai) pemungut zakat. Lalu Ibnu Utbiyah (ketika menghadap Nabi) berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk saya”.
Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (lantas) bangun berdiri di atas mimbar, Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya lalu bersabda: “Bagaimanakah seorang petugas yang diutus, kemudian dia datang sambil berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk aku, tidakkah dia duduk di rumah ibunya atau ayahnya saja, lalu dia menunggu-nunggu; apakah dia diberi hadiah atau tidak? Tidaklah seseorang daripada kamu yang membawa sesuatu daripada harta yang didapatinya itu (rasuah) melainkan di hari kiamat harta itu datang, jika (harta itu) seekor unta, unta itu akan melengguh, atau seekor lembu, lembu itu akan menguak, atau seekor kambing, kambing itu akan mengembik.”
Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami nampak ketiaknya lalu bersabda: “Wahai Tuhan, bukankah saya telah menyampaikan, bukankah saya telah menyampaikan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hadiah-hadiah para petugas (‘Amil) adalah khianat.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Sementara dalam kitab Maratib al-Ijma‘ disebutkan, bahawa ulama telah bersepakat rasuah dalam menjatuhkan hukuman adalah haram.
Kisah-Kisah Rasuah Pada Zaman Silam
Rasuah sudah menjadi gejala umum serta tidak asing lagi dalam masyarakat dulu dan sekarang. Penyakit ini seolah-olah menjadi trend kehidupan moden dan seolah-olah merupakan suatu amalan yang sah, halal dan menjadi keperluan hidup. Masalah rasuah ini memang sudah dikenali oleh masyarakat silam, namun ia lebih bersifat individual dan terhad. Demi untuk mengambil pengajaran dan iktibar, eloklah disebutkan beberapa kisah atau sejarah mengenai amalan rasuah yang telah terjadi pada zaman silam.
1. Kisah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam Dengan Ratu Saba’ (Balqis)
Saba’ adalah sebuah nama kerajaan di zaman dahulu, ibu kotanya dipanggil Ma’rib yang terletak tiga batu daripada San‘a iaitu ibu kota Yaman sekarang.
Ratu Saba’ ialah Balqis binti Syarahil seorang pemerintah yang mempunyai kekuasaan yang luas dan singgahsana yang megah yang dihiasi dengan emas dan berbagai-bagai batu permata. Dia mempunyai tiga ratus dua belas ahli mesyuarat, di bawah setiap seorang daripada mereka mempunyai sepuluh ribu orang lelaki. Ratu Saba’ itu mempunyai enam ratus dayang-dayang istana.
Ratu Saba’ serta kaumnya terpesong dari jalan kebenaran dan mereka menyembah matahari. Kisah ini tersebut dalam al-Qur’an, di mana burung Hud-Hud mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tentang kesyirikan Ratu Saba’ serta kaumnya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Aku dapati raja perempuan itu (Balqis) dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu, mereka tidak beroleh petunjuk.” (24)
(Surah an-Naml: 24)
Setelah Nabi Sulaiman ‘alaihissalam mendengar perkhabaran daripada burung Hud-Hud mengenai Ratu itu, lalu Baginda mengutus surat melalui burung Hud-Hud kepada Ratu Saba’ serta kaumnya untuk mengesakan dan mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Isi kandungan surat itu sebagaimana tercatat dalam dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, (30)
“Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” (31)
(Surah an-Naml: 30-31)
Ratu Saba’ mengumpulkan ketua, wazir dan pembesar-pembesar negara untuk mengumumkan perihal yang berlaku serta meminta pandangan daripada mereka. Setelah itu Ratu Saba’ mengambil keputusan untuk berdamai dan mengutus utusannya dengan membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam. Ratu Saba’ menantikan apa yang dibawa kembali oleh utusannya itu, dan berkata: “Jika Nabi Sulaiman ‘alaihissalam menerima hadiah itu bererti dia adalah seorang Raja maka perangilah dia, dan jika Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tidak menerimanya bererti dia adalah seorang Nabi maka ikutlah dia.”
Namun Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tidak menerima hadiah yang dibawa oleh utusan Ratu Saba’ itu, malah mengancam untuk menghantar bala tenteranya jika mereka tidak mahu beriman. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu menghulurkan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan harta kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu. (36)
“Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak akan terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (37)
(Surah an-Naml: 36-37)
Setelah utusan itu kembali menemui Ratu Saba’ dan menyampaikan kepadanya apa yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, lalu Ratu Saba’ berkata: “Demi Allah, sungguh aku mengetahui bahawa dia bukan sembarangan raja. Kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapinya dan kita tidak dapat melakukan apa pun untuk menentangnya.”
Ratu Saba’ mengirim utusan untuk menyampaikan pesanan kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, bahawa Ratu Saba’ dan para pembesarnya akan datang menghadap Baginda untuk melihat apa yang diperintah dan didakwah oleh Nabi Sulaiman ‘alaihissalam. Ratu Saba’ juga memerintahkan agar membawa singgahsananya yang diperbuat daripada emas, mutiara dan zabarjad.
Sebelum rombongan Ratu Saba’ sampai ke tempat Nabi Sulaiman ‘alaihissalam, Baginda pun mengumpulkan jin dan manusia yang berada disekitarnya dan Baginda mengumumkan kepada mereka, bahawa siapakah yang sanggup membawa singgahsana Ratu Saba’ kepadanya sebelum rombongan mereka sampai.
Berkatalah ‘Ifrit daripada golongan jin, bahawa dia sanggup membawa singgahsana itu sebelum Baginda bangun dari tempat duduknya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku! Siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” (38)
Berkatalah ‘Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat lagi gagah serta amanah.” (39)
(Surah an-Naml: 38-39)
Maksud daripada ayat “sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu” ialah daripada pagi sehinggalah tergelincir matahari.
Namun Baginda mahu singgahsana itu sampai lebih cepat daripada itu, untuk melihatkan kepada mereka akan kebesaran kerajaan Baginda yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Lalu berkatalah seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada kitab Allah, bahawa dia boleh membawa singgahsana tersebut dalam sekelip mata. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata….”(40)
(Surah an-Naml: 40)
Kemudian tanpa disedari oleh Baginda, singgahsana itu pun berada di hadapannya. Baginda menyuruh agar diubah sedikit sifat singgahsana itu untuk menguji ingatan Ratu Saba’.
Akhirnya Ratu Saba’ memeluk agama Islam dan memurnikan penghambaannya hanya kepada Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, Zat yang menciptakan segala sesuatu lalu menetapkan kadarnya. Ratu Saba’ memeluk agama Islam setelah diajak oleh Nabi Sulaiman ‘alaihissalam ketika Ratu Saba’ masuk ke dalam istana besar yang dibangunkan oleh jin. Istana itu diperbuat daripada kaca yang mengalir air di bawahnya.
Demikianlah kisah ringkas bagaimana Ratu Saba’ cuba memberi rasuah dengan berupa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘alaihissalam agar Baginda mahu berdamai dengannya. Namun Nabi Sulaiman ‘alaihissalam tidak menerima hadiah tersebut malahan Baginda mengancam Ratu Saba’ untuk memerangi mereka jika tidak mahu beriman. Malah Baginda juga memuji-muji akan pemberian Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang jauh lebih baik daripada hadiah yang mereka tawarkan.
2. Kisah ‘Utbah Bin Rabi‘ah Bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Dalam kegelisahan orang-orang kafir Quraisy tentang perkembangan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bertambahnya pengikut dan sahabat-sahabat Baginda termasuklah juga Islamnya Sayyidina Hamzah Radhiallahu ‘anhu. Maka satu pertemuan diadakan di balai orang-orang Quraisy, ‘Utbah salah seorang tokoh yang berpengaruh, memberi satu cadangan kepada orang-orang Quraisy, supaya dia (‘Utbah) berjumpa sendiri dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menawarkan kepada Baginda beberapa tawaran agar Baginda dapat memberi kerjasama dengan mereka.
Datanglah ‘Utbah bertemu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda sedang duduk bersendirian dalam masjid.
Berkata ‘Utbah bin Rabi‘ah: “Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya engkau adalah daripada golongan kami, sebagaimana yang engkau ketahui engkau mempunyai kehormatan keluarga dan keluhuran nasab keturunan. Sesungguhnya engkau telah membawa satu perkara yang besar kepada kaummu. Engkau pecah belahkan jemaah mereka, memperbodohkan akal fikiran mereka, mencaci maki tuhan dan agama mereka dan mengkafirkan orang tua mereka yang telah meninggal dunia. Maka engkau dengarlah kataku, aku akan tawarkan padamu beberapa tawaran yang boleh engkau fikirkan, semoga engkau menerimanya daripada kami.”
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Katakanlah wahai Abu Walid (gelaran kepada ‘Utbah)! Aku mendengar.”
Berkata ‘Utbah: “Wahai anak saudaraku! Jika kiranya apa yang engkau bawa ini bertujuan kerana mahukan harta, kami akan kumpulkan harta-harta kami untukmu sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya. Jika kiranya engkau bertujuan kerana mahukan kehormatan, kami akan angkat engkau menjadi pemimpin kami sehingga kami tidak akan memberi sesuatu kata putus tanpa bersama denganmu. Jika kiranya engkau bertujuan kerana mahukan kekuasaan, kami akan angkat engkau menjadi raja kami. Jika kiranya disebabkan yang datang kepadamu itu kerasukan jin dan engkau tidak mampu mengusirnya, kami akan cari pengubatnya dengan perbelanjaan kami sendiri sehingga engkau sembuh.”
Setelah selesai ‘Utbah berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula menyuruh ‘Utbah mendengar sabda Baginda. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda dengan membacakan surah Fushshilat.
Tafsirnya:
Turunnya (kitab) ini dari Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha mengasihani.
Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Qur’an yang diturunkan dengan bahasa Arab, bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu, kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.
Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami peyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu) sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)!”
(Surah Fushshilat: 1-5)
‘Utbah diam sambil mendengarkan bacaan Baginda sehinggalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sampai membaca pada ayat sajadah, di mana Baginda sujud tilawah ketika membaca ayat sajadah itu. Lalu Baginda bersabda: “Wahai Abu Walid! Engkau telah mendengar apa yang baru saja engkau dengar, maka terserah kepadamu dengan apa yang engkau dengar tadi.”
Setelah itu ‘Utbah kembali kepada sahabat-sahabatnya dengan raut wajah yang berlainan berbanding semasa dia pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka bertanya kepada ‘Utbah apa yang sudah terjadi. ‘Utbah menjawab: “Demi Allah, sesungguhnya aku telah mendengar perkataan yang belum aku pernah dengar sebelum ini. Demi Allah, perkataan itu bukan syair, bukan sihir dan bukan tilikan. Wahai kaum Quraisy! Taatlah kepadaku dan serahkan persoalan Quraisy kepadaku, biarkan dia (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) dengan apa yang dia bawa. Demi Allah, ucapannya yang aku dengar itu akan menjadi berita yang besar. Jika ucapannya itu didengar oleh orang Arab, nescaya yang demikian itu sudah cukup buat mereka tanpa kamu. Jika dia berhasil mengalahkan orang Arab, maka kekuasaannya adalah kekuasaan kamu dan kejayaannya adalah kejayaan kamu dan kamu menjadi manusia yang paling berbahagia dengannya.”
Mereka berkata: “Demi Allah, engkau telah disihir dengan mulutnya wahai Abu Walid!”
‘Utbah menjawab: “Ini pendapatku tentang dia. Maka lakukanlah apa yang kamu inginkan.”
Cubaan tokoh-tokoh Quraisy terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menawarkan beberapa tawaran terus dilakukan. Namun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menerima tawaran tersebut, malah Baginda hanya mensabdakan kepada mereka yang Baginda tidak bertujuan untuk mendapatkan harta kekayaan, kehormatan dan kekuasaan. Baginda diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah sebagai Rasul, Allah turunkan kepadanya al-Qur’an dan Allah perintahkannya supaya memberi khabar gembira dan peringatan kepada mereka. Jika mereka menerima apa yang disampaikan Baginda, nescaya mereka mendapat keuntungan di dunia dan akhirat, dan jika mereka menolak, Baginda hanya bersabar terhadap perintah Allah sehingga Allah memutuskan persoalan antara Baginda dengan mereka.
Demikianlah sedikit gambaran daripada kisah orang-orang kafir Quraisy yang cuba memberi rasuah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menawarkan beberapa tawaran yang hebat agar Baginda akan bekerjasama dengan mereka, namun Baginda tidak menerima walau satu pun daripada tawaran tersebut.
3. Rasuah Sifat Orang Yahudi
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan kalau engkau berpaling daripada mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Ma’idah: 42)
Al-Hasan al-Bashri mentafsirkan ayat: “mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram”, adalah bagi hakim-hakim Yahudi itu suka mendengar berita dusta dan memakan rasuah.
Tersebut dalam riwayat Sulaiman bin Yasar, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus ‘Abdullah bin Rawahah ke sebuah perkampungan Yahudi yang bernama Khaibar (untuk mengutip al-kharaj iaitu cukai hasil bumi daripada orang Yahudi). Maka beliau (‘Abdullah) menghitung bahagian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang Yahudi. Namun orang Yahudi itu memberi rasuah kepada ‘Abdullah agar pembahagian yang hendak diambil daripada mereka itu dikurangkan malah ditambah pula bahagian yang lebih untuk mereka. Akan tetapi ‘Abdullah bin Rawahah tegas menolak rasuah itu dengan katanya: “Apa yang kamu berikan kepadaku ini adalah daripada rasuah, sesungguhnya rasuah itu adalah suht (segala yang haram) dan sesungguhnya kami tidak memakannya (rasuah).”
Bentuk-Bentuk Rasuah
Ada beberapa bentuk yang diistilahkan sebagai rasuah, di mana sebahagiannya terselindung dengan perbuatan yang berkebajikan atau atas nama kebajikan dan ada juga yang jelas sebagai perbuatan rasuah.
1. Rasuah Dalam Memberi Hukuman
Hakim atau qadhi memang berdepan dengan risiko yang tinggi dalam menjatuhkan sesuatu hukuman terhadap orang yang tertuduh. Lebih-lebih lagi jika hakim itu menerima rasuah daripada orang lain bertujuan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang salah.
Perkara ini sangat merbahaya dan perbuatan sedemikian adalah perbuatan yang paling keji. Oleh itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi, penerima dan pengantara perbuatan rasuah itu.
Laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Seseorang yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, adalah jauh daripada mendapat rahmat, taufiq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan.
Apa akan jadi jika seseorang itu jauh daripada rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala? Apabila seseorang tidak mendapat petunjuk Allah, ia bagaikan berjalan di waktu gelap tanpa ada penyuluh yang menerangi. Apabila tidak mendapat rahmat Allah, maka jauhlah dia daripada kebaikan dan nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Menurut Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu, jika hakim atau qadhi mengambil rasuah untuk menjatuhkan sesuatu hukuman, maka hukuman yang diputuskannya itu ditolak walaupun keputusan itu adalah hak atau benar dan rasuah (yang diterimanya) itu hendaklah dikembalikan.
Maknanya rasuah itu memberi kesan terhadap keputusan hakim, di mana dengan sebab rasuah itu akan menjejaskan keputusan hakim walaupun dia menghukumkan sesuatu yang benar.
2. Rasuah Dalam Bentuk Hadiah
Hadiah adalah sesuatu pemberian kepada seseorang dengan maksud untuk memuliakan orang yang diberi. Akan tetapi ada kalanya juga tujuan untuk memberi hadiah itu terselit dengan maksud supaya hajatnya dipenuhi. Oleh itu, eloklah disebutkan di bawah ini beberapa bentuk hadiah yang bermaksud rasuah:
(i) Hadiah Halal Bagi Pemberi Dan Penerima
Terdapat perbezaan antara rasuah dan hadiah, sebagaimana yang tersebut dalam kitab al-Ahkam as-Sulthaniah:
Ertinya: “Perbezaan antara rasuah dan hadiah ialah rasuah merupakan sesuatu yang diambil dengan meminta, dan hadiah pula merupakan sesuatu yang diberi dengan kebajikan.”
Hadiah dengan niat untuk memuliakan orang yang diberi dan bertujuan untuk mengeratkan lagi kasih sayang adalah halal bagi pemberi dan penerima.
(ii) Hadiah Halal Bagi Pemberi Dan Haram Bagi Penerima
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, hadiah yang diberi kepada seseorang dengan maksud menyelamatkan dirinya daripada kezaliman orang yang diberi adalah halal bagi pemberi kerana darurat dan haram pula bagi penerima kerana bukan hak, seperti orang yang memberi sesuatu kepada penyair kerana takut dirinya difitnah atau diejek.
(iii) Hadiah Haram Bagi Pemberi Dan Penerima
Hadiah yang diberikan kepada seseorang dengan harapan hajatnya akan dipenuhi oleh penerima adalah merupakan rasuah yang ditutupi atau dihiasi dengan nama perbuatan yang terpuji iaitu hadiah atau pemberian.
Berkata Ibnu Mas‘ud, bahawa orang yang memberi hadiah kepada seseorang yang telah menunaikan hajatnya lalu diterimanya hadiah itu adalah as-suht (haram).
Berkata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, hadiah pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah merupakan hadiah sebenar, namun pada zaman sekarang (zaman ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz) ia adalah rasuah.
Bentuk hadiah dengan maksud atau tujuan agar hajat dipenuhi adalah ia seperti riba, kerana mengambil hadiah dengan maksud tersebut menghilangkan pahala pemberian, sebagaimana mengambil riba menghilangkan kehalalan. Hadis diriwayatkan daripada Abu Umamah, beliau berkata:
Maksudnya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membantu saudaranya dengan satu bantuan. Kemudian dia diberi hadiah atas bantuannya lalu diterimanya, maka dia telah mendatangi satu pintu besar daripada pintu-pintu riba.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Faktor-Faktor Rasuah
Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya amalan rasuah seperti berikut:
1. Hilang atau lemah nilai keimanan dalam kehidupan manusia boleh menjadi faktor berlakunya penyelewengan dalam pencarian atau perolehan harta.
2. Tabiat manusia yang amat suka kepada harta benda. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.”
(Surah al-Fajr: 20)
3. Tidak bersikap amanah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun memberikan dasar kriteria pemimpin, ketua, pegawai dan selainnya untuk dilantik. Sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”
(Surah al-Qashash: 26)
Sementara dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Seorang mukmin yang kuat (jiwa yang teguh dan bersih dalam perkara-perkara akhirat) lebih baik dan lebih disukai Allah daripada seorang mukmin yang lemah….”
(Hadis riwayat Muslim)
Terabainya amanah iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada seseorang yang bukan ahlinya, adalah salah satu tanda hari kiamat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah hari kiamat.”
Baginda bersabda: “Apabila suatu perkara diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
4. Tidak ada penerapan hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam kehidupan manusia.
5. Kurang pemahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh.
6. Faktor-faktor yang lain secara ringkas:
(i) Lemah pendidikan agama dan etika.
(ii) Tamak.
(iii) Banyak berhutang.
(iv) Ada keinginan dan ada peluang.
(v) Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah.
(vi) Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai cara hidup.
(vii) Untuk mencapai cita-cita.
(viii) Belanja hidup yang semakin meningkat.
Ancaman Kepada Pengamal Rasuah
Ancaman-ancaman terhadap pengamal rasuah adalah seperti berikut:
1. Mendapat kemurkaan, laknat dan kebencian Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
2. Mendapat kutukan dan laknat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
3. Tidak mendapat rahmat, taufiq dan hidayat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4. Pemberi dan penerima rasuah diancam dengan api neraka.
5. Rasuah itu termasuk memakan harta dengan jalan yang salah.
6. Rasuah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar.
7. Doa tidak diterima.
Bahaya Rasuah Dan Kesannya
Amalan rasuah merupakan suatu bentuk gejala sosial yang wajib ke atas setiap individu mencegahnya. Ini kerana rasuah itu banyak memberi kesan yang buruk, bukan sahaja terhadap individu bahkan juga kepada masyarakat dan negara. Antara kesan-kesan buruk rasuah itu adalah seperti berikut:
1. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Individu:
(i) Kehilangan pekerjaan.
(ii) Kejatuhan moral atau maruah.
(iii) Menerima hukuman.
(iv) Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.
(v) Keluarga terabai.
2. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat:
(i) Mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu.
(ii) Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.
(iii) Membebankan golongan orang susah.
(iv) Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan.
3. Kesan-Kesan Rasuah Terhadap Negara:
(i) Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.
(ii) Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan.
(iii) Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang.
(iv) Kenaikan kos barang dan perkhidmatan.
(v) Mengurangkan pendapatan negara.
(vi) Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.
Penyelesaian Penyakit Rasuah
Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini daripada berleluasa, antaranya:
1. Menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti menjelaskan reaksi Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti perbuatan yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun yang sebaliknya.
2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman dan bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat.
3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.
4. Menanamkan sikap minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.
5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keugamaan, seperti membaca, menghafal dan merenung isi kandungan al-Qur’an, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab agama.
6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri …..” (11)
(Surah ar-R‘ad: 11)
7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup.
8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam.
9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Qur’an dan berselawat.
10. Menjalankan hukuman ta‘zir bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.
11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membentras gejala rasuah daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.
Penutup
Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syara‘, bahkan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:
1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.
2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.
3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi ekonomi.
Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat dan negara yang aman lagi makmur.