Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Video viral lelaki Indonesia dibelasah adalah kes samun

KUALA LUMPUR: Rakaman video viral memaparkan insiden seorang lelaki warga Indonesia yang dibelasah sekumpulan individu baru-baru ini tiada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 antara skuad Harimau Malaya dan Garuda.

Sebaliknya, polis mengesahkan insiden berlaku dipercayai berkaitan satu laporan berhubung kes samun yang dilaporkan berlaku di Bukit Bintang, di sini pada awal pagi Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya menerima satu laporan dibuat seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Fuad Naji pada 8 malam Rabu lalu.

“Mangsa melaporkan bahawa dia dipukul sekumpulan individu dipercayai rakyat tempatan sekitar jam 2 pagi hari sama. Hasil siasatan dijalankan mendapati insiden itu tiada kaitan dengan perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kes diklasifikasikan sebagai kes samun mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Setakat ini siasatan mendapati mangsa kehilangan pasport dan sejumlah wang dalam insiden berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan awal pagi ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, motif kejadian tidak dapat dipastikan berikutan pegawai penyiasat tidak dapat merekodkan keterangan mangsa.

“Mangsa menghilangkan diri selepas dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di pondok polis hospital. Usaha mengesan lelaki itu di kawasan penginapannya juga menemui jalan buntu.

“Justeru, polis menggesa mangsa dan rakannya tampil berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi siasataan lanjut. Polis juga meminta bantuan dari kedutaan Indonesia untuk memaklumkan perkara ini kepada mangsa,” katanya.

Huzir berkata, berkenaan siasatan terhadap penyebaran video pergaduhan berkenaan, polis sedang mengesan dan mengenal pasti individu yang merakam serta menyebarkannya.

“Individu atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/11/631447/video-viral-lelaki-indonesia-dibelasah-adalah-kes-samun?fbclid=IwAR2w1y21VzCgXwYKNP6ecedLJsYyeVw7v5e_ILLfXX29OkX8siB21MtDZoc