
Raja gula ini tersenarai tangga ke – 96 sebagai hartawan terkaya di dunia oleh Forbes. Memiliki kekayaan bernilai RM57.7 billion beliau adalah ikon usahawan yang mempunyai kredibiliti dalam membentuk kejayaan demi kejayaan dalam setiap lapangan perniagaan yang diceburi.
Memegang gelaran individu terkaya di Malaysia selama 13 tahun berturut-turut Kuok telah menguasai kepentingan dalam tiga syarikat tersenarai di Malaysia – PPB Group Bhd, Malaysian Bulk Carriers Bhd dan Shangri-La Hotels (M) Bhd. PPB adalah sebuah syarikat pelbagai fungsi seperti perladangan, makanan dan pawagam melalui Golden Screen Cinema Sdn Bhd. Maybulk adalah syarikat perkapalan dan Shangri-La Hotel adalah rangkaian hotel nombor 1 di negara ini.
Apakah rahsia kejayaan Raja Gula ini sehingga momentum kejayaannya masih bertahan sehingga saat ini. Jika anda ingin mengikut jejak beliau, anda perlu hadam nasihat beliau ini.
#1-Jangan Malu Bermula Dari Bawah
Dahulu beliau hanya seorang ‘office boy’ sebelum menjadi kerani di jabatan perdagangan beras di Singapura.
Beliau yang mudah belajar telah berjaya mempelajari selok-belok perniagaan perdagangan ketika bekerja. Dengan pengalaman yang dikutip, beliau telah mengasaskan produk gula Malaya.co, yang berjaya meraih populariti dengan pantas.
Ia memonopoli ruang pengeluaran gula di Malaysia yang menghasilkan 80% gula di Malaysia dan 10% gula di dunia. Dari situlah Kuok mendapat jolokan ‘Raja Gula Asia’.
Apabila anda bermula dari bawah, anda akan menguasai banyak perkara sehingga anda tahu apa yang perlu dilakukan ketika anda mula berada di atas. Kerana anda menaiki setiap tangga dengan keupayaan sendiri. Jadi jangan malu jika hari ini anda hanya seorang kuli.
#2- Berani Dalam Tindakan
Berani dalam tindakan adalah perkara yang sukar untuk dilaksanakan kerana selalunya perasaan takut itu yang berada di barisan hadapan. Lihat sahaja bagaimana raja gula ini berani berurusan dengan mana-mana usahawan dan syarikat- syarikat besar sehingga menghasilkan pulangan lumayan.
Kecekapan beliau dalam setiap tindakan yang dilakukan harus dijadikan contoh kerana acapkali usahawan akan mengudur apabila gagal membuat keputusan yang tepat dan tidak berani mengambil tindakan betul!
#3-Masa Hanya Datang Sekali
Jangan beri peluang kepada perasaan malas dalam kehidupan anda. Sebagai usahawan, masa bukan musuh anda, tetapi anda perlu jadikan masa itu kawan paling baik bagi anda. Anda yang perlu tentukan masa, bukan masa yang menentukan anda.
Beliau sangat terkenal dengan sikap menghargai masa kerana baginya masa yang datang tidak akan pernah berulang. Sikap rajin, berdisiplin dan tekun menjadi kunci kejayaan beliau. Apabila anda menghargai masa, ianya bererti anda seorang yang berdisiplin dalam kehidupan.
#4- Perlu Ada Cita-Cita Tinggi
Sedari awal, Robert memang seorang yang selalu mengimpikan kejayaan dalam setiap cita-cita yang dipasang. Demi merealisasikan cita-citanya menjadi realiti, beliau bekerja keras dan berusaha sedaya upaya dalam mengorak langkah kejayaanya.
Hasilnya, raja gula ini mengemudi rangkaian hotel yang terkenal ‘Shangri-la’ yang kini dibuka di seluruh dunia termasuk di Asia Pasifik, Amerika Utara, Timur Tengah dan Eropah.
#5- Pandai Merebut Peluang
Sikap Robert yang patut usahawan contohi beliau seorang yang tidak akan mempersiakan setiap peluang dan ruang yang datang walaupun kecil atau besar. Beliau akan merebut setiap inci peluang. Kerana itu Robert berani melabur dalam bisnes-bisnes besar di seluruh Asia kerana beliau tahu peluang yang datang itu akan menghasilkan wang.
Buktinya, ketika tahun 1960an, Robert pernah melabur di negara Indonesia ketika zaman bergolak di negara tersebut. Manakala perkara yang sama juga dilakukan kepada negara Filipina ketika tahun 1980an. Rentetan pelaburan yang dilakukan membuka ruang hubungan dua hala antara Robert dan pihak berkuasa negara terbabit selama hampir empat dekad.
http://www.majalahniaga.com/5-nasihat-raja-gula-asia-jika-anda-hendak-berjaya-dalam-perniagaan.html